- Iklan -
Berita

Budaya ‘jalan kaki’ sukar disebabkan kelemahan pengangkutan awam

Kurang infrastuktur untuk akses pejalan kaki menjadi antara punca mengapa jalan kaki untuk bergerak tidak menjadi pilihan ramai.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menunggu bas di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Orang ramai menunggu bas di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Kebiasaan untuk setiap isi rumah di Malaysia memiliki sekurang-kurangnya satu kenderaan persendirian menjadikan amalan jalan kaki sebagai cara untuk bergerak kurang diamalkan.

Baik kereta atau motorsikal, permintaan jentera bermotor terus meningkat di mana jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi separuh tahun pertama 2022 mencatat kenaikan 33% atau 331,386 unit berbanding 249,178 untuk tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) pada Julai lalu turut menyemak naik TIV 2022 kepada 630,000 unit berbanding 600,000 unit, sekali gus memberi gambaran bahawa minat belian kenderaan kekal memberansangkan.

Malah, di Malaysia, pemilikan lebih daripada satu kenderaan persendirian juga bukan satu perkara asing bagi golongan isi rumah berpendapatan tinggi (T20) dan berpendapatan sederhana (M40).

Disebabkan perkara ini, timbul persepsi rakyat Malaysia sukar mengamalkan budaya jalan kaki atau memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam memandangkan mereka boleh bergerak sama ke destinasi pilihan dengan lebih mudah.

Malah, baru-baru ini terdapat satu kajian dari Universiti Stanford di California, Amerika Syarikat yang meletakkan Malaysia sebagai negara ketiga paling malas berjalan kaki.

Kajian itu dibuat dengan mengumpul maklum balas daripada 700,000 responden daripada 46 negara, dan hasil daripada penyelidikan itu mendapat rakyat Malaysia secara purata hanya berjalan 3,963 langkah sehari.

Ini meletakkan Malaysia di belakang Arab Saudi dengan purata 3,807 sehari manakala Indonesia yang berada di tangga tertinggi dengan purata 3,513 langkah sehari.

Namun begitu, beberapa individu tampil berkongsi pandangan mereka dengan MalaysiaNow mengenai hasil kajian itu yang mana mereka menyifatkan ia sebagai "separuh betul".

Mereka menyatakan, isu utama di Malaysia adalah bukan semua rakyat memilih untuk memandu kenderaan sendiri, sebaliknya budaya berjalan kaki lebih mudah digalakkan menerusi penyediaan infrastruktur seperti laluan pejalan kaki dan kemudahan mengakses kepada pengangkutan awam.

Nurdhiya Aizat Othman, 32, bekas pegawai komunikasi sebuah bank di Kuala Lumpur berkata walaupun memiliki kereta, dia lebih gemar untuk menaiki tren dan berjalan kaki ke pejabatnya.

Katanya, cara itu lebih mudah untuk dia tiba ke pejabat berbanding perlu memandu ke kawasan sesak dan berebut tempat letak kereta yang mana pengalaman ini disifatkan sebagai menyusahkan.

"Sudah tentu mustahil untuk sesetengah individu berjalan kaki dari rumah ke pejabat disebabkan jarak yang begitu jauh," katanya Nurdhiya yang menetap di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Sebab itu jika ingin galakkan masyarakat berjalan kaki, perlu ada laluan pejalan kaki yang menghubungkan ke kemudahan pengangkutan awam seperti stesen keretapi atau perhentian bas."

Menceritakan rutin hariannya untuk pergi ke pejabat, Nurdhiya akan mulakan harinya dengan menunggu bas di kawasan berhampiran rumahnya untuk membawa dia ke stesen LRT Alam Sutera

Dari situ, dia akan turun di Stesen LRT Masjid Jamek dan berjalan kira-kira 400 meter sebelum tiba ke pejabatnya.

"Beberapa kawasan di Kuala Lumpur mempunyai laluan pejalan kaki yang selesa, tetapi ada juga kawasan yang perlukan penambahbaikan.

"Malah, baru-baru ini saya bercuti di Pulau Pinang dan mengembara dari ibu negara menaiki tren elektrik (ETS).

"Di sini saya juga hanya menggunakan pengangkutan awam dan kebanyakkan masa saya hanya berjalan kaki. Jadi tiada masalah," tambahnya.

Bagi Fazley Fadzil pula, dia sering berulang alik dari rumah ke tempat kerja dengan hanya bergantung kepada pengangkutan awam kerana tidak memiliki kenderaan persendirian.

Setiap pagi sejak dua bulan lalu, Fazley yang menetap di Kampung Baru akan berjalan selama 20 minit ke sebuah stesen bas di Chow Kit yang terletak sejauh 1.5 kilometer dari rumahnya.

Sebaik tiba di sebuah stesen bas itu, dia akan menunggu bas untuk membawanya ke Segambut yang mana bas itu akan berhenti kira-kira satu kilometer dari pejabatnya.

"Dari sini saya akan berjalan kaki melalui kawasan perumahan sebelum tiba ke pejabat," katanya kepada MalaysiaNow.

Namun begitu, Nurdhiya dan Fazley kedua-duanya menekankan antara kelemahan besar melibatkan sistem pengangkutan awam ialah perkhidmatan bas yang tidak konsisten.

Ini menyebabkan mereka sukar untuk meramalkan ketibaan bas meskipun syarikat yang mengendalikan perkhidmatan tersebut menyediakan fungsi untuk menjejak lokasi bas secara dalam talian atau menggunakan aplikasi.

Menurut Fazley, apabila memantau pergerakan bas di laman sesawang syarikat itu, bas yang ingin dinaiki tidak menggunakan laluan perjalanan yang ditetapkan.

Malah, katanya, insiden ini sudah berlaku berulang kali menyebabkan dia terpaksa menaiki bas lain dan menuju ke KL Sentral sebelum tukar menaiki LRT untuk balik ke rumahnya.

"Dari KL Sentral saya akan naik LRT dan turun ke Stesen LRT Kampung Baru dan berjalan kaki kira-kira 200 meter sebelum sampai ke rumah" tambah Fazley.

Bagi Nurdhiya, isu ketibaan bas yang tidak konsisten ini menyebabkan dia terpaksa menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk menuju ke stesen LRT terdekat.

Katanya, isu ini juga sudah diadukan kepada pihak syarikat, namun ia seperti tiada perubahan.

"Tren merupakan pengangkutan terbaik untuk bergerak sekitar Kuala Lumpur, namun begitu, perkhidmatan bas perlu banyak penambahbaikan.

"Bas akan melalui kawasan yang tidak boleh diakses tren, malah ia juga boleh berfungsi sebagai transit menghubungkan stesen tren dan kawasan perumahan.

"Sekiranya perkhidmatan bas dapat ditambah baik, ia pastinya akan mendorong orang ramai memanfaatkan lagi pengangkutan awam dan ini boleh menggalakkan budaya berjalan kaki di negara," tambannya.