- Iklan -
Berita

Kerajaan jamin kebebasan media, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai penyebar maklumat, beliau yakin media sedar tanggungjawab mereka untuk melaporkan bersandan fakta yang benar dan sahih.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi jaminan kepada pengamal media di dalam negara bahawa mereka bebas melaporkan sebarang berita, namun ia mesti bersandarkan fakta yang benar dan sahih.

Dalam hal ini, perdana menteri berkata sebagai penyebar maklumat, beliau yakin setiap media sedar mengenai batasan dan tanggungjawab mereka.

“Yang saya tahu, media mesti bertanggungjawab iaitu menceritakan perkara yang sebenar, memberikan informasi yang sebenar.

“Jika memberikan informasi yang sebenar, pasti tidak akan ada bantahan dan kekangan daripada kerajaan tentang bagaimana berita tersebut nak disampaikan,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan kunjungan ke Media Prima di Sri Pentas, Kuala Lumpur.

Terdahulu beliau ditemu bual oleh penyampai saluran radio Hot FM, 8FM, dan Molek FM.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut percaya jaminan kerajaan terhadap kebebasan media diterjemah melalui tindakan kerajaan.

“Jika ada yang lebih dari sepatutnya atau dibenarkan, pasti kerajaan akan menegurnya.

“Setakat ini tak ada media yang ditutup atau ditarik lesen sebagainya, itu maknanya kerajaan memberikan kebebasan kepada media,” katanya.

Menyifatkan peranan media arus perdana amat penting dalam menyebar maklumat sebenar, perdana menteri turut berharap orang ramai agar tidak hanya bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan maklumat.

“Seperti kita tahu hari ini, pelbagai informasi yang tidak tepat, informasi yang diselewengkan yang menyebabkan rakyat terkeliru.

“Jadi, sebab itulah bagi saya penting media arus perdana seperti TV3 dan media cetak yang ada pada hari ini memberikan informasi sebenar, tidak mengelirukan,” katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.