- Iklan -
Berita

Rakyat miskin keliru, bimbang polisi kitar semula ‘pemaksaan’ hapus kereta lama

Kebanyakan mereka hanya mempunyai satu kereta dan ia masih boleh digunakan walaupun sudah lama.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Deretan kereta terpakai yang diparkir di hadapan sebuah bengkel.
Deretan kereta terpakai yang diparkir di hadapan sebuah bengkel.

Pengumuman kerajaan yang mahu melaksanakan polisi pengurusan kenderaan akhir hayat atau end-of life vehicle (ELV) menjelang tahun 2025 merisaukan pemandu di luar bandar dan kumpulan berpendapatan rendah yang mengatakan mereka tidak memahami rancangan kerajaan itu dan bimbang mereka mungkin terpaksa melepaskan kereta lama yang masih boleh digunakan.

Menerusi ELV, kenderaan yang sudah berakhir jangka akhir hayat boleh dimanfaatkan untuk komponennya.

Dengan mengambil contoh kepada Singapura dan Jepun, Malaysia merangka hala tuju ELV yang diharap mampu memberikan penyelesaian kepada kaedah pelupusan kenderaan dengan cepat. 

Sehingga kini, polisi tersebut masih di peringkat kajian melibatkan beberapa pihak termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) serta beberapa universiti awam. 

Bagaimanapun, pengumuman baru-baru ini mengenai polisi tersebut masih mengelirukan masyarakat khususnya mereka yang berada di kawasan luar bandar dan golongan berpendapatan rendah. 

Tinjauan MalaysiaNow ke dua buah kampung di Sungai Buloh dan Shah Alam, Selangor mendapati rata-rata pengguna kereta belum memahami konsep pelaksanaan ELV. 

Selepas diterangkan secara ringkas, mereka terkejut dan bimbang sekiranya polisi itu memaksa mereka menghentikan penggunaan kenderaan masing-masing yang sudah berusia lebih 10 tahun. 

Seorang pembantu restoran di Kampung Paya Jaras Hilir, Rustam Shah berkata kenderaan yang dipandunya kini berusia lebih 20 tahun dan digunakan selama dua generasi. 

"Kereta macam mana yang kena leraikan dan hapuskan? Kereta saya dah lebih 20 tahun tapi masih boleh digunakan untuk pandu jarak dekat. 

"Ini sahaja kereta yang ada dan masih saya gunakan selepas ayah meninggal dunia pada tahun 2009," katanya kepada MalaysiaNow. 

Berdasarkan data Kementerian Pengangkutan, setakat Mei 2022 sebanyak 33 juta kenderaan berdaftar di Malaysia dengan 19 juta daripadanya adalah berusia 10 tahun ke atas. 

Kebimbangan kerajaan apabila kenderaan usang digunakan di atas jalan raya ianya akan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar selain membahayakan pengguna. 

Kerajaan juga membayangkan, kira-kira 70% barang yang boleh dileraikan dari ELV boleh dieksport ke negara lain dengan pulangan mencecah RM10 bilion. 

Dalam pada itu, beberapa pengumpul-pengumpul kenderaan "continental" merujuk kepada pengeluaran kenderaan oleh syarikat-syarikat kereta di Eropah berasa keliru dengan rancangan polisi tersebut. 

Mereka mempertikai apakah yang dimaksudkan oleh kerajaan sebagai kenderaan yang "layak" dilupuskan. 

Soal mereka, adakah ia ditentukan oleh faktor hayat kenderaan atau keadaan kenderaan yang tidak lagi digunakan? 

"Kalau nak kitar semula komponen kenderaan terbiar kena jelas ianya untuk kenderaan terbiar dan usang sahaja. Yang tersadai di bengkel atau tepi jalan. 

"Kalau kenderaan ukur ikut umur, apa jadi dengan kereta-kereta koleksi kami? Semuanya dijaga dan dipelihara dengan baik," kata Ahmad Khalid, salah seorang ahli kumpulan Facebook pengumpul kenderaan klasik Mercedes Benz W203 kepada MalaysiaNow.  

Tambahnya, alasan Menteri Mosti Dr Adham Baba yang mengatakan lambakan kenderaan usang sehingga menjadi lubuk pembiakan denggi tidak kukuh sebagai asas pelaksanaan ELV. 

Sebaliknya, kata pesara kerajaan itu, kerajaan perlu memfokuskan strategi pelupusan yang mesra alam sekitar dan tidak membebankan rakyat. 

"Kos selenggara kenderaan terpakai amat tinggi. Tiba-tiba nak umum hapus macam tu buatkan kita rasa kerja mengumpul ini sia-sia.

"Bagaimana dengan keluarga yang ada hanya satu kereta untuk digunakan? Perlu dikitar semula juga?" 

Kini, kerajaan sedang mengkaji cara penyelesaian kepada permasalahan kenderaan akhir hayat secara kitar semula komponen ELV atau menjadikannya satu produk lain. 

Di Singapura dan Jepun, kenderaan ELV memasuki pasaran kenderaan terpakai di Malaysia dan dijual dengan harga lebih murah berbanding pasaran. 

Manakala di negara-negara Barat, ELV sudah lama dilaksanakan memandangkan mereka mempunyai kepakaran dalam pengitaran semula dan pengeluar terbesar kenderaan berjenama. 

Malah, fokus mereka kini tertumpu kepada lambakan kenderaan elektrik yang mempunyai bateri tarikh luput untuk dihapuskan ataupun dikitar semula. 

Sementara itu, di Shah Alam, seorang pengawal keselamatan mahu dikenali sebagai Nilakantna bertanya, sekiranya kereta Proton saga keluaran tahun 1997 miliknya dileraikan apakah pulangan yang diterima olehnya? 

"Saya dapat duit tak? Kalau ada pulangan wang saya boleh hapuskan. Jika tidak, saya akan tetap pandu kereta ini walaupun tak dibenarkan bayar cukai jalan. 

"Lagi baik, jimat duit saya." 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.