- Iklan -
Berita

Kerumitan undang-undang punca RM70 bilion harta pusaka dibekukan?

Jumlah besar itu menunjukkan kesukaran dihadapi banyak keluarga berhubung birokrasi dalam sistem pengurusan harta Islam.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi

Sebanyak RM70 bilion dalam bentuk aset dibekukan di negara ini sejak dua tahun lalu akibat pengurusan faraid yang tidak cekap.

Sistem faraid adalah konsep pengurusan harta pusaka dalam undang-undang syariah Islam yang menentukan pembahagian harta kepada waris.

Data pada tahun 2020 mendedahkan, berbilion harta pusaka masih “tergantung” dan tidak dituntut oleh waris.

Wujud juga isu kurang pemahaman mengenai pembahagian harta di mana ia menjadi antara punca ramai ibu tunggal dan anak-anak si mati menjadi “mangsa”.

Ekoran itu, ada persepsi yang mengatakan ia adalah satu perkara yang menunjukkan ketidakadilan dalam sistem faraid. 

Bagaimanapun, rata-rata pengamal undang-undang Islam berkata, masalah yang semakin membarah itu berpunca daripada kejahilan waris dalam soal pengurusan harta pusaka, selain kelemahan sistem pentadbiran harta pusaka sendiri. 

Exco Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Muhammad Irfan Shafie berkata, ramai dalam kalangan orang Melayu-Islam menganggap isu harta pusaka ini sebagai sesuatu yang amat sensitif untuk dibincangkan sama ada ketika hidup mahupun selepas meninggal dunia.

"Tindakan pemilik harta ketika hidup yang merahsiakan aset yang dimiliki sehingga waris-waris tidak mengetahui kewujudan harta-harta tersebut selepas kematian juga menjadi faktor lambakan harta-harta yang tidak dituntut," katanya. 

Menurut Irfan, isu itu tidak hanya membabitkan si mati, malah waris juga antara punca mengapa pembahagian harta menjadi tidak efisien. 

Wasiat dan hibah
 
Cara pengurusan harta adalah satu perkara yang termaktub dalam undang-undang konvensional dan syariah.

Muslim yang mahu membahagiakan harta mereka ketika masih hidup boleh melakukannya melalui wasiat atau hibah, dua sistem yang boleh dilakukan melalui peguam sivil dan syariah.

Namun bagi peguam Nur Hidayah A Bakar, syarikat yang menguruskan harta pusaka lebih cenderung mengejar untung melalui kedua-dua sistem pengurusan itu.

“Kos yang murah boleh diperoleh dengan berbincang dengan pihak peguam memandangkan segala urusan memerlukan pengeluaran kos," katanya mengulas mengenai cabaran individu-individu Muslim yang ingin merancang pembahagian harta mereka. 

Antara agensi yang terlibat dalam pengurusan harta pusaka orang Islam dan bukan Islam termasuklah Mahkamah Tinggi, Unit Pembahagian Pusaka Kecil di Pejabat Tanah dan Galian, Amanah Raya Berhad dan Mahkamah Syariah. 

Kesemua agensi itu mempunyai bidang kuasa dan tanggungjawab tertentu berkaitan pembahagian harta pusaka. 

Di Malaysia, terdapat tiga kategori harta pusaka iaitu pusaka kecil, pusaka ringkas dan pusaka besar, yang mana pembahagiannya tertakluk kepada nilai harta yang ditinggalkan, dan sama ada si mati meninggalkan wasiat atau tidak. 

Proses tuntutan bagi harta pusaka orang Islam dan bukan Islam melalui proses yang sama namun pembahagian harta orang Islam tertakluk kepada faraid.

Seorang pengamal undang-undang, Muhammad Nazmi Kamis berkata, walaupun perlaksanaan faraid itu wajib, namun tidak wajib untuk penerima mengambil bahagian mereka. 

"Waris-waris perlu prihatin, bertolak ansurlah untuk lepaskan hak faraid tersebut," katanya. 

Berdasarkan pengalamannya, ramai waris-waris si mati yang rela menyedekahkan hak mereka kepada isteri dan anak-anak si mati.

Pertembungan antara syariah dan sivil 

Ditanya mengenai cabaran terbesar isu pembahagian itu Nazmi menyentuh mengenai perlunya penyelarasan undang-undang sedia ada bagi melicinkan pengurusan. 

Antaranya kes-kes yang melibatkan pertembungan antara undang-undang syariah dan sivil.

"Seorang anak ingin membuat pinjaman namun tiada harta yang ingin dicagarkan. 

“Dia meminjam geran tanah ayahnya supaya pinjaman itu diluluskan. 

“Dari sudut undang-undang sivil, tanah sudah menjadi milik anak itu namun mengikut hukum syarak, tanah itu hanya dipinjam sahaja," katanya.

Menurutnya, enakmen keluarga, undang-undang wasiat dan pelaksanaan hibah juga berbeza mengikut negeri yang mana ia menyukarkan lagi proses pembahagian harta. 

Pembekuan harta ini mungkin menyumbang kepada trend ibu bapa membeli rumah untuk anak-anak mereka, walaupun mereka masih kecil. 

Kemunculan pelbagai syarikat yang terlibat dalam penulisan hibah yang mengembangkan produk berkaitan hibah juga petanda masyarakat sudah semakin sedar mengenai isu tersebut.

Bagi Irfan, ia merupakan inisiatif yang baik daripada pihak ibu bapa namun perkara yang perlu diberi perhatian ialah sama ada hibah tersebut memenuhi rukun hibah atau tidak. 

"Sekiranya tiada perintah pengesahan hibah dari Mahkamah Syariah, perjanjian suratcara hibah tersebut kemungkinan akan dicabar keabsahannya oleh waris-waris yang lain setelah kematian pemberi hibah," katanya. 

Begitupun, Nazmi berkata, persoalan faraid tetap akan timbul sekiranya penerima hibah meninggal dunia terlebih dahulu. 

"Faraid itu memberi panduan tetapi kita menganggap ia sebagai menekan isteri. 

“Sedangkan apabila kita membuat faraid, isteri dan anak-anak akan menjadi penerima majoriti harta," katanya.