Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Rabu memberi jaminan kerajaan tidak akan membenarkan kanabis digunakan untuk tujuan rekreasi di Malaysia.
Khairy berada di Thailand untuk lawatan kerja empat hari bagi mengkaji amalan, kaedah penanaman, penyelidikan dan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan.
“Saya berada di Bangkok untuk memahami dengan lebih lanjut bukti klinikal dan rangka kerja kawal selia.
“Jika bukti klinikal menunjukkan bahawa kanabis selamat dan mujarab untuk digunakan bagi tujuan perubatan, kami akan menyediakan rangka kerja pengawalseliaan dan garis panduan amalan klinikal.
"Jangan khuatir, penggunaan kanabis untuk tujuan rekreasi tidak akan dibenarkan," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Rabu.
Catatan itu turut memuatkan gambar Khairy bersama Menteri Kesihatan Thailand Anutin Charnvirakul di sebuah pusat penyelidikan kanabis.
“Bersama rakan saya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul menunjukkan produk CBD Thailand.
“Mereka telah membenarkan kanabis untuk tujuan perubatan,” kata Khairy.
Pada awal hari ini, Khairy melawat Siam Cannabis Land di Pattaya, dan beliau diberi taklimat serta melawat rumah hijau dan ladang penanaman terbuka yang menanam pelbagai jenis kanabis.
Projek bandar kanabis seluas 350 ekar dijangka memberi tumpuan kepada pembangunan produk kesihatan dan perkhidmatan perubatan yang komprehensif.
Pada 9 Jun, Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk tujuan perubatan.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand mengeluarkan kanabis yang mengandungi tidak melebihi 0.2% tetrahydrocannabinol (THC) daripada senarai narkotik yang diharamkan.
Bagaimanapun, pemilikan kandungan yang diekstrak seperti minyak dan hidangan seperti makanan dan minuman mengandungi lebih daripada 0.2% THC masih diharamkan di Thailand.
THC adalah sebatian psikoaktif utama yang terdapat dalam kanabis.