- Iklan -
Berita

Bella menangis terima rawatan cuci luka di tangan, kata pakar bedah plastik

Dr Salmi Mohamed Shukur berkata remaja sindrom Down itu mengalami kecederaan lecur pada tangan kanan dan kirinya ketika dibawa ke Hospital Kuala Lumpur tahun lalu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Siti Bainun Ahd Razali di Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan kes penderaan remaja kurang upaya Bella.
Siti Bainun Ahd Razali di Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan kes penderaan remaja kurang upaya Bella.

Mahkamah Sesyen diberitahu bahawa remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella menangis semasa menerima rawatan mencuci luka pada kedua-dua bahagian tangannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Jun tahun lepas.

Pakar bedah plastik HKL, Dr Salmi Mohamed Shukur, 46, berkata remaja itu mengalami kecederaan lecur pada tangan kanan dan kirinya.

“Bella menangis semasa mencuci luka dan kita (pegawai perubatan) perlu memegang tangannya serta dia dilihat tidak gembira sebab sakit.

“Luka tangan kiri Bella mengalami kelecuran pada 1% manakala luka tangan kanan lecur ialah 0.5%. Selain membuat diagnosis terhadap tangan itu, saya lihat jika ada kesan bengkak, panas dan kemerahan bagi simptom jangkitan kuman. Lebih bagus untuk tahu punca lecur daripada pesakit.

"Apabila saya mendekati Bella, dia tidak maklumkan punca lecur itu dan saya tidak mahu paksa dia,” kata saksi pendakwaan ke-15 itu semasa pemeriksaan utama timbalan pendakwa raya Nor Azizah Mohamad pada perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali.

Dr Salmi berkata berdasarkan kesan lecur, beliau menganggap kecederaan itu sudah tiga minggu dan beliau melihat sendiri kesan lecur dan keadaan Bella semasa remaja itu dipindahkan sementara ke wad 15 hospital itu selepas disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, saksi berkata dua kesan lecur pada kedua-dua tangan Bella, berkemungkinan besar berpunca daripada air panas berdasarkan laporan yang diberikan oleh pegawai perubatan di bawah seliaannya, Dr Sheshadri Sridar yang merawat remaja perempuan tersebut.

Bagaimanapun, saksi berkata tidak ada mana-mana pihak yang meminta beliau untuk menyediakan laporan perubatan berkenaan.

Menurut Dr Salmi tangan kanan Bella pulih pada 23 Julai 2021, lebih kurang sebulan rawatan dan tangan kiri pula pulih pada 17 Ogos tahun sama dan ia mengambil masa dalam enam minggu.

“Kali terakhir saya berjumpa Bella pada 14 September di HKL dan pada ketika itu penjaga rumah jagaan Bella memohon supaya remaja tersebut dipindahkan ke Hospital Seremban. Saya lihat luka itu baru nak jadi parut," katanya dan menambah Bella seorang yang aktif dan suka melukis semasa berada di wad hospital itu.

Disoal Nor Azizah keadaan luka Bella sekarang, Dr Salmi berkata parut tangan kanannya sudah matang manakala parut di tangan kiri pula masih merah dan tebal yang masih memerlukan rawatan.

Ditanya mengenai keadaan fizikal remaja itu ketika dirawat di HKL, saksi itu berkata Bella nampak kecil namun tidak menampakkan tulang rusuk atau matanya yang cengkung selain berat badannya 35 kilogram.

Dr Salmi berkata pada hari pertama Bella dimasukkan ke HKL iaitu pada 24 Jun 2021, remaja itu diberikan rawatan segera bagi merawat luka melecur di kedua-dua tangannya dan ketika itu Bella tidak mengalami demam panas, sawan dan berada dalam keadaan stabil.

Saksi bersetuju dengan cadangan peguam Asiah Abd Jalil, yang mewakili Siti Bainun sekiranya luka tidak dirawat boleh menyebabkan pesakit mengalami demam dan sawan selain bersetuju bahawa kepala Bella dibotakkan bagi tujuan rawatan berikutan terdapat kesan luka lama di kepalanya.

Dr Salmi  juga menafikan gambar-gambar kecederaan dialami Bella semasa berada di hospital telah tersebar di Facebook.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi antara Februari dan Jun 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur. 

Perbicaraan di hadapan hakim Izralizam Sanusi bersambung hari ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.