- Iklan -
Berita

PRU15 dalam keadaan banjir, ribut petir jika diadakan hujung tahun

Pakar cuaca berkata tempoh monsun timur laut biasanya bermula pada awal November.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai bergegas melintas jalan sambil berlari sebaik sahaja hujan turun di Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Orang ramai bergegas melintas jalan sambil berlari sebaik sahaja hujan turun di Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Pengundi dijangka berdepan hujan dan ribut petir jika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan pada hujung tahun ini, satu kemungkinan yang kini menjadi perbahasan ramai berikutan keputusan kerajaan untuk membentangkan belanjawan tiga minggu lebih awal daripada jadual sebelum ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan negara bakal mengalami fasa peralihan monsun pada Oktober hingga awal November yang mana cuaca baik pada sebelah pagi manakala ribut petir akan kerap berlaku di negeri-negeri pantai barat serta pedalaman Semenanjung, kawasan barat dan tengah Sarawak serta barat Sabah. 

"Risiko untuk berlaku banjir kilat adalah tinggi dalam tempoh ini terutama di kawasan rendah di pantai barat semenanjung. Monsun timur laut pula kebiasaannya akan bermula pada awal bulan November,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Dalam tempoh November hingga Disember, cuaca hujan berterusan boleh berlaku untuk tempoh beberapa hari terutama di negeri-negeri pantai timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.”

Katanya, terdapat kebimbangan berlakunya luruan monsun bersekali dengan tekanan rendah yang mana banjir monsun berskala besar boleh berlaku di negeri-negeri terlibat. 

Cakap-cakap mengenai PRU15 semakin kencang apabila pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen diawalkan ke 7 Oktober ini. 

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dalam satu majlis Barisan Nasional (BN) pula berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berjanji PRU15 akan diadakan tahun ini.

Belanjawan 2023 juga dijangka menjadi belanjawan pilihan raya dengan pemberian-pemberian kepada rakyat yang boleh memikat hati pengundi. 

Sebagai rekod, penggal ini hanya tamat pada Julai 2023, lima tahun selepas PRU14 pada 2018. 

Mohamad yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu berkata, masa terbaik untuk PRU15 diadakan ialah pada November bagi mengelakkan cuaca yang lebih buruk pada Disember. 

Selama beberapa bulan kebelakangan ini, pemerhati menyatakan berlaku tarik tali antara perdana menteri, Ismail dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengenai tarikh PRU15. 

Zahid yang dilihat terdesak kerana kes-kes mahkamahnya mahu PRU15 diadakan tahun ini. 

Zahid dan pimpinan tertinggi Umno secara terbuka menggesa perkara itu sejak perhimpunan agung parti itu.

Umno bahkan meminda perlembagaan parti bagi menangguhkan pemilihan yang sepatutnya diadakan pada tahun ini kepada enam bulan selepas tarikh PRU15. 

Suara akar umbi dalam Umno juga semakin kuat dalam meminta Parlimen dibubarkan selepas bekas perdana menteri, Najib Razak gagal dalam rayuan kes SRC International dan terpaksa bergelar banduan. 

Sebelum ini, Ismail menyatakan beliau akan mengambil kira tinjauan daripada sayap wanita BN sebelum membubarkan Parlimen untuk tujuan pilihan raya. 

Helmi tidak menolak kemungkinan berlakunya keadaan banjir besar seperti yang melanda Selangor pada hujung tahun lalu, yang menyaksikan tenggelamnya beberapa kawasan seperti Shah Alam dan Hulu Langat apabila hujan lebat berlaku dalam tempoh beberapa hari. 

Katanya, faktor cuaca dijangka tidak memberi impak signifikan dalam perjalanan PRU15 jika diadakan pada bulan Oktober memandangkan risiko bencana cuaca hanya membabitkan hujan ribut petir yang berpotensi menghasilkan angin kencang, hujan lebat dan banjir kilat dalam tempoh singkat dan berskala kecil. 

"Sekiranya dilaksanakan pada awal November, kemungkinan banjir besar berlaku adalah kurang. 

“Bagaimanapun, mulai pertengahan November ada kemungkinan banjir besar berlaku terutamanya penghujung November," katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia Marlia Mohd Hanafiah berkata, mengikut rekod terkini, turunan hujan sememangnya dijangka tinggi daripada kuantiti semasa sepanjang November hingga Januari. 

"Berdasarkan kepada informasi ini, hujan mungkin tidak memberi kesan yang tinggi kepada kelancaran PRU. Namun begitu, impak hujan yang berterusan boleh mengakibatkan banjir di sesetengah kawasan berisiko khasnya kawasan rendah.

"Sama ada kondisi cuaca akan memberi impak yang besar atau kecil kepada kelancaran PRU adalah suatu perkara yang boleh dikaji," katanya. 

Dalam pada itu, Helmi menambah, faktor cuaca akan memberi impak yang lebih tinggi jika PRU15 diadakan pada Disember. 

Ini kerana angin Monsun Timur Laut lebih aktif pada tempoh tersebut, di mana risiko untuk berlaku hujan lebat berterusan dan banjir besar berskala besar lebih tinggi.

"Orang ramai perlu merancang perjalanan dengan lebih teliti dalam tempoh ini dan sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini di laman web MET Malaysia, media sosial rasmi dan aplikasi myCuaca," tambahnya.