- Iklan -
Berita

Malaysia sokong gesaan pembebasan segera Suu Kyi, kata menteri

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata junta berulang kali tidak mengendahkan seruan pemimpin Asean untuk dialog konkrit dan inklusif bagi perdamaian nasional di Myanmar.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Luar Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama
Menteri Luar Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama

Malaysia berdiri teguh bersama-sama rakyat Myanmar dan menyokong gesaan agar pemimpin awam Myanmar yang digulingkan Aung San Suu Kyi dibebaskan segera untuk memulakan proses dialog damai dan inklusif melibatkan semua pihak berkepentingan di negara itu.

Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah berkata demikian dalam ciapan Tweet beliau hari ini, susulan laporan berita pada Isnin yang menyatakan mahkamah di Myanmar yang diperintah junta menambah enam tahun lagi kepada hukuman penjara 11 tahun sebelumnya kerana kesalahan rasuah. Tambahan hukuman itu menjadikan jumlah tempoh hukuman penjara terhadap pemimpin itu dilanjutkan kepada 17 tahun.

“Hukuman tambahan ke atas Aung San Suu Kyi dan pelaksanaan hukuman mati ke atas empat aktivis demokrasi baru-baru ini membuktikan bahawa junta berulang kali tidak mengendahkan seruan pemimpin Asean untuk dialog konkrit dan inklusif bagi perdamaian nasional di Myanmar dan memenuhi Konsensus 5 Perkara Asean (5PC),” katanya.

Menurut laporan antarabangsa, perbicaraan di negara yang diperintah oleh tentera itu diadakan secara tertutup dan peguamnya dilarang di bawah perintah larangan bersuara (gag order) daripada mendedahkan maklumat tentang prosiding.

Pada Januari lepas, pemenang Hadiah Nobel itu dijatuhi hukuman penjara 11 tahun kerana rasuah, menghasut menentang tentera, melanggar peraturan Covid-19 dan melanggar undang-undang telekomunikasi.

Pada 26 Julai lepas, Malaysia mengutuk hukuman mati terhadap empat aktivis oleh junta Myanmar dan melihat tindakan itu sebagai satu jenayah terhadap kemanusiaan.

Rejim tentera Myanmar telah melaksanakan hukuman mati empat aktivis antirampasan kuasa - bekas ahli parlimen Liga Demokratik Kebangsaan (NLD) Phyo Zeya Thaw; aktivis terkemuka Kyaw Min Yu, yang dikenali sebagai Ko Jimmy; Aung Thura Zaw; dan Hla Myo Aung - yang didakwa di bawah undang-undang antikeganasan.

Hukuman mati yang mengejutkan dunia itu dilaporkan secara meluas dan mendapat kecaman antarabangsa.

Sejak rampasan kuasa pada 1 Februari 2021, sekurang-kurangnya 2,114 orang telah terbunuh di Myanmar yang diperintah oleh Majlis Pentadbiran Negara (SAC) yang diketuai oleh Jeneral Min Aung Hlaing, dalam kempennya untuk menekan penentangan yang meluas terhadap pemerintahan tentera.

Malaysia dan negara anggota Asean yang lain telah berulang kali menggesa dialog inklusif di bawah 5PC yang turut melibatkan Kerajaan Perpaduan Negara (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC).

5PC adalah bertujuan menangani krisis Myanmar yang dipersetujui pada Mesyuarat Pemimpin Asean (ALM) di Jakarta pada April 2021.

Ia menggesa penamatan segera keganasan, mengadakan dialog dengan semua pemegang kepentingan utama, pelantikan utusan khas bagi memudahkan pengantaraan dan delegasi melawat dan bertemu dengan pihak berkepentingan di Myanmar, dan membenarkan Asean memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Myanmar.