- Iklan -
Berita

Kehidupan sebelum Merdeka dan harga sebuah kebebasan

Warga emas mengenang pengalaman hidup sebelum Malaysia mengecapi kemerdekaan 65 tahun lalu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Maznom Mohd Yusof dan suaminya Mokhtar Ishak membelek gambar lama ketika mereka muda, sebelum negara mengecapi kemerdekaan.
Maznom Mohd Yusof dan suaminya Mokhtar Ishak membelek gambar lama ketika mereka muda, sebelum negara mengecapi kemerdekaan.

Di sebuah rumah flat di ibu kota, Pakcik Krishnan, 85 tahun, sibuk mencari beberapa keping gambar yang sudah pudar dan kekuningan. 

Di belakang foto-foto yang berusia lebih tujuh dekad itu, terdapat tulisan yang mencatatkan nama dan lokasinya diambil.

Dengan senyuman yang terukir, dia mengimbau kembali kenangan-kenangan lalu. 

Krishnan Nair, seorang pesara polis yang pernah berkhidmat bersama Polis Diraja Persekutuan Tanah Melayu semasa pendudukan kerajaan British sebelum kemerdekaan memulakan kisahnya membesar di bawah pemerintahan kerajaan British dan Jepun sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, iaitu 65 tahun lalu.

Pada usia kanak-kanaknya, Krishnan membesar di Jalan Junid, Muar. 

Ketika itu katanya, kampung tempat tinggalnya itu hanya mempunyai beberapa biji rumah dan kedai-kedai kecil yang menjual barangan runcit.

KrishnanNair-MNow-250822-2

Rutinnya ketika itu adalah berjalan kaki ke sekolah bersama abang dan kakaknya.

Pada waktu makan, katanya hampir semua keluarga di kampung akan menikmati ubi rebus yang ditanam sendiri di laman rumah.

“Masa itu selalu ada penyakit beri-beri. Tahu tak penyakit beri-beri? 

“Bila pergi jumpa doktor, dia tekan kaki, tekan tangan, dalam ada lubang-lubang. Sebab kurang zat. Makan ubi sahaja,” katanya dalam satu lawatan ke rumahnya di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketika berusia sekitar tujuh tahun, katanya, penyakit demam malaria menjadi sangat popular kerana mengakibatkan banyak kematian.

“Ayah saya meninggal dunia kerana malaria. Abang sulung saya beritahu emak, jangan risau. 

“Saya jaga keluarga. Esoknya, dia pula meninggal kerana malaria juga. Emak begitu sedih.”

Tambahnya, kehidupannya ketika kanak-kanak sehingga remaja sangat harmoni di bawah kerajaan British. 

KrishnanNair-MNow-250822-1

Masih segar dalam ingatannya, dia gemar bersiar-siar dengan rakan-rakan di bandar Muar dan berkelah di tempat-tempat tumpuan tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan umur.

Bagaimanapun, katanya, keadaan berbeza apabila kemasukan tentera Jepun ke Tanah Melayu. 

Masa itu katanya, semua orang hidup dalam ketakutan dan tertanya-tanya tentang keselamatan diri sendiri.

Katanya, setiap kali berselisih jalan atau berjumpa dengan tentera Jepun mereka perlu berhenti dan tunduk hormat. 

Jika tidak, mereka akan dipukul menggunakan belakang senapang tanpa mengira jantina dan umur.

“Ada orang lelaki kena tarik dengan Jepun ke dalam lori. Mereka bawa lari tak tahu pergi mana. Orang perempuan pun sama. Orang cakap, tentera Jepun ambil untuk jadikan buruh di tapak projek.

“Kakak saya disuruh pakai seluar lelaki kerana emak takut Jepun bawa lari. Masa itu, perempuan pun mereka bawa lari juga.”

Sehingga kini, Krishnan tidak pernah berjumpa dengan rakan-rakan sekampungnya yang dibawa lari oleh tentera Jepun kerana tidak tahu di mana mereka dihantar untuk bekerja. 

Juga, tidak pasti sama ada mereka selamat atau tidak.

Kehidupan di kampung

Dalam pada itu, sepasang suami isteri ralit membelek album gambar yang menyimpan memori zaman mereka masih muda remaja.

Maznom Mohd Yusof, 75 tahun, membesar di Kampung Tanah Merah, Kuala Kangsar ketika pendudukan British. 

Bekas ketua jururawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu menyifatkan dirinya sangat aktif di usia kanak-kanak dan remaja.

Selepas waktu sekolah, Maznom akan membantu ibunya menjual nasi yang dibungkus dengan daun pisang dan dijual di sebuah pondok berdekatan rumah. 

Pada hari cuti sekolah, dia dan rakan-rakan gemar bermandi-manda di sungai.

“Kalau jumpa tentera British, kami semua pakat berdiri berhenti nak tengok (tentera) lalu. Kadang-kadang mereka nampak budak-budak, mereka baling coklat. Kami pergi kutip.

“Semuanya okey, orang kampung pun semuanya ada kena mengena dan saling mengenali antara satu sama lain,” katanya kepada MalaysiaNow. 

Mokhtar&Maznom-MNow-250822-7

Sewaktu zaman kanak-kanak, Maznom dan suaminya, Mokhtar Ishak berkata mereka masih tidak memahami apakah yang dimaksudkan dengan kemerdekaan.

“Hari 31 Ogos itu, ada sambutan di sekolah. Kami ada makan-makan dan menyanyi juga. 

“Memang meriah, seronok. Rasa bangga, sebab cikgu-cikgu beritahu negara kita merdeka,” kata mereka dengan penuh teruja.

Berbeza dengan Krishnan, pada hari diumumkan kemerdekaan Tanah Melayu, dia berada dalam kawasan tempatnya bekerja di Tangkak, Johor untuk bersedia terhadap sebarang keadaan yang berlaku.

Ini kerana, katanya, pada tarikh itu masih dalam tempoh Darurat Tanah Melayu (1848-1960) memandangkan ancaman komunis masih kuat di beberapa negeri.

“Saya tahu merdeka, semua tahu hari itu merdeka. 

“Tetapi kami kerja, kena berjaga-jaga dan masuk hutan untuk pastikan komunis tidak mengganas.”

Mereka turut meluahkan rasa syukur kerana masih diberi kesempatan untuk menikmati kehidupan moden merdeka dan melihat sendiri pembangunan dan kemajuan yang diperolehi selepas bebas daripada unsur penjajahan asing.

“Sehingga sekarang, apabila diceritakan semula kisah-kisah saya dahulu kepada anak-anak, mereka mengatakan ianya mengarut dan selalunya tidak percaya. Apabila ditunjukkan gambar-gambar, mereka mula rasa bangga.

“Apa yang mereka ada hari ini, langsung tidak boleh dibandingkan dengan kesusahan kami dulu. Saya bangga kerana terlibat dalam memperjuangkan tanah air untuk merdeka dan masih selamat.

“Ramai rakan-rakan saya keluar (berjuang) tetapi tidak kembali (mati). Generasi muda perlu tahu nilai kebebasan ini,” kata Krishnan.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.