Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) hari ini menggesa kerajaan menangguhkan beberapa pindaan dalam Akta Kerja 1955 yang dilihat memberi manfaat kepada pekerja, di mana ia dilihat akan menambah beban ke atas majikan yang masih bergelut dalam berdepan cabaran ekonomi ketika ini.
Dalam satu kenyataan, Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata majikan perlu diberi masa untuk memulihkan kedudukan syarikat mereka kerana sektor perniagaan terjejas teruk akibat sekatan pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara sejak dua tahun lalu bagi membendung penularan Covid-19.
"MEF sokong beberapa perubahan yang dibuat, tetapi isunya adalah mengenai tempoh masa ia dilaksanakan,” katanya.
"Sekarang bukan masa yang sesuai untuk memperkenalkan pelbagai perubahan di mana ia akan menambah kos perniagaan."
Syed Hussain merujuk kepada pindaan yang dijadual berkuat kuasa pada 1 September, melibatkan kenaikan kos kerja lebih masa setahun, pengurangan waktu bekerja dari 48 jam seminggu kepada 45 jam, dan penambahan tempoh cuti materniti, dan cuti paterniti selama seminggu bagi setiap kelahiran.
Secara keseluruhannya, beliau berkata semua pindaan yang dibuat itu menyebabkan kos tambahan sebanyak RM110.99 bilion setiap tahun.
Berkuat kuasa 1 Mei, katanya, majikan terpaksa menanggung kos gaji tambahan sebanyak RM14 bilion setahun berikutan kenaikan gaji minimum dari RM1,100/RM1,200 sebulan kepada RM1,500.
“Sesetengah majikan masih bergelut bagi melaksanakan kadar gaji minimum baru secara penuh,” katanya.
"Sesetengah majikan dilaporkan tidak dapat mematuhi perintah itu. Secara umumnya, majikan berusaha untuk mematuhi perintah berkanun itu, tetapi terdapat situasi di mana mereka tidak dapat melakukannya kerana mereka tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk berbuat demikian."
Syed Hussain berkata majikan juga perlu menangani perkara lain termasuk ketetapan untuk pelaksanaan cara kerja yang fleksibel yang ketika ini masih tiada garis panduannya, selain kelayakan untuk 60 hari cuti kemasukan hospital setiap tahun selain cuti sakit, dan prosedur baru permohonan pekerja asing.
"Terlalu banyak perubahan berlaku akan menjejaskan perniagaan dalam tempoh yang mencabar ini," katanya.
"MEF merayu kepada kerajaan untuk memberi lebih banyak masa kepada sektor perniagaan untuk beralih bagi melaksanakan tuntutan-tuntutan baru tersebut. Terdapat keperluan untuk tidak menyegerakannya bagi memberi ruang kepada perniagaan untuk lebih bersedia.”