Selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara terhadap Najib Razak selama 12 tahun, tumpuan kini beralih kepada nasib dan masa depan Umno yang dilihat selesa bernaung di bawah populariti "Bossku" - satu fenomena yang dicetuskan oleh para penyokong bekas perdana menteri itu.
Beberapa penganalisis politik tempatan mengulas senario dan kemungkinan yang bakal berlaku terutamanya kelangsungan perjalanan politik Umno yang disebut-sebut sebagai parti keramat orang Melayu.
Selain itu, adakah peluang untuk karier politik Najib bertahan selepas ke penjara?
Bercakap kepada MalaysiaNow, penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata keputusan mahkamah terhadap rayuan Najib mengejutkan ramai pihak terutamanya Umno kerana tidak ramai jangka ia akan diputuskan pada semalam.
Oleh itu, katanya, sukar untuk menjangkakan langkah seterusnya yang bakal dilakukan Umno memandangkan mereka juga masih terkejut dengan keputusan tersebut.
Namun begitu Oh menjangkakan dua kemungkinan yang bakal berlaku terhadap parti tersebut pada masa hadapan.
Katanya, kemungkinan pertama ialah orang ramai melihat Umno sebagai sebuah parti yang rasuah memandangkan Najib yang sering kali dianggap sebagai pemimpin “de facto” parti didapati bersalah secara sah.
"Satu lagi kemungkinan yang akan berlaku ialah apabila Najib didapati bersalah, ini akan menunjukkan Umno memang berusaha menentang rasuah dan ini akan menarik sokongan," katanya kepada MalaysiaNow.
Petang semalam, Najib tiba di Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun berikutan keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan pertuduhan dan hukuman berhubung kes SRC International.
Keputusan itu menamatkan penantian selepas hampir empat tahun beliau melalui proses perbicaraan dan rayuan di mahkamah.
Ini menjadikan beliau sebagai perdana menteri pertama dihantar ke penjara.
Ditanya sama ada Najib berpotensi kembali ke arena politik selepas masuk penjara, Oh berkata, kemungkinan itu pastinya ada, malah ia pernah berlaku sebelum ini dengan mengambil contoh kes Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15.
"Yang di-Pertuan Agong boleh memberi pengampunan kepada beliau seperti sebelum ini yang berlaku kepada Anwar.
"Sudah tentu beliau akan gunakan pendekatan yang sama dengan meraih simpati kononnya beliau dikenakan hukuman kerana politik," kata Oh dan menambah bahawa kes keputusan mahkamah (semalam) pastinya bukan pengakhiran bagi Najib.
Dalam pada itu, pemerhati politik dari Universiti Tasmania Australia, James Chin memberitahu keputusan tersebut sudah melanggar salah satu "taboo" terbesar dalam arena politik negara
“Salah satu taboo besar dalam politik Malaysia ialah jika anda seorang perdana menteri, anda hampir tidak boleh disentuh, jadi taboo ini sudah dilanggar."
Pihak berkuasa memulakan siasatan terhadap kes SRC International pada 2018.
Perbicaraan kes itu bermula pada April 2019 di Mahkamah Tinggi KL.
Hakim perbicaraan Mohd Nazlan Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada tahun berikutnya.
Menurut Chin, rakyat Malaysia sudah lama menunggu untuk menyaksikan bekas perdana menteri dipenjarakan disebabkan kes rasuah.
"Pemenang terbesar daripada keputusan hari ini ialah rakyat Malaysia."
Berbeza dengan Oh, Chin berpandangan Najib kehilangan peranannya sebagai ahli Parlimen dan tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Dalam erti kata lain, karier politiknya sudah tamat.
"Saya rasa kebimbangan utama beliau sekarang ialah menghabiskan masa di penjara sesingkat mungkin."
"Dia akan cuba mencari jalan untuk mengurangkan hukuman itu," tambahnya.
Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata Umno kehilangan Najib yang dilihat berupaya menggerakkan parti itu.
Pada masa sama, keputusan tersebut juga menjadi pendorong kepada rakyat untuk mempercayai Umno dan Barisan Nasional (BN) benar-benar berdepan masalah integriti.
"Mungkin pembangkang akan guna isu Najib ke penjara sebagai bukti perjuangan menentang korupsi dalam Umno dan BN itu sesuatu yang nyata.
"Umno akan dilihat dengan imej yang tidak begitu baik. mungkin (rakyat) akan percaya dengan hujah-hujah pemimpin pembangkang."