- Iklan -
Berita

Pembentangan belanjawan tahun depan diawalkan 7 Oktober

Takwim pembentangannya sebelum ini sepatutnya bermula pada 28 Oktober.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sidang Parlimen akan datang akan diawalkan pada 3 Oktober depan.
Sidang Parlimen akan datang akan diawalkan pada 3 Oktober depan.

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi dalam satu kenyataan berkata belanjawan itu akan dibentang pada sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 (2022) yang bermula pada 3 Oktober ini.

Menurutnya, takwim sebelum ini sepatutnya bermula pada 28 Oktober hingga 15 Disember 2022 iaitu selama 31 hari bagi Dewan Rakyat dan 8 hingga 22 Disember bagi Dewan Negara, manakala takwim baru yang dicadangkan adalah pada 3 Oktober hingga 29 November 2022 bagi Dewan Rakyat iaitu selama 32 hari dan 21 November hingga 7 Disember 2022 bagi Dewan Negara.

"Perubahan ini berikutan terdapat keperluan untuk kerajaan meminda takwim Mesyuarat Ketiga ini bagi membolehkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2023 dipercepatkan," katanya.

Selain itu, katanya ia bagi membolehkan pembentangan RUU Perbekalan Tambahan 2022 dan RUU Tanggungjawab Fiskal dibentangkan sebaik RUU Perbekalan (Belanjawan) 2023 diluluskan di Dewan Rakyat.

Beberapa laporan media dalam talian hari ini menyebut Bajet 2023 akan dibentangkan awal iaitu pada 7 Oktober, yang sebelum ini dijadualkan pada 28 Oktober. 

Wan Junaidi berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menggunakan kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk meminda tarikh takwim baharu dari 26 Oktober 2022 dan diawalkan kepada 3 Oktober tahun ini.