Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, bekerja di Singapura mungkin menjadi impian mereka kerana republik itu sangat dekat dengan rumah mereka sementara pulangan gaji pula sangat lumayan disebabkan faktor pertukaran nilai mata wang yang lebih tinggi antara dolar Singapura dan ringgit.
Namun begitu, lain ceritanya jika mereka mahu tinggal di sana, kos sara hidup tinggi di republik itu boleh membebankan rakyat Malaysia yang ingin menetap di Singapura.
Mengulas mengenai trend bekerja di Singapura dan menetap di Johor oleh golongan muda Malaysia, pakar ekonomi dari University Sunway Yeah Kim Leng, menyifatkan trend ini sebagai "masuk akal" dari aspek ekonomi.
Katanya, meraih pendapatan menerusi dolar Singapura dan berbelanja dalam ringgit akan memaksimumkan penjimatan dan menawarkan keuntungan kepada individu terbabit.
"Berbelanja dalam ringgit ibarat seperti berbelanja satu pertiga daripada nilai dolar Singapura," katanya kepada MalaysiaNow.
"Apabila anda bekerja di Singapura setahun, nilainya sama seperti sudah bekerja tiga tahun di Malaysia."
Setakat 19 Ogos, nilai S$1 Singapura adalah bersamaan dengan RM3.23.
Merujuk kepada prestasi mata wang antara kedua-dua negara tersebut, Yeah berkata, rakyat yang menjana kira-kira S$4,000 di Singapura akan dikategorikan sebagai golongan T20 apabila berada di Malaysia memandangkan nilai tersebut bersamaan RM12,901.
Namun begitu, perunding jualan di Singapura, Shahruddin Hael Helmy Mohd Noh, akui walaupun nilai mata wang Singapura lebih tinggi berbanding di Malaysia, majoriti rakyat tempatan lebih rela menetap di Johor dan berulang alik merentas sempadan menaiki motosikal disebabkan perbezaan kos sara hidup antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, situasi ini kerana kos untuk menetap di Singapura adalah jauh lebih tinggi berbanding di Malaysia dan ia boleh membebankan individu yang meraih pendapatan bawah S$2,000 - yang mana jumlah ini masih dianggap tinggi sekiranya ditukarkan kepada nilai ringgit.
"Sewa apartment di Singapura sebulan dianggarkan S$800 bersamaan RM2,580 di Malaysia," katanya.
"Dengan jumlah ini, saya mungkin boleh sewa rumah teres malah rumah banglo sekiranya menetap di Malaysia."
Shahruddin yang juga bekas anggota PDRM turut menambah antara kelebihan berada di Malaysia juga termasuk pemilikan kereta yang lebih mudah serta kos perubatan murah terutama bagi warga tempatan menerusi inisiatif yang diperkenalkan kerajaan.
Menurutnya, kebiasaannya individu yang memiliki kereta di Singapura adalah golongan berpendapatan tinggi atau mereka yang terlibat dalam e-hailing.
"Selain itu, cukai jalan dan harga minyak di Singapura sangat tinggi dan mahal, ditambah dengan dasar melupuskan kenderaan melepasi had usia 10 tahun, memang tidak wajar untuk individu berpendapatan rendah memiliki kenderaan di sana.
"Tetapi sekiranya berada di Malaysia, pendapatan dalam RM4,000 atau mungkin RM3,000 anda boleh masih boleh beli rumah atau kereta," kata beliau yang sudah bekerja di Singapura selama sembilan tahun.
Namun begitu bagi Mohd Faiz Mustaffa, seorang jurutera yang bekerja di Singapura sejak 2007, kos pemilikan kereta atau harga minyak yang tinggi di negara itu jarang menjadi topik rungutan memandangkan negara itu memiliki kemudahan pengangkutan awam yang sangat baik.
Katanya, penyediaan pengangkutan awam yang efisyen itu membolehkan warga Singapura atau individu yang berada di situ untuk bergerak ke seluruh negara dengan lebih mudah.
"Selain itu, kawalan harga barang juga memuaskan. Jarang sekali saya dengar rungutan atau keluhan mengenai kenaikan harga barang secara mendadak dalam satu masa kecuali melibatkan harga minyak.
"Harga makanan di sini (Singapura) juga tidak jauh beza dengan harga di Malaysia.
“Tetapi apa yang mengejutkan saya ialah komuniti Muslim di negara ini kerana ia sangat baik," tambah Faiz.
Mengulas lanjut mengenai pemilihan rakyat tempatan bekerja di Singapura, Yeah berpandangan ia hanya didorong oleh nilai tawaran gaji tinggi di negara itu ekoran kenaikan gaji di Malaysia yang begitu perlahan jika dibandingkan dengan kenaikan kos sara hidup.
Beliau berkata, petunjuk yang paling jelas bagi menggambarkan tekanan kewangan rakyat Malaysia dapat dilihat menerusi jumlah pengeluaran simpanan persaraan.
Pada 8 Ogos lalu, Timbalan Menteri Kewangan 1 Mohd Shahar Abdullah memaklumkan kepada Dewan Negara dianggarkan sebanyak RM155 bilion dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh pencarum.
Setakat 30 Jun 2022, 6.62 juta pencarum atau 52% daripada 12.78 juta ahli KWSP di bawah usia 55 mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.
Daripada jumlah itu, 4.99 juta pencarum atau 75% merupakan Bumiputera.
"Sekarang golongan berpendapatan sederhana (M40) pun tidak mempunyai simpanan kecemasan atau untuk persaraan.
"Lihat saja kepada jumlah pengeluaran KWSP, ia sangat membimbangkan. Ini petanda kenaikan gaji tidak cukup pantas bagi 50% populasi di negara ini," kata Yeah.