- Iklan -
Berita

Pengurus bank sahkan bekas pengerusi Felda terima cek RM1 juta dari Najib

Menurut R Uma Devi, cek atas nama Shahrir Samad itu dikeluarkan pada 27 November 2013.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Felda Shahrir Samad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Felda Shahrir Samad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Seorang pengurus bank memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Shahrir Samad menerima sekeping cek bernilai RM1 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak, sembilan tahun lepas.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R Uma Devi, 43, yang mengesahkan perkara itu berkata cek tersebut dikeluarkan oleh Najib sendiri atas nama bekas pengerusi Felda berkenaan pada 27 November 2013 dan telah "clear" pada keesokan harinya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Rasyidah Murni Azmi pada perbicaraan kes bekas ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Berdasarkan salinan penyata bank Najib, baki wang untuk bulan November 2013 adalah berjumlah RM48,273,239.26 manakala baki yang tinggal pada 30 November 2013 adalah RM36,922,068.26. Pada 28 November 2013, terdapat pengeluaran berjumlah RM1 juta daripada akaun tersebut,” kata saksi pendakwaan ke-12 itu.

Bagaimanapun, Uma Devi berkata akaun bank milik Najib itu, yang dibuka pada 31 Julai 2013, telah ditutup pada 9 Mac 2015 atas sebab yang tidak dinyatakan.

“Baki dalam akaun tersebut bersama dua lagi akaun beliau yang lain ialah sebanyak RM103,361.17 telah dikeluarkan menerusi cek atas nama Ihsan Perdana Sdn Bhd,” katanya.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin bersambung 5 September ini.