- Iklan -
Berita

Anak merdeka cemerlang tanpa kerakyatan bimbang hasrat sambung belajar dinafikan

Mohamad Omar Mokhtar, disekat untuk mendapatkan kad pengenalan pada usia 12 tahun dengan alasan kad pengenalan ibunya bermasalah.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Mohamad Omar Mokhtar menunjukkan sijil kelahirannya (kanan) yang menyatakan dia adalah warganegara dan satu lagi dokumen sama yang mempunyai status berbeza di Petaling Jaya hari ini.
Mohamad Omar Mokhtar menunjukkan sijil kelahirannya (kanan) yang menyatakan dia adalah warganegara dan satu lagi dokumen sama yang mempunyai status berbeza di Petaling Jaya hari ini.

Seorang lepasan pelajar pra universiti Melayu dengan keputusan cemerlang 4.0 dalam peperiksaan Sijil Pendidikan Tinggi Malaysia (STPM) menanti peluang untuk menyambung pelajaran ke menara gading selepas dinafikan hak kewarganegaraan oleh kerajaan Malaysia. 

Mohamad Omar Mokhtar, 20, lahir pada 31 Ogos 2002 disekat untuk mendapatkan kad pengenalan pada usia 12 tahun atas alasan kad pengenalan ibu kandungnya yang berasal dari Sabah mempunyai beberapa masalah. 

"Pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) maklumkan kad pengenalan itu ada isu tetapi tidak jelas. 

"Tapi JPN tak dapat kenal pasti," kata penasihat Lawyers for Liberty Latheefa Koya pada satu sidang media di Petaling Jaya, Selangor hari ini. 

Menurut Latheefa, selepas JPN menyemak kad pengenalan ibu kandungnya didapati pengeluaran kad pengenalan tersebut tidak sah atau disyaki kad pengenalan tipu. 

"Apa-apapun, ianya bukan salah Omar. 

“Tapi kenapa hukum Omar atas kesalahan ini? Kita tidak tahu siapa salah dalam hal ini. Ibunya atau siapa?”

Menurut Latheefa, ayah dan ibu kandung Omar berkahwin di Selangor tanpa proses pendaftaran yang sah. 

Selepas kedua-dua mereka berpisah, pada tahun 2015 Omar diambil sebagai anak angkat secara sah oleh ibu saudaranya yang menetap di Kedah. 

Ketika itu, proses dan permohonan pengangkutan sudah disempurnakan oleh JPN. 

Melalui dokumen yang ditunjukkan kepada media, salinan sijil lahir pertamanya, Omar merupakan warganegara Malaysia. 

Tetapi selepas dirujuk kad pengenalan ibunya sebagai tidak sah, satu sijil lahir baru dikeluarkan oleh JPN menyatakan Omar bukan warganegara.  

Menurut Latheefa, ini menunjukkan JPN menarik balik kerakyatan yang diberikan kepada Omar dengan cara yang salah. 

"JPN boleh menarik balik kerakyatan seseorang apabila dia mempunyai kerakyatan lain contohnya tarik balik Malaysia tetapi dia warga Australia, Indonesia dan sebagainya. 

"Tetapi Omar jelas, dia tanpa kerakyatan."

Latheefa berkata, di bawah jadual kedua mengikut Artikel 14 Bahagian Dua, Seksyen 1(e) Perlembagaan Persekutuan, Omar dianggap sebenarnya individu tanpa kerakyatan atau “stateless” dan bukan sebagai orang asing ataupun warganegara Indonesia, Filipina dan sebagainya. 

Seseorang yang tanpa kerakyatan dianggap sebagai warganegara sekiranya dilahirkan di Malaysia. 

"Tapi pihak JPN dan kerajaan beri nasihat untuk buat permohonan bawah 15 (a) untuk beri warganegara kalau terdapat keadaan istimewa. 

"Dia (JPN) boleh beri kewarganegaraan kepada orang seperti Omar. 

“Kalau betul kerajaan ada kuasa sepatutnya berikan. Tapi hal ini Omar sudah tunggu selama tujuh tahun," katanya.

Selain Omar, Latheefa berkata pihaknya turut mengendalikan beberapa kes yang sama melibatkan individu tanpa kerakyatan yang menununggu status kewarganegaraan sehingga lebih 13 tahun lamanya. 

Lebih membimbangkan apabila artikel 15 (a) itu hanya diguna pakai bagi pemohon di bawah usia 21 tahun. 

Sementara Omar pula, akan masuk usia 21 tahun pada 2023, berbaki beberapa bulan dari sekarang.

Malaysia merupakan antara negara yang sudah menandatangani banyak konvesyen antarabangsa yang menyatakan ikrar untuk melindungi kanak-kanak. 

"Malaysia ada satu tanggungjawab sebagai negara yang bertamadun oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu tapi masih tak patuh kepada benda-benda yang kita sendiri dah setuju. 

"Akhir sekali, dalam perlembagaan iktiraf bahawa lindungi kanak-kanak tanpa kerakyatan. 

"Tapi enggan anggap Omar sebagai tiada kerakyatan tapi orang asing. Asing dari negara mana? Tak diberitahu,” kata Latheefa.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.