- Iklan -
Berita

Penghakiman telus gambaran sistem keadilan yang berwibawa, titah Sultan Perak

Menurut Sultan Nazrin Shah, sebarang keraguan perlu dihindarkan dan seorang hakim itu perlu bebas daripada sebarang pengaruh mahupun tekanan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Gambar: Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Gambar: Bernama

Sistem penghakiman yang telus menggambarkan proses keadilan yang berwibawa dan tidak dibayangi dengan perasaan gusar dan gentar pada sesiapa, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah dalam sistem keadilan, hakim merupakan watak penting dan mempunyai peranan besar serta menjadi simbol dalam memastikan kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman. 

“Sebarang bentuk keraguan perlu dihindarkan dan seorang hakim itu perlu bebas daripada sebarang pengaruh mahupun tekanan.

“Dalam usaha mewujudkan Institusi Kehakiman Syariah yang berkredibiliti dan berwibawa, pegawai-pegawai kehakiman perlu dari semasa ke semasa diberi latihan, dilengkapi kemahiran dan didedahkan dengan pengalaman agar pengetahuan dan kecekapan mereka mentafsir undang-undang dan Hukum Syarak dapat ditingkatkan,” titah Nazrin sewaktu melancarkan Jurnal Syariah Perak Al-Qanun Vol.1 2022 di Ipoh hari ini.

Baginda bertitah penulisan alasan penghakiman yang bernas dan berkualiti akan menjadi panduan dan rujukan kepada para pengamal undang-undang.

“Alasan penghakiman juga, menjadi pertimbangan kepada mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan yang diumumkan, bagi menilai kembali sama ada ingin meneruskan niat mereka untuk merayu atau sebaliknya.  

“Sekiranya asas dan sandaran penghakiman itu lemah, perayu berhak untuk berhujah bahawa hakim telah terkhilaf dalam penghakimannya dan memohon untuk kesnya dinilai semula di mahkamah yang lebih tinggi.

“Peluang rayuan merupakan hak yang dijamin oleh undang-undang, menjadi medan bagi hakim-hakim mahkamah yang lebih tinggi untuk menilai semula alasan penghakiman yang diputuskan oleh hakim-hakim di mahkamah yang lebih rendah; sama ada berlaku kekhilafan atau sebaliknya,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah baginda selaku ketua agama Islam yang bertanggungjawab ke atas urusan hal ehwal agama Islam, mendukung sepenuhnya prinsip kebebasan kehakiman syariah di negeri ini demi kepentingan keadilan.

Baginda turut bertitah agar usaha menambah baik sistem kehakiman syariah dan memperkasakan Mahkamah Syariah hendaklah terus dirintis.

“Menerbitkan Al-Qanun, Jurnal Syariah Perak merupakan satu contoh usaha murni lagi terpuji.  Semoga Al-Qanun dapat dijadikan bahan rujukan oleh para hakim serta pengamal undang-undang,” titah Sultan Nazrin.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.