- Iklan -
Berita

Pengalaman Merdeka dulu dan kini bagi seorang datuk

Ho Yoke Ming kini sudah bergelar datuk namun masih jelas di ingatannya sambutan Merdeka yang pertama di Malaysia.

Teoh Yee Shen
3 minit bacaan
Kongsi
Ho Yoke Ming dan cucunya tersenyum gembira ketika mengibarkan Jalur Gemilang di rumahnya.
Ho Yoke Ming dan cucunya tersenyum gembira ketika mengibarkan Jalur Gemilang di rumahnya.

Ho Yoke Ming baru berusia tujuh tahun ketika Malaysia mencapai kemerdekaan daripada penjajah British.

Dia dibesarkan di Pahang, dan merupakan generasi ketiga daripada keluarganya yang tinggal di tanah air yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu.

Nenek moyangnya berhijrah ke Tanah Melayu dari China pada tahun 1920-an, dan bapanya dilahirkan pada tahun 1925.

Dari Ho, lahirlah generasi keempat, dan cucu-cucnya adalah generasi kelima keluarga mereka.

Mengimbas kembali tentang berdirinya sebuah negara dan bagaimana suasana mengalami perubahan sejak dia masih kecil, Ho sangat terasa dengan dengan apa yang disifatkannya sebagai perubahan keadaan antara dulu dan sekarang.

“Dulu kebahagiaan itu datang dari hati,” katanya.

"Tetapi saya sudah tak nampak lagi pada hari ini."

Kini, katanya, sambutan Merdeka dilihat sebagai "dirancang" dan "diarahkan".

Bercakap dalam wawancara bersama MalaysiaNow, Ho mengimbau kenangan bagaimana sebagai seorang kanak-kanak sekolah rendah, dia akan membantu bapanya menggantung bendera Malaysia dan bendera Pahang di rumah mereka di Triang, sebuah pekan kecil di daerah Bera.

Di seluruh pekan itu, Jalur Gemilang berwarna biru, merah, kuning dan putih akan digantung bersama bendera hitam putih Pahang.

Selama beberapa tahun, penduduk bandar tanpa culas akan mengibarkan dua bendera di rumah, sekolah dan kedai mereka.

Ho berkata pernah satu ketika, Triang berada di bawah perintah berkurung dari pukul 6 petang hingga 6 pagi keesokan harinya, berikutan ancaman komunis walaupun selepas negara Merdeka.

Ho masih ingat ledakan kegembiraan ketika menyambut berita bahawa Sultan Pahang menarik balik perintah berkurung sepenuhnya pada tahun 1960.

Katanya, sambutan Merdeka tahun itu lebih bermakna, – ia bermakna mereka bebas daripada ancaman komunis.

Semasa Ho di sekolah menengah, dia dan rakan-rakannya akan ke Kuantan dari Triang semata-mata untuk menyertai sambutan Merdeka.

Mereka terpaksa meninggalkan rumah pada awal pagi dan akan membelanjakan lebih kurang RM2.50 sepanjang perjalanan mereka, termasuk makanan dan pengangkutan.

"Ramai antara kami akan pergi," katanya.

"Ada dua hingga tiga bas. Kami akan bertolak pada pukul 5 pagi dan sampai ke Kuantan kira-kira pukul 7 pagi, tepat pada masanya untuk perarakan."

Selain perarakan, terdapat juga persembahan gimnastik dan persembahan muzik.

"Anda dapat melihat kegembiraan di wajah semua orang. Kami berkumpul beramai-ramai,” tambah Ho.

Kemeriahan Merdeka akan berterusan sehingga keesokan harinya, apabila dia dan rakan-rakannya akan duduk dan mengenang kembali apa yang mereka lihat dan dengar.

Ketika itu, Ho berkata, tiada siapa yang membezakan antara kaum yang pelbagai antara mereka.

Anak-anaknya sendiri dihantar ke sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

Namun, selepas mereka tamat sekolah rendah, dia akan menghantar mereka ke sekolah menengah kerajaan.

Matlamatnya adalah untuk membantu anak-anaknya lebih memahami negara ini dan budayanya, selain mengatasi halangan bahasa.

Tahun lalu, dia membawa pulang bendera dan mengajar cucunya cara mengenali Jalur Gemilang, dan menyanyikan lagu kebangsaan.

Walaupun dia percaya bahawa patriotisme harus ditanam sejak usia muda, namun Ho juga berpandangan ia harus berasaskan nilai hormat-menghormati, bukan dengan permainan politik mengenai isu perkauman dan agama.

Ho berkata dia dibesarkan dengan nilai itu.

Mengimbas kembali rusuhan 13 Mei 1969, dia berkata ibu bapanya mengajar supaya dia tidak menyalahkan mana-mana pihak.

Berhubung Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan selepas rusuhan kaum itu, Ho berkata polisi itu turut memberi manfaat kepada kaum lain.

Felda misalnya membawa keuntungan kepada masyarakat Melayu dan membantu memacu ekonomi, kata Ho.

Daripada program itu juga, perniagaan bapanya turut berkembang, sehingga dia mampu menanggung pendidikan Ho di UK.

Kini, gembira dengan gelaran datuk kepada cucu-cucunya, Ho hanya mempunyai satu harapan untuk negara: untuk melihat ia dipimpin oleh kerajaan yang baik dan menjaga rakyat – "dan tiada rasuah!"