Di Malaysia, trend unik orang merakam diri mereka makan mulai mendapat tempat di mana mereka akan memuat naik klip rakaman itu ke media sosial bagi mendapatkan ribuan tontotan.
Trend tersebut dikenali sebagai "Mukbang" iaitu gabungan muok-da (perkataan Korea untuk makan) dan bang (bahasa Korea untuk siaran).
dikenali sebagai rancangan makan, mukbang pada asasnya adalah siaran dalam talian di mana hos akan makan sambil berinteraksi dengan penonton.
Sejak mula dikenali sekitar tahun 2018, trend ini sudah menerima berjuta-juta tontonan di YouTube untuk menonton orang makan.
Di Malaysia, lebih ramai individu tampil menjadi selebriti mukbang untuk memberi kepuasan kepada penonton melalui menu makanan dan cara makan masing-masing.
Contohnya, video ASMR (autonomous sensory meridian response) yang mendapat populariti tertinggi di mana penonton dikatakan berasa gembira dan tenang sewaktu mendengar orang sedang mengunyah makanan.
Seorang selebriti mukbang tempatan berkata, tabiat makan di hadapan kamera bermula apabila dia kerap kali menonton rancangan video dari Korea Selatan sekitar tahun 2020.
Dalam tempoh berkurung ketika pandemik Covid-19, dia banyak mengambil pesanan dari luar.
"Setiap kali makan saya akan buat panggilan video dengan sesiapa sahaja termasuk rakan-rakan di tempat kerja," katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.
"Selepas itu, kawan suruh saya buat video yang lebih berkualiti dan makanan yang lebih sihat untuk dimuat naik ke YouTube."
Video pertamanya hanya menerima tidak kurang daripada 300 tontonan.
Kini, selepas dua tahun di platform tersebut dia berjaya mendapat lebih 13,000 pengikut.
Bercakap lebih lanjut, pemuda di akhir 20-an itu memberitahu dia tidak selesa membuat video makanan yang berlebih seperti meletakkan jumlah makanan yang banyak setiap kali rakaman dibuat.
Ini bagi mengelakkan pembaziran berlaku memandangkan dia makan seorang diri di rumah.
Bagaimanapun, katanya, dia menerima banyak permintaan daripada peminat agar menu mukbang ditambah dan durasi video yang lebih panjang.
"Saya dapat hadiah daripada pengikut di Instagram yang berkongsi kisah hidupnya dibuli selepas ibu bapa bercerai.
"Dia menonton video ASMR mukbang saya untuk hilangkan stres. Macam terapi jiwa untuknya."
Kemunculan mukbang menimbulkan banyak perdebatan dari aspek kesihatan, gaya hidup dan keseimbangan pemakanan.
Sebagai contoh, ketika kemuncak trend "mukbang" di United Kingdom pada tahun 2018, kerajaan menggesa trend tersebut dijalankan secara jangka pendek ataupun ianya akan memberikan implikasi yang buruk kepada cara rakyatnya bersosial.
"Boleh jadi juga, video mukbang ini beri keselesaan kepada seseorang.
"Mereka seronok melihat orang lain menyediakan makanan dan memakannya, terutamanya bila mereka dah lama hidup sendiri.”
Jangan taksub
Sementara itu, seorang lagi selebriti wanita yang menetap di Johor berkata, tidak semuanya baik mengenai video-video mukbang.
Katanya, beberapa tahun lalu trend tersebut sangat tersohor kerana tidak ramai yang yakin untuk makan di depan kamera.
"Memek muka ketika anda makan akan ditonton oleh orang yang tidak dikenali. Ramai yang malu bila fikir balik. Tapi ramai juga yang terlebih yakin dengan diri sendiri.
"Sekarang, mukbang adalah tentang pemasaran produk. Letak ubat kurus dalam video, letak barang kosmetik. Untuk apa? Keuntungan," katanya dengan syarat tidak dinamakan.
Gadis itu berkata dengan meletakkan promosi produk dalam video mukbang, seseorang selebriti akan menerima bayaran yang tinggi mencecah puluhan ribu ringgit mengikut kadar populariti masing-masing.
"Pengikut yang obses akan beli apa sahaja yang mereka nampak. Tanpa mereka fikir adakah produk itu baik ataupun tidak.
"Selebriti pujaan mereka tidak akan peduli tentang keselamatan mereka.
“Yang penting keuntungan kerana ramainya cari makan dengan cara macam itu."