- Iklan -
Berita

KPM akan umum data pelajar SPM tidak lanjut pelajaran

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata perincian data pelajar lepasan SPM akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pemeriksa peperiksaan membantu pelajar SPM yang mengambil peperiksaan itu pada Mac lalu.
Seorang pemeriksa peperiksaan membantu pelajar SPM yang mengambil peperiksaan itu pada Mac lalu.

Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan data sebenar jumlah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak melanjutkan pelajaran dalam tempoh terdekat.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata ketika ini kementeriannya sedang mengumpulkan rekod dan data baru mengenai hala tuju pelajar berkenaan selepas tamat menduduki peperiksaan tersebut.

"KPM akan perincikan data-data (pelajar), kita akan kongsikan data ini dalam masa terdekat dan kita akan terangkan (ke mana pelajar) berdasarkan data yang kita dapat," katanya kepada pemberita selepas program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan-Guru Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah semalam.

Turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Tah Nia Jaman.

Baru-baru ini media melaporkan kira-kira 390,000 atau 72.1% lepasan SPM membuat keputusan untuk tidak menyambung pelajaran mereka.

Mengulas angka dilaporkan itu, Radzi berkata kajian itu dibuat tidak menyeluruh dan merekodkan "age cohort" atau tidak mempunyai situasi sama misalnya generasi lepas yang kini berusia 70 hingga 80 tahun mempunyai sebab berbeza tidak melanjutkan pelajaran berbanding generasi muda masa kini.

"Sebab itu kita kena lihat secara lebih mendalam. Saya tidak mahu mengulas mengenai 72%, biar kita jelaskan hal itu berdasarkan data yang kita dapat mengenai pelajar yang menamatkan SPM," katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan agensi lain dalam usaha membantu pelajar yang mengalami kesukaran untuk ke sekolah di Sabah.

Beliau berkata sekiranya perkara itu melibatkan isu infrastruktur, KPM akan mencari pendekatan untuk membantu pelajar berkenaan supaya mendapat akses pendidikan yang terbaik.

Mengenai program itu, Radzi berkata ia adalah usaha transformasi KPM untuk menyampaikan mesej secara menyeluruh dalam ekosistem pendidikan supaya dapat melihat arah pembangunan sistem pendidikan negara.

Beliau berkata pada program bersama kira-kira 1,000 warga pendidik itu, banyak perkara yang  disampaikan tentang aspek pendidikan yang telah dan akan dilaksanakan selain memberi ruang kepada guru untuk menyampaikan pandangan serta cadangan masing-masing bagi penambahbaikan sistem pendidikan.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi