Di tengah-tengah kesuraman ekonomi dan kelesuan politik yang melanda, seorang lelaki tampil dengan matlamat menyiarkan sebanyak mungkin berita baik dan positif, dengan harapan ia akan dapat membuat perubahan dalam kehidupan rakyat biasa di Malaysia.
Ketika kos sara hidup yang semakin meningkat dan kebimbangan mengenai wabak Covid-19 walaupun Malaysia sudah beralih ke fasa endemik, Richard Ker tetap meneruskan usahanya itu.
Warga Sabah yang berperwatakan ceria itu enggan menghentikan kerja-kerja yang diusahakannya.
Apa yang perlu dia buat mudah sahaja: dia akan mencari dan mengenal pasti rakyat biasa yang membuat sesuatu yang memberikan impak positif kepada negara, sama ada ahli sukan atau individu yang terlibat dalam kerja-kerja amal dan kebajikan.
"Saya melihat ada peluang untuk sebarkan hal-hal positif dan bukannya bercakap perkara negatif," katanya ketika temu bual dengan MalaysiaNow.
Ini adalah inspirasi di sebalik usaha pertamanya pada 2016, ketika dia menerbitkan siri "The Malaysian Heroes" yang menonjolkan kisah-kisah kejayaan anak Malaysia.
"Itulah kali pertama hantaran Facebook saya menjadi tular,” katanya.
Ker berkata dia mahu meneruskan apa yang dilakukannya, terutama ketika negara berdepan situasi sekarang.
“Saya mahu capai satu tahap yang baik,” katanya.
Ker, yang mencipta nama sebagai seorang pempengaruh atau “influencer” di media sosial, pada mulanya aktif di platform Facebook dan LinkedIn.
Malahan dia mengakui, pada awalnya "tidak tahu" cara untuk memaparkan akaun Twitter dalam platform portfolionya itu.
Ciapan Twitter Ker menjadi tular dan heboh pada April tahun ini, apabila dia menyiarkan kisah Florence Tan, seorang rakyat Malaysia yang bekerja dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa) di Amerika Syarikat (AS).
"Saya hanya membuat carian menggunakan kata kunci seperti 'Malaysia' dan 'Nasa'," katanya.
"Itulah cara saya dapat tahu tentang Tan."
Ker kemudiannya mengumpul maklumat dan memasukkannya ke dalam bebenang Twitter.
Dia juga terkejut apabila bebenang Twitternya menjadi tular.
“Kisah itu malahan diangkat oleh pihak istana Johor,” katanya.
Ker menggunakan kaedah yang sama untuk mengetengahkan kisah kejayaan perniagaan tempatan seperti butik Siti Khadijah, 99 Speedmart dan juga Ramly Burger.
"Semua maklumat sudah ada."
Ker, mendapat pendidikan tinggi dalam bidang multimedia di institusi tempatan, dia kemudiannya melanjutkan pelajaran kejuruteraan elektronik di UK dengan biasiswa Mara.
“Sejak saya kecil lagi saya mahu menjadi doktor atau jurutera,” katanya.
"Saya fikir akan jadi seorang jurutera selepas menamatkan pengajian dari Universiti Surrey. Namun kemudiannya tumbuh minat yang tinggi dalam bidang teknologi maklumat atau IT."
Ker bekerja selama 10 tahun di China sebelum pulang ke Malaysia dan menetap di Cyberjaya.
Dia bekerja dengan beberapa agensi kerajaan seperti Pusat Inovasi dan Kreativiti Malaysia (MaGIC) dan Cyberview sebelum menyertai penyedia perkhidmatan dron global Aerodyne Group.
Dia kini mengusahakan syarikat pemasaran digital sendiri yang ditubuhkan untuk memberi tumpuan kepada bidang penceritaan dan penjenamaan bagi usahawan tempatan.
Bagi Ker, apa yang diusahakannya ketika ini adalah sesuatu yang memang ingin dilakukannya.
Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau menyifatkan bidang penceritaan sebagai satu kelompongan dalam banyak sektor dalam negara ini termasuk sektor teknologi tempatan.
Sebagai contoh, dia bekerja dengan perusahaan sosial yang berusaha untuk memperkasakan kumpulan B40 di Sabah, di sana Ker banyak menasihati mereka mengenai kepentingan membuat video dan bercerita tentang produk bagi menarik pembeli dari luar Malaysia yang mungkin berminat dengan produk tempatan.
“Semua catatan media sosial saya mempunyai unsur penceritaan seperti ini,” katanya.
"Saya mahu ia memberi kesan dan tidak begitu teknikal, selain mudah dihadam. Malahan, dengan menumpukan aspek penceritaan yang betul, ia boleh menarik minat pelabur."
Bagaimanapun, di sebalik apa yang diusahakannya, Ker masih berdepan dengan segelintir orang yang memperkecilkan pencapaian Malaysia dan menolak sebarang percubaan untuk memberikan tumpuan kepada kebaikan dan hal positif yang ada dalam negara.
Namun, dia enggan mempedulikan golongan itu.
Katanya, rakyat akan sentiasa mempunyai perspektif mereka sendiri.
“Memang tidak dapat dinafikan, hal-hal politik dan ekonomi menjadi masalah utama bagi semua orang, namun hakikatnya, semua negara ada masalah mereka sendiri.
“Tidak mengapa orang ramai tahu dan sedar mengenai perkara negatif ini.
“Namun bagi saya, saya akan fokus pada peluang dan bukan halangan.
“Halangan akan sentiasa ada. Jika anda tumpu pada halangan yang ada, ia tidak akan membawa anda ke mana-mana."
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.