- Iklan -
Berita

‘Mesyuarat tergempar' Umno disambut dingin, pemenjaraan Najib, kurangkan tekanan Ismail?

Kurang dari 40% ketua Umno bahagian hadir dalam mesyuarat yang disusun kluster mahkamah awal minggu ini.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Najib Razak bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Facebook
Najib Razak bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Facebook

Perhimpunan ketua Umno bahagian pada Isnin hanya mengesahkan lagi kebimbangan kumpulan kluster mahkamah berhubung tahap sokongan yang mereka ada dalam parti itu.

Sumber Umno yang mengetahui berhubung mesyuarat yang diadakan secara tergesa-gesa itu, sehari sebelum Najib Razak dihantar ke penjara berkata, satu-satunya petanda yang ditunjukkan daripada mesyuarat itu adalah bekas perdana menteri dan presiden Ahmad Zahid Hamidi tidak mempunyai sokongan yang kukuh walaupun memainkan peranan membawa parti itu kembali berkuasa.

Pada Ahad malam, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, yang merupakan antara bekas pemimpin kerajaan yang berdepan pertuduhan di mahkamah, memberikan arahan kepada 191 ketua bahagian di seluruh negara untuk berkumpul di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

“Mesej pada lewat malam itu memberitahu kami supaya hadir di Menara Dato’ Onn pada pukul 11 pagi bagi membincangkan perkara yang sangat penting yang boleh jejaskan masa depan Umno.

"Jadi, sudah tentulah sangat mustahak untuk kami semua berada di sana," kata seorang ketua bahagian dari Johor kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun, hanya 73, atau kurang dari 40% ketua bahagian hadir ke mesyuarat itu.

Difahamkan, kebanyakan ketua bahagian Johor, negeri di mana Umno kembali berkuasa baru-baru ini, turut menjauhkan diri daripada mesyuarat itu, di mana hanya 10 daripada keseluruhan 26 ketua bahagiannya hadir.

“Memang sudah diketahui bahawa langkah mengumpulkan ketua-ketua bahagian itu adalah untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya beliau mengadakan pilihan raya, di tengah-tengah kebimbangan Najib akan masuk penjara,” kata satu sumber mewakili ketua bahagian dari Perak .

Semalam, Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusan yang sudah dijangkakan ke atas Najib, di mana beliau diperintahkan menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas gagal mengenepikan sabitan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Keputusan itu dibuat selepas Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak penangguhan pendengaran bagi permohonan supaya beliau menarik diri, mendesak pasukan pembelaan Najib melengkapkan penghujahan mereka mengenai rayuan itu.

Salah seorang timbalan ketua bahagian turut mengesahkan ketika itu, pendengaran rayuan Najib di mahkamah adalah antara perkara yang dibincangkan.

“Antara yang diusulkan Ismail sebagai PM, sepatutnya boleh melakukan sesuatu bagi menyelamatkan seorang pemimpin Umno dari penjara. Kesimpulannya, idea itu ditolak.

“Cuma, isu yang lebih besar ialah sambutan dingin terhadap 'mesyuarat tergempar' oleh Umno pusat itu. Itu mungkin kebimbangan yang lebih besar daripada penolakan terhadap cadangan untuk campur tangan dalam proses mahkamah,” kata orang kuat Umno itu.

Sejak beberapa bulan lalu, wujud kebimbangan dalam kalangan pendukung Najib dalam Umno bahawa kuasa yang ada pada Ismail sebagai perdana menteri boleh menjejaskan momentum sokongan kepada bekas pemimpin itu, terutama dalam usahanya untuk kembali berpolitik dengan mengelak daripada hukuman penjara. 

Mereka mengandaikan hanya kerajaan yang didominasi Umno sahaja yang dapat menyelamatkan Najib dan pemimpin parti lain yang sedang berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah.

Selain turut yakin selepas menang dalam siri pilihan raya negeri sebelum ini, kumpulan itu memberi tekanan kepada Ismail supaya pilihan raya diadakan lebih awal, di mana kerajaan pimpinan Umno boleh ditubuhkan sekali gus dalam menguruskan kes berprofil tinggi.

Ismail yang memegang jawatan perdana menteri atas sokongan Perikatan Nasional, setakat ini dapat bertahan dengan tekanan supaya beliau membubarkan Parlimen sekali gus mengadakan pilihan raya.

Namun, buat masa ini, tekanan itu dapat dikendurkan. 

“Hakikatnya kini pemimpin kluster mahkamah sudah berada dalam penjara, dan ia adalah isyarat dari Ismail bahawa beliau kini adalah orang yang berkuasa dalam Umno walaupun hanya seorang naib presiden,” kata seorang lagi pemimpin Umno Perak.

"Respons senyap daripada ketua bahagian pada Isnin menghantar mesej bahawa Ismail masih pegang kuasa, dan dalam tradisi Umno, orang yang ada kuasa adalah mereka yang ahli parti cenderung dengar kata mereka.”