- Iklan -
Berita

Jangkitan Covid-19 turun hampir 18% minggu lalu

Bagaimanapun kes kematian meningkat sebanyak 7.1% berbanding sementara kes sembuh menurun sebanyak 5.4%.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai melintas jalan di ibu negara Kuala Lumpur masih memakai pelitup muka bagi mengelak jangkitan wabak Covid-19.
Orang ramai melintas jalan di ibu negara Kuala Lumpur masih memakai pelitup muka bagi mengelak jangkitan wabak Covid-19.

Bilangan kes baru Covid-19 turun sebanyak 17.9% kepada 18,715 kes pada minggu epidemiologi ke-34 (ME 34/2022) dari 21 hingga 27 Ogos.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi tempoh sama, 60 kes kematian direkodkan, meningkat sebanyak 7.1% berbanding minggu sebelumnya.

“Bilangan kes sembuh pada ME 34/2022 menurun sebanyak 5.4% iaitu 26,458 kes kepada 25,037 kes.

“Purata kes aktif setiap hari bagi ME 34/2022 adalah 36,179 iaitu terdapat penurunan sebanyak 13.9% berbanding minggu sebelumnya,” menurutnya dalam kenyataan berkaitan situasi semasa jangkitan Covid-19, hari ini.

Sementara itu, kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital serta pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk untuk pesakit kategori 1 dan 2 berkurangan sebanyak 15.8% manakala pesakit Kategori Tiga, Empat, dan Lima turun 15.2%. 

Dr Noor Hisham berkata pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) pada ME34/2022 menurun 2%, katil bukan kritikal berkurangan 3% dan katil PKRC turun 1%.

Selain itu, peratusan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menurun 0.3 % berbanding minggu sebelumnya. 

Menurut kenyataan itu, kes positif yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara menunjukkan penurunan meliputi bilangan kedatangan pesakit ke CAC berkurangan 13%, kes baru Covid-19 yang menjalani pemantauan di rumah menurun 19.5% manakala kes dirujuk CAC ke hospital turun 26%.

Beliau berkata purata nilai RT juga menunjukkan penurunan 5.3% pada ME 34/2022.

Hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati 140 sampel penyakit seperti influenza (ILI) dikesan positif Covid-19 dengan kadar 15.5%, manakala tiada sampel jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dikesan positif Covid-19 dan kekal 0% pada ME34/2022. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.