- Iklan -
Berita

Makan bersendirian trend terbaru lepas pandemik?

Ramai dilihat makan berseorangan di restoran atau mengirim makanan berbeza dengan suasana waktu makan tengah hari yang dahulunya riuh dengan kehadiran kumpulan rakan sekerja.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi

Ruang makan medan selera dalam pusat membeli belah di Ara Damansara di Petaling Jaya, Selangor dipenuhi dengan kehadiran individu dan kumpulan pekerja berdekatan untuk makan tengah hari.

Suasana yang sunyi satu jam sebelumnya, bertukar riuh rendah dengan suara gelak tawa diiringi bunyi mengunyah dan sudu garpu yang berlaga.

Berbeza dengan situasi tersebut, kelihatan beberapa ruang makan untuk empat hingga enam orang hanya diisi oleh seorang pelanggan.

Mereka datang menikmati makan tengah hari bersendirian tanpa teman.

Seorang pembantu di klinik kecantikan, Teo Kai Xin, memberitahu dirinya menghabiskan waktu rehat tengah hari secara solo sejak tahun 2019.

"Ianya mudah dan menjimatkan masa kerana tak perlu tunggu kawan-kawan habis makan.

"Saya ada masa yang lebih untuk buat urusan lain seperti telefon anak yang baru pulang dari sekolah untuk bertanya tentang keadaannya di rumah," katanya kepada MalaysiaNow.

Berbeza dengan waktu dia keluar makan tengah hari bersama rakan-rakan sekerja, Teo berkata dirinya menjadi sangat kelam kabut kerana banyak masa diluangkan untuk berbual dan menunggu rakan menyudahkan makanan masing-masing.

Sejak beberapa tahun lalu, makan bersendirian dianggap sebagai gaya hidup baru dunia moden.

Bermula dengan sarapan, ramai orang menikmati sandwic sambil berjalan ke stesen komuter.

Jadual yang bercanggah menyukarkan ahli keluarga dan rakan-rakan untuk makan bersama.

Keadaan ini berbeza dengan apa yang dilalui oleh penduduk dunia sejak berdekad lamanya apabila makan menjadi aktiviti sosial paling popular dalam kalangan masyarakat.

Di musim perayaan, waktu rehat di tempat kerja dan sekolah, semuanya berpasangan dan berkumpulan.

Di Britain, Indeks Kesejahteraan (Wellbeing Index) negara itu pada tahun 2016 menyebut hampir satu pertiga daripada orang dewasa makan bersendirian.

Tiga tahun selepas itu, satu kaji selidik yang sama dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Sosial Kebangsaan UK dan Pusat Ekonomi Oxford mendapati angka tersebut meningkat kepada separuh.

Sementara itu, di Amerika Syarikat, organisasi penyelidikan The Hartman Group mendapati  makan bersendirian menyumbang 27% daripada jumlah kunjungan makan di restoran.

Rakyat di Malaysia juga tidak terlepas dengan mengikuti trend tersebut.

Meskipun tiada kajian atau indeks khusus mengkaji peningkatan trend tersebut dalam kalangan rakyat negara ini, data-data daripada syarikat pengendali makanan menunjukkan tabiat makan bersendirian semakin meningkat secara beransur-ansur.

Setahun sebelum pandemik Covid-19, sebuah platform tempahan makanan dalam talian, Eatigo dengan lebih 700,000 pengguna di seluruh negara dilaporkan berkata jualan daripada pelanggan solo berterusan meningkat sejak pelancarannya pada 2017.

Menurut syarikat itu, sebanyak 8% hingga 15% daripada jumlah keseluruhan adalah pelanggan solo dengan kira-kira 80% daripada mereka berada di kawasan Lembah Klang yang berumur antara 25 hingga 35 tahun.

Dalam pada itu, ketika dihubungi MalaysiaNow, majikan Teo memberitahu dia tidak menyedari trend makan bersendirian dalam kalangan para pekerja di kliniknya.

Ashman Wong dan isteri membuka klinik kecantikan di pusat membeli belah tersebut sejak tahun 2015.

Kini, mereka mempunyai 11 pekerja wanita dengan tujuh orang pekerja tetap dan empat orang pekerja sambilan di hujung minggu.

Wong berkata, sejak menjadi majikan sedekad lalu, dia sedia maklum tentang aktiviti keluar makan beramai-ramai dalam kalangan pekerja pada waktu tengah hari.

Katanya, tempoh rehat yang diberikan olehnya melebihi keperluan iaitu selama 1 jam 45 minit bagi membolehkan para pekerjanya cukup waktu untuk makan dan sembahyang.

Tetapi, selepas diceritakan tentang rutin Teo, ia mula rasa terdapat perubahan berlaku terhadap kualiti kerja yang disifatkannya sebagai semakin baik.

"Dulu memang klinik akan kosong bila masuk waktu makan tengah hari. Pelanggan yang datang pukul 1.00 tengah hari tidak ada yang sambut kerana kaunter tiada orang.

"Sekarang, betul. Saya perasan pelanggan datang ada pekerja yang daftarkan nama. Tetapi kena tunggu sebentar sahaja kerana mereka pergi makan," katanya kepada MalaysiaNow sambil menambah dia seringkali melihat pekerja makan berseorangan di bilik pantri sambil menonton televisyen.

Katanya lagi, norma baru para pekerjanya itu dilihat bermula selepas pandemik apabila mereka memilih untuk makan di bilik rehat klinik berbanding makan di dalam restoran.

"Mungkin itu juga faktor banyak pekerja makan seorang di pantri atau di kedai. Risau kepada jangkitan."

Mengulas mengenai perkara itu, Teo berkata, dia memilih untuk makan bersendirian sebagai salah satu cara untuk merehatkan diri dan melepaskan tekanan kerja.

"Bila bersendirian, saya lebih selesa. Ianya bukan pelik kalau makan seorang. Ramai yang selesa berseorangan untuk tempoh satu jam waktu rehat."

Peniaga rugi?

Seorang pengusaha kedai makan nasi ayam di medan selera berkenaan mahu dikenali sebagai Huzman berkata, dia sudah menerima puluhan pelanggan yang makan bersendirian dalam masa sehari sejak sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

Katanya, pada peringkat awal dia mulai bimbang kerana trend tersebut akan merugikannya kerana tidak ramai yang berkunjung ke medan selera pada waktu makan tengah hari.

Selepas beberapa bulan berniaga, dia merasakan tanggapan itu salah sama sekali.

"Saya tetap dapat pesanan makanan dengan kuantiti normal. Mereka ini walaupun datang makan seorang tetapi ada yang pesan lebih untuk bawa balik.

"Ada juga kawan-kawan kerja yang kirim. Jadi, tak timbul lagi isu rugi.

“Sebab kuantiti makan seorang tak semestinya kita jual satu set nasi sahaja. Boleh dapat lebih juga."  

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.