- Iklan -
Berita

Pencemaran 'bahan kimia' dalam air hujan harus ditangani, kata pakar

Kajian mendapati air hujan di kebanyakan lokasi di Bumi mengandungi bahan kimia tidak mudah terurai pada tahap berbahaya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Soerang lelaki meredah hujan di pusat bandar Kuala Lumpur. Pakar berkata pencemaran air hujan harus menjadi amaran kepada negara dalam usaha menanganinya.
Soerang lelaki meredah hujan di pusat bandar Kuala Lumpur. Pakar berkata pencemaran air hujan harus menjadi amaran kepada negara dalam usaha menanganinya.

Pencemaran air hujan yang dilaporkan berlaku di seluruh dunia perlu menjadi “wake-up call” kepada Malaysia dalam menangani satu lagi isu pencemaran alam yang melanda dunia, kata pakar.

Kajian oleh Stockholm University dan ETH Zurich University mendapati air hujan mengandungi “forever chemicals”, satu istilah merujuk kepada sejumlah produk berbahaya ciptaan manusia yang dikenali sebagai bahan-bahan perfluoroalkyl atau polyfluoroalkyl (PFAS).

Berdasarkan kajian berkenaan, tahap forever chemicals di atmosfera menjadi terlalu tinggi sehingga air hujan sudah tidak selamat untuk diminum.

Ia turut disahkan oleh garis panduan tahap PFAS dalam air minuman oleh Amerika Syarikat.

Garis panduan tersebut, yang menetapkan nilai PFAS dalam air minuman, air permukaan dan tanah telah diturunkan ekoran dapatan terbaru mengenai tahap toksik dan ancaman terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.

Dapatan itu tentunya membimbangkan memandangkan Malaysia antara negara yang mempunyai taburan hujan yang tinggi.

Bercakap kepada MalaysiaNow, pakar kualiti dan permodelan air Zaki Zainudin berkata, setakat ini tiada kajian khusus berkenaan kandungan PFAS dalam air hujan yang pernah dilakukan di Malaysia.

"Analisa kandungan Perfluorooctanoic acid (PFOA) dan Perfluorooctane sulfonic acid (PFOS) dalam air sungai di Malaysia juga baru dilakukan kebelakangan ini setelah adanya keupayaan analisa makmal.

"Harus difahami analisa PFAS memerlukan peralatan yang sangat jitu, lazimnya pada paras part-per-trillion atau nanogram," katanya.

Namun begitu, katanya negara wajar mempunyai polisi dan langkah kawalan khusus berkaitan penggunaan PFAS, PFOA dan FPOS yang merangkumi semua aspek seperti pengimportan dan penggunaan bahan-bahan itu.

Zaki yang juga anggota International Water Association berkata, terdapat keperluan mengadakan standard kualiti air untuk PFOA dan PFOS terutamanya dalam Standard Kualiti Air Minum Kebangsaan bagi menjamin keselamatan air yang dibekal kepada pengguna.

"Makmal-makmal di Malaysia perlu diperkasa untuk membolehkan mereka membuat analisa PFAS secara tepat, jitu dan menyeluruh," kata Zaki.

Menurut kajian itu lagi, bahan-bahan itu tersebar ke seluruh dunia menerusi air, udara, tanah dan atmosfera.

Kandungan bahan-bahan itu boleh dikesan dalam air hujan dan saji di pelbagai tempat termasuk kawasan yang tidak berapa dihuni manusia seperti Antartika dan Dataran Tibet.

Ia diberi jolokan forever chemicals kerana ia tidak mudah diurai.

Selain itu, forever chemicals berada dalam atmosfera secara berterusan ekoran sifat dan proses semula jadi yang mengitar kembali bahan itu dari permukaan kepada atmosfera.

Menurut Zaki, penggunaan kimia tersebut menular sekitar 70 tahun yang lalu yang mana ia banyak digunakan dalam produk-produk harian seperti kuali anti-lekat  dan kotak makanan menggunakan bahan hidrofobik yang mengandungi PFAS.

"Satu kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat menunjukkan bahan tersebut ada dalam lebih 95% sampel plasma darah rakyat di sana," katanya.

Tambah Zaki, PFAS juga boleh terkumpul dalam badan.

Berdasarkan kajian terhadap haiwan, katanya terdapat hubung kait antara kandungan kimia itu dengan pembentukan tumor, selain memberi kemudaratan kepada sistem imuniti badan.

Dalam pada itu, Zaki berkata langkah pencegahan ialah dengan tidak menggunakan bahan-bahan mengandungi kimia tersebut dalam produk dan sudah dilakukan di Amerika Syarikat.

"Setakat ini, pendekatan tersebut menunjukkan hasil, di mana ada penurunan kandungan PFOA atau PFOS dalam persekitaran awam.

“Pihak berkuasa Singapura juga mengharamkan pengimportan bahan itu." 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.