- Iklan -
Berita

Pelajar cemerlang tanpa kerakyatan harap sinar baru selepas jumpa PM

Mohamad Omar Mokhtar bercita-cita untuk menjadi guru dan menyumbang jasa kepada negara.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Mohamad Omar Mokhtar menunjukkan sijil kelahirannya (kanan) yang menyatakan dia adalah warganegara dan satu lagi dokumen sama yang mempunyai status berbeza di Petaling Jaya baru-baru ini.
Mohamad Omar Mokhtar menunjukkan sijil kelahirannya (kanan) yang menyatakan dia adalah warganegara dan satu lagi dokumen sama yang mempunyai status berbeza di Petaling Jaya baru-baru ini.

Selepas kisahnya yang mendapat keputusan A penuh dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) bimbang dinafikan sambung belajar kerana tiada kerakyatan, Mohamad Omar Mokhtar kini mengimpikan sinar baru selepas bertemu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. 

Dalam satu kunjungan khas di Alor Setar, Kedah sempena jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri tersebut, Omar dijemput untuk menerima sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia yang disampaikan sendiri oleh Ismail. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, dia meluahkan rasa syukur dan teruja dapat bersua muka dengan perdana menteri untuk berbincang mengenai masalah yang dihadapinya sejak kali pertama ingin memohon kad pengenalan diri di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada usia 12 tahun. 

"Dapat bercakap dengan beliau sendiri. 

"Saya dapat respons bahawa ada perkembangan baik dan tidak mahu saya sebut apa-apa lagi kepada pihak lain," katanya ketika dihubungi MalaysiaNow. 

Pada Isnin, Omar dalam satu sidang media bersama NGO hak asasi Lawyers for Liberty di Petaling Jaya, Selangor bimbang hasratnya untuk sambung pengajian ke universiti akan dinafikan disebabkan statusnya tanpa kerakyatan. 

Omar yang lahir pada 31 Ogos 2002 disekat untuk mendapatkan kad pengenalan pada usia 12 tahun atas alasan kad pengenalan ibu kandungnya yang berasal dari Sabah mempunyai beberapa masalah. 

Ayahnya juga, seorang warganegara Malaysia. 

Selepas kedua-dua ibu bapa Omar berpisah, pada tahun 2015 Omar diambil sebagai anak angkat secara sah oleh ibu saudaranya yang menetap di Kedah. 

Ketika itu, proses dan permohonan pengangkutan sudah disempurnakan oleh JPN. 

Melalui dokumen yang ditunjukkan kepada media, salinan sijil lahir pertamanya, Omar merupakan warganegara Malaysia. 

Tetapi selepas dirujuk kad pengenalan ibunya sebagai tidak sah, satu sijil lahir baru dikeluarkan oleh JPN menyatakan Omar bukan warganegara.  

Omar berkata, dia bersungguh-sungguh mahu mendapatkan kad pengenalan sah dari kerajaan Malaysia untuk merubah masa depan keluarga dan keluar dari kepompong kemiskinan. 

Impiannya, dengan kad pengenalan itu dia boleh menyambung pengajian dalam bidang pendidikan dan bekerja di sekolah. 

Melalui bayaran gaji yang bakal diterimanya, Omar mahu menyumbang kembali kepada keluarga dengan membantu ibu bapa dan adik beradiknya mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik. 

"Saya bukan datang dari keluarga yang senang. 

“Saya mahu bantu mak ayah dan berbakti semula kepada masyarakat dan negara ini," katanya pada sidang media tersebut. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.