- Iklan -
Berita

Bagaimana pekerja asing terperangkap dalam hutang dengan ejen cari kerja

Ramai yang terpaksa membayar hutang bertahun-tahun, bahkan sehingga melebihi tempoh permit mereka.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja memetik oren di sebuah ladang di Sungai Buloh, Selangor.
Seorang pekerja memetik oren di sebuah ladang di Sungai Buloh, Selangor.

Sudah masuk 13 tahun Kadeer menetap di Cameron Highland, Pahang sebagai pekerja kebun dan pengutip sayur. 

Awal tahun ini, anak sulungnya, Kazi mengikut jejak langkahnya ke Malaysia untuk bekerja. 

Impian mereka cuma satu, ingin membantu keluarga di Bangladesh menikmati taraf hidup dan pendidikan yang lebih baik. 

Bagaimanapun, hasrat dua beranak itu terganggu apabila wang tunai yang perlu dihantar kepada keluarga perlu diserahkan kepada orang tengah yang mengatur urusan kerja mereka di Malaysia. 

Kadeer perlu mengeluarkan wang kira-kira RM200 dari gajinya setiap bulan untuk membantu anaknya menanggung beban hutang sebanyak RM15,000 dengan pengantara kerja sejak Mac lalu.

Kazi memberitahu dirinya perlu bersetuju dengan beberapa syarat berdasarkan pakej yang dipilih dengan orang tengah. 

"Pakej yang mahal akan meletakkan saya di tempat kerja yang baik seperti pelayan restoran dalam pusat beli belah ataupun juruwang. 

"Pakej yang rendah pula kerja-kerja berat seperti buruh. Saya bayar pakej mahal tetapi sampai di Malaysia diberitahu kerja-kerja pakej mahal sudah habis dan tiada kekosongan," kata Kazi kepada MalaysiaNow. 

Kemudian, dia dijanjikan untuk dihantar ke ibu kota dalam kadar segera untuk mula bekerja.

Selepas lebih dua bulan duduk di sebuah rumah kongsi di Puchong, Selangor tanpa bekerja, dia nekad untuk keluar dari situ dan tidak mahu menunggu lagi. 

"Saya maklumkan kepada pihak itu saya mahu ikut ayah bekerja dan mereka mengatakan saya sudah menyebabkan mereka rugi kerana perjanjian sudah dibuat dengan majikan. 

"Tetapi, dia tidak memberitahu saya siapa majikan itu dan bila boleh mula bekerja." 

Kini, Kazi diarahkan membayar cas tanbahan "ganti rugi" yang dikenakan oleh orang tengah sebanyak RM5000 dalam tempoh kurang tiga tahun. 

Ketika dihubungi MalaysiaNow, majikan mereka meluahkan kekecewaan apabila mendapati tiga daripada empat orang pekerjanya terperangkap dengan hutang oleh pihak tiak bertanggungjawab itu. 

"Saya tidak tahu sama ada betul atau tidak orang tengah itu ejen pengambil kerja ataupun memang penipu (scammer). 

"Semua pekerja saya bayar duit bulanan pergi bank nama orang bukan akaun nama syarikat. 

"Hanya Kadeer sahaja tidak ditipu, tapi dia datang ke sini sudah lama." katanya yang mahu dikenali sebagai Hock kepada MalaysiaNow. 

Katanya, urusan kerja di kebunnya banyak diuruskan oleh pekerja tempatan di daerah pelancongan itu memandangkan hasil sayur dan buah buahan dijual di pasar malam berdekatan. 

Manakala pekerja asing diberikan keutamaan menjaga dan mengutip hasil tanaman sahaja mengikut kadar bayaran jam dan hari bekerja, 

"Saya sudah cuba dapatkan pengesahan siapa orang-orang tengah ini melalui kawan-kawan peniaga juga, tetapi terlalu ramai. 

“Susah untuk dikesan." 

Atas sebab itu, Hock menegaskan supaya para majikan membuat semakan teliti tentang latar belakang pengambilan kerja masing-masing bagi memastikan mereka tidak ditipu oleh pengantara.

"Tapi ini juga luar bidang kuasa kita (majikan). 

“Sebab bayaran kepada ejen sudah dibuat ketika berada di Bangladesh lagi," katanya. 

MalaysiaNow difahamkan lelaki Bangladesh yang direkrut untuk bekerja dalam sektor pembinaan lazimnya menanggung hutang yang sama dengan jumlah pendapatan setahun (termasuk kerja lebih masa maksimum), dan biasanya mengambil masa kira-kira 18 bulan untuk membayarnya.

Ini tidak termasuk yuran pengambilan kerja (recruitment fees) yang juga dilihat menjadi beban kepada pekerja asing yang berharap dapat menyara keluarga ketika bekerja di luar negara. 

Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira berkata, mengikut Organisasi Pertubuhan Internasional (ILO) mana-mana pekerja tidak patut mengeluarkan wang kepada ejen, sebaliknya majikan yang mencari pekerja perlu membuat bayaran tersebut. 

Tetapi disebabkan kelemahan polisi dan pemantauan pihak berwajib, ramai pekerja-pekerja asing terikat dengan bebanan hutang selama beberapa tahun. 

"Sebab itu tidak pelik, ada pekerja asing yang pernah dibelasah teruk, ditipu tetapi tak mahu pulang ke negara asal. 

"Mereka ini terikat dengan hutang. Mereka tak boleh balik. 

“Lama-kelamaan isu ini menjadi konflik tiada dokumentasi kerana terlalu lama berada di Malaysia,'" katanya kepada MalaysiaNow. 

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan mengingatkan para majikan yang ingin menggajikan pekerja warga asing agar tidak membuat sebarang pembayaran melalui orang tengah atau pihak ketiga bagi elak ditipu. 

Majikan yang menggunakan khidmat agensi pekerjaan swasta juga perlulah memastikan agensi itu berdaftar dan mempunyai lesen yang diperakui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981.