- Iklan -
Berita

'Jangan pandang rendah terhadap kami': Pesakit autistik atasi halangan jadi pelukis komik

Luqman Hakim, yang dikenali ramai dengan lukisan wajah Dr Noor Hisham Abdullah, berkata beliau tidak pernah jemu mempelajari perkara baru.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Artis autistik Luqman Hakim sedang tekun menyiapkan projek komiknya di sebuah kafe berdekatan rumahnya.
Artis autistik Luqman Hakim sedang tekun menyiapkan projek komiknya di sebuah kafe berdekatan rumahnya.

Luqman Hakim memulakan harinya dengan bersenam di gimnasium seawal jam 6.00 pagi sebelum menyiapkan secara mental dan fizikal untuk menempuh 12 jam berikutnya untuk melukis komik.

Kemudian, dia akan berjalan kaki sepanjang 300 meter dari bangunan apartmen sambil menggalas sebuah beg dengan muatan mencecah 10kg ke kafe kopi berdekatan.

Di sana, dia menyiapkan lukisan-lukisan komik pesanan para kliennya menggunakan komputer riba dan tablet lukis (drawing tablet).

Dengan tekun, dia melukis komik sambil mendengar muzik menggunakan fon kepala.

Orang ramai yang berkunjung ke kafe tersebut pasti tidak dapat menahan diri daripada berhenti seketika memerhatikan Luqman yang ralit melukis pada skrin tabletnya.

Tanpa mereka mengetahui, individu berbakat itu ialah seorang pesakit autisme tahap terkawal “mild autism” sejak dilahirkan.

Luqman yang kini sudah pun berusia 29 tahun mampu hidup berdikari dan tinggal bersendirian di Cyberjaya, Selangor.

Dengan bakatnya itu, dia mampu menjana pendapatan sendiri dan menyara hidup seperti orang lain.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Luqman berkongsi rasa kurang senangnya mengenai pandangan masyarakat terhadap pesakit autisme.

Katanya, masyarakat terlalu memandang rendah terhadap golongan itu menyebabkan mereka tidak pasti terhadap kebolehan diri masing-masing.

“Jangkaan kita terlalu rendah terhadap orang autisme. Tak boleh buat itu, tak boleh buat ini. Jadi, mereka tersekat di situ."

Walaupun mempunyai sindrom autisme, Luqman boleh bertahan menyiapkan kerja di kafe selama dua hari tanpa rasa jemu.
Walaupun mempunyai sindrom autisme, Luqman boleh bertahan menyiapkan kerja di kafe selama dua hari tanpa rasa jemu.

Menurut Luqman, dia sudah mula melukis karikatur dan ilustrasi komik seawal usia empat tahun.

Ketika itu, dia hanya tahu melukis watak-watak adiwira yang ditontonnya di televisyen.

"Ke mana sahaja saya pergi, ibu dan ayah akan bawakan pensel dan kertas untuk saya melukis dan hindari saya daripada menjadi hyper aktif," katanya.

Berbeza dengan individu autisme yang lain, Luqman lebih selesa berada di luar rumah walaupun gemar bersendirian.

Pada hari-hari biasa, dia mampu bertahan selama dua hari menyiapkan kerja-kerja melukis sambil duduk di dalam kafe tersebut.

Kata Luqman, pada usia 17 tahun dia mengambil keputusan untuk serius dalam bidang lukisan komik dan menjadikan ianya sebagai laluan kerjaya.

Tambahnya, ibu bapanya amat memberikan sokongan dan kebebasan untuknya memilih laluan hidupnya sejak di bangku sekolah.

"Ibu bapa tidak boleh selesakan anak-anak autisme ini. Mereka perlu diberi kemahiran dan latihan.

"Bila mereka tahu anak mereka autisme, mereka tak bagi anak pergi mamak semua, tak betul.

"Mereka boleh dikawal tapi kena ada cara dan strategi. Memang susah tapi kena biasakan supaya mereka faham."

Anak kelahiran Bangi, Selangor ini mula bekerja sebagai pelukis komik dengan aktif sejak tahun 2020.

Sebelum itu, dia menjadi pelukis “freelance” untuk melukis potret dan jenis-jenis lukisan lain.  

Namun kini, tumpuannya lebih khusus kepada penghasilan komik sahaja.

Dia memberitahu, animasi Jepun atau lebih dikenali sebagai “anime” dan “manga” menjadi pencetus utama keghairahannya untuk menjadi pelukis komik.

Selain itu, dia turut menonton dokumentari mengenai lukisan komik Barat seperti siri komik Marvel dan DC Studio dari Amerika Syarikat.

"Masa tu saya tahu, saya nak jadi sebahagian daripada budaya tersebut."

Bakat perlu diasah

Mengulas lanjut, Luqman berkata kini dia banyak memberi tumpuan kepada penghasilan komik dan lukisan yang ditempah, berbanding sebelumnya dia aktif terlibat dalam pertandingan dan pameran lukisan.

MalaysiaNow difahamkan, projek-projek lukisan yang diterima oleh Luqman merupakan permintaan dan tempahan dari orang-orang ternama dan badan korporat.

Ini memandangkan, Luqman pernah mendapat pujian daripada rakyat di seluruh negara apabila lukisannya pada satu cawan kopi tular di media sosial, dua tahun lalu.

Bercerita mengenainya, Luqman berkata dia berada dalam satu francais kafe kopi jenama antarabangsa di Kuala Lumpur.

Ketika berehat sebentar daripada kerja-kerja melukis, dia melakar wajah Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada cawan kopinya.

Lakaran wajah Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah di permukaan cawan menjadikan Luqman terkenal.
Lakaran wajah Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah di permukaan cawan menjadikan Luqman terkenal.

Tidak lama kemudian, pihak pengurusan tertinggi francais tersebut mengaturkan pertemuan antara Luqman dengan Noor Hisham.

"Beliau sangat tinggi dan baik," katanya penuh teruja.

Sebelum itu, Luqman juga pernah memenangi tempat kedua dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Kedutaan Perancis.

Terdapat juga beberapa karyanya dipamerkan sempena bulan kesedaran autisme di pusat membeli belah di ibu kota.

Katanya, sehingga kini dia tidak pernah jemu belajar dan mendapatkan ilmu-ilmu baru daripada setiap sudut yang boleh digunakan.

Ada masanya, dia akan menonton video-video di internet.

Ada masanya, dia akan membaca buku mengenai teori-teori lukisan dan berlatih sendiri teknik-teknik lukisan yang dibaca.

"Melukis ni jangan bergantung pada bakat sahaja.

“Perlu latihan kendiri juga seperti tengok video dan banyakkan latihan." 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.