- Iklan -
Berita

‘Besar kemungkinan’ Najib dapat pengampunan, kata Mahathir

Bekas perdana menteri itu turut berkata masih banyak kes rasuah yang tertangguh dan belum dibicarakan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad menyatakan kebimbangan kemungkinan Najib Razak terlepas daripada hukuman dengan pengampunan diraja selepas bekas perdana menteri itu dihantar ke penjara 23 Ogos lalu bagi menjalani hukuman selepas disabitkan pertuduhan menyelewengkan dana RM42 juta SRC International pada Selasa.

Dalam sebuah kenyataan, Mahathir berkata tempoh lama yang diambil bagi prosiding kes SRC Najib itu menyebabkan banyak kes rasuah melibatkan ahli politik tertangguh.

“Kelewatan perbicaraan akan menghasil keadilan terabai.

“Besar kemungkinan penjenayah akan terlepas dari dihukum kerana jenayah yang dilakukan oleh mereka,” katanya dan menambah bahkan ada penjenayah yang terlibat sudah meninggal dunia.

Selasa lalu, Najib dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya.

Beliau disabitkan bersalah bagi kes SRC International pada Julai 2020.

Beliau kemudiannya merayu di Mahkamah Rayuan, namun gagal selepas mahkamah itu mengekalkan sabitan dan hukumannya akhir tahun lalu.

Walaupun boleh mengemukakan semakan berhubung keputusan itu, namun penarikan semula sabitan oleh mahkamah tertinggi negara itu jarang berlaku.

Beliau juga boleh memohon pengampunan yang membolehkannya kembali aktif dalam politik seperti apa yang berlaku pada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mendapat kemenangan sebaik sahaja Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh memberikan pengampunan diraja atau penangguhan hukuman kepada banduan yang didapati bersalah di mahkamah.

Ketika ini, Najib masih berdepan empat lagi kes berkait skandal 1MDB, termasuk perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Berhubung perkara itu, Mahathir perjalanan proses mahkamah itu juga akan mengambil masa yang lama.

“Saya percaya hakim-hakim juga kurang senang dengan begitu banyak kes tertangguh. 

“Kelewatan ini menjadi lebih buruk kerana perlakuan Najib dengan peguamnya. Bermacam alasan diguna untuk menghalang perbicaraan."

Beliau turut berkata masih banyak laporan sudah dibuat mengenai kes rasuah dan masih belum dibicarakan.

“Benarlah seperti pepatah Inggeris bahawa keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai,” katanya.

“Bagi Najib besar kemungkinan ia akan diampun setelah dipenjara,” katanya.