- Iklan -
Berita

Kerajaan rancang skim simpanan pekerja asing, pastikan mereka pulang selepas 10 tahun

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata simpanan itu hanya boleh dikutip di negara asal mereka selepas tempoh tersebut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pekerja asing bekerja di sebuah tapak bina di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Pekerja asing bekerja di sebuah tapak bina di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Kerajaan akan memperkenalkan skim simpanan pekerja asing, sebagai usaha mengawal isu pekerja asing yang tidak pulang ke negara asal, selepas 10 tahun bekerja di negara ini. 

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata kebanyakan isu pekerja asing enggan pulang ke negara asal, disebabkan mereka tidak mempunyai simpanan selepas tamat tempoh perkhidmatan dan akhirnya mereka akan tinggal lebih masa di Malaysia untuk terus bekerja.

“Ini memang berlaku, selepas 10 tahun bekerja di sini, salah satu sebab mereka tidak mahu balik ke negara asal sebab mereka tidak ada simpanan, disebabkan apa yang mereka peroleh selama mereka bekerja telah dibelanjakan atau hantar ke negara asal.

“Maka ini (skim simpanan pekerja asing) perlu dilaksanakan supaya mereka ada simpanan dan simpanan ini pula hanya boleh dikutip di negara asal mereka selepas 10 tahun, suka atau tidak mereka tetap kena pulang untuk tuntut simpanan mereka ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program "Diskusi Minda TV: Isu Pekerja Asing di Malaysia, Apakah Penyelesaiannya?" anjuran Majlis Profesor Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata pihaknya juga akan menetapkan syarat, sekiranya simpanan itu tidak dituntut dalam tempoh setahun selepas tamat tempoh perkhdidmatan maka simpanan itu akan dilupuskan.

Saravanan bagaimanapun berkata skim itu mungkin mengambil masa untuk dilaksanakan, memandangkan terdapat kekangan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu iaitu Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), yang menyatakan kerajaan tidak boleh mengadakan sebarang pungutan secara paksa.

Beliau berkata keduanya ia mungkin menambah beban majikan, yang perlu membayar pelbagai bayaran termasuk penyediaan jaringan keselamatan lain dengan pelaksanaan gaji minimum, mungkin mengambil sedikit masa tetapi perlu dilaksanakan.

Dalam pada itu, Saravanan berkata mulai 1 September, kemasukan pekerja asing termasuk tenaga kerja mahir perlu mendapat kelulusan Jabatan Tenaga Kerja, dan perincian mengenainya akan dibuat dalam sidang media khas minggu hadapan selepas  mesyuarat Kabinet.

“Dengan perubahan Akta Kerja 1955, tiada lagi kemasukan pekerja asing tanpa persetujuan Jabatan Tenaga Kerja,” katanya.

Mengenai sistem e-wages iaitu sistem bagi memantau pembayaran gaji pekerja asing dan tempatan, Saravanan berkata perkara itu akan diumumkan kelak selepas urusan kemasukan pekerja asing selesai. 

“Sistem ini membolehkan kita pantau pembayaran gaji pekerja, 7 hari bulan akan dipastikan gaji memang sudah masuk, jika tidak tindakan akan terus diambil."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.