- Iklan -
Berita

Pemerhati bidang automotif jelaskan mengapa sukar lupus kenderaan lama

Bagi kebanyakan orang, kereta lama mereka masih boleh digunakan dan merupakan satu-satunya kenderaan yang dimiliki mereka.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Deretan kereta lama yang diparkir di sebuah bengkel kereta di Perak.
Deretan kereta lama yang diparkir di sebuah bengkel kereta di Perak.

Pemerhati bidang automotif menjangkakan kenderaan-kenderaan lama di Malaysia tidak akan mudah dilupuskan meskipun dengan perlaksanaan polisi pengurusan kenderaan akhir hayat yang diumumkan baru-baru ini.

Menjelaskan mengenai perkara itu, pengendali laman sesawang Careta.my, Hezeri Samsuri berkata, ini kerana rakyat masih kurang mampu untuk membeli kenderaan baru, yang berharga lebih mahal berbanding di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Adham Baba baru-baru ini memaklumkan pengurusan polisi kenderaan akhir hayat atau end-of-life vehicles (ELV) itu sedang dikaji untuk dilaksanakan pada 2025. 

Polisi itu bertujuan memanfaatkan komponen dan bahan-bahan dalam kenderaan lama masih boleh digunakan daripada dibuang. 

Menurutnya, potensi eksport industri itu dianggarkan bernilai RM10 bilion. 

Tambahnya, tiada negara yang mewajibkan pelupusan kereta lama, termasuklah Singapura yang terkenal dengan polisi yang tegas berkaitan pemilikan kenderaan peribadi.

Menurut Hezeri, Malaysia hanya perlu mewujudkan sistem yang mana kenderaan-kenderaan usang melalui skim pemeriksaan tahunan bagi memastikan kenderaan tersebut selamat digunakan. 

"Pemeriksaan teknikal berkala itu adalah bagi sistem brek, gantungan, enjin dan sebagainya," katanya.

Kereta lama turut mempunyai kadar pelepasan asap yang tinggi berbanding kenderaan baru. 

Ia dijadikan alasan kukuh bagi negara-negara Eropah untuk mengenakan caj tinggi sekiranya pemilik mahu mengekalkan kenderaan lama. 

Menurut Hezeri, aspek penguatkuasaan itu antara isu utama di Malaysia. 

Sebagai contoh, negeri California di AS mempunyai undang-undang pencemaran yang lebih ketat dari negeri-negeri lain. 

"Manakala di Malaysia, undang-undang negeri tidak menyentuh soal kenderaan. 

“Mungkin rakyat di Selangor mampu untuk menyimpan kenderaan lama, tapi ia sukar diikuti negeri-negeri kurang membangun. 

“Kelulusan secara 'blanket' untuk satu negara akan menjadi tidak adil," tambahnya.

Isu jumlah kenderaan juga menjadi hangat baru-baru ini apabila dilaporkan, Malaysia mempunyai 30 juta kenderaan, menyamai jumlah penduduk negara. 

Daripada jumlah itu,

lebih 60,000 kenderaan terbiar masih berdaftar di seluruh negara, mengikut laporan pada 2019. 

Beberapa tahun lalu, cadangan pelupusan kenderaan lama pernah ditimbulkan namun ia tidak menerima reaksi positif dalam kalangan rakyat. 

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong pada Jun lalu memaklumkan cadangan melupuskan kenderaan melebihi 10 tahun belum sesuai dilaksanakan di negara ini. 

Seorang penganalisis automotif, Chips Yap pula berkata, polisi itu perlu melibatkan penggunaan kenderaan elektrik. 

Ini kerana kitar semula dan pembuangan bateri akan menjadi isu apabila jumlah kenderaan elektrik meningkat.

"Kita tidak perlu tunggu sehingga ada terlalu banyak pek bateri yang tidak digunakan di seluruh negara sebelum kita fikir polisi untuk menyelesaikan perkara berkenaan," tambahnya. 

Polisi itu antara lain perlu membabitkan nyahdaftar kenderaan yang sudah dilupuskan daripada rekod-rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ini kerana setakat ini, ada kenderaan sepatutnya di nyahdaftar tetapi masih berada dalam rekod. 

Berdasarkan pengalaman peribadinya, keretanya sendiri yang pernah terlibat dalam kemalangan dan dibayar insurans, dibaiki, dijual dan digunakan semula. 

Polisi ELV katanya boleh memastikan perkara tersebut tidak berlaku. 

Sementara itu, presiden persatuan peniaga aksesori automotif( Automotive Accessories Traders Association of Malaysia), Lim Bee Choo berkata, pihaknya mengalu-alukan inisiatif itu yang boleh menyelesaikan isu kenderaan terbiar menerusi kitar semula. 

Katanya, berdasarkan statistik Mei lepas, 19 juta daripada 33 juta kenderaan yang berdaftar berusia sekurang-kurangnya 10 tahun.

“Inisiatif ini akan membantu pemain industri yang perlu mencari cara melupuskan stok-stok kenderaan lama. 

“Industri bengkel, penggunaan semula dan penghasilan semula komponen dan alat ganti automotif juga akan menerima impak," katanya. 

Lim berkata, walaupun polisi itu tidak akan diimplementasi 100% dalam masa terdekat, katanya merupakan langkah pertama yang membolehkan pemeriksaan keselamatan sebelum cukai jalan diperbaharui untuk kenderaan berusia lama. 

Pihaknya juga berharap agensi kerajaan berkaitan boleh menyediakan platform perbincangan dan libat urus dengan pemegang taruh sebelum membentuk polisi itu. 

Dalam pada itu, Hezeri berkata langkah itu wajar dilaksanakan kerana kerajaan amat memerlukan data sebenar jumlah kenderaan yang digunakan di atas jalan raya. 

Ini kerana kenderaan tersadai masih berada dalam sistem. 

"Pemberian insentif mungkin akan membantu mengurangkan masalah kereta buruk yang ditinggalkan di tepi jalan. Pemilik akan mempunyai pilihan untuk melupuskan kereta lama jika ada insentif.

"Insentif pelupusan kereta lama juga membuka ruang kepada industri automotif untuk mendapatkan bekalan alat ganti terpakai yang boleh diproses dan dieksport, selain meningkatkan jualan kenderaan baru," katanya.

Sebelum ini, kerajaan pernah menggerakkan kempen Cash for Clunkers dengan kerjasama Perodua dan Proton  dengan memberi insentif RM5,000 kepada pemilik yang melupuskan kenderaan lama.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.