- Iklan -
Berita

KPM mulakan pemasangan lokar di sekolah rendah akhir September

Pemasangan lokar secara berperingkat itu dilaksanakan sebagai salah satu daripada tujuh inisiatif Kementerian Pendidikan untuk menangani isu beg berat murid sekolah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Lokar yang bakal diletakkan di sekolah adalah sebagai satu cara Kementerian Pendidikan menangani isu beg berat dalam kalangan murid.
Lokar yang bakal diletakkan di sekolah adalah sebagai satu cara Kementerian Pendidikan menangani isu beg berat dalam kalangan murid.

Fasa pertama pemasangan lokar di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi akan dilaksanakan mulai akhir bulan ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin.

Beliau berkata pemasangan lokar secara berperingkat itu dilaksanakan sebagai salah satu daripada tujuh inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menangani isu beg berat murid sekolah.

Katanya, fasa pertama pemasangan lokar adalah untuk murid Tahun Satu dan Dua dan menjangkakan inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan sepenuhnya menjelang Oktober ini.

“Senarai sekolah pada fasa pertama belum dimuktamadkan dan ia akan diumumkan kelak,” katanya selepas sesi libat urus dengan editor kanan media semalam.

Dalam perkembangan lain, Radzi, berkata kebanyakan majlis agama Islam negeri bersetuju agar pakaian seragam sekolah kebangsaan digunakan bagi kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

Bagi memperkasakan sekolah harian yang tidak memenuhi kapasiti sebenar jumlah pelajar, Radzi berkata KPM akan menambah baik pembangunan infrastruktur agar sekolah berkenaan akan menjadi pilihan ibu bapa.

“Kaedah ini adalah bagi mengatasi persepsi ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak ke sekolah lebih jauh berbanding sekolah berhampiran kawasan kediaman kerana menganggap sekolah berdekatan kurang berprestasi,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.