- Iklan -
Berita

Zahid bebas atau bela diri kes rasuah VLN diketahui 23 September

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Keputusan sama ada Ahmad Zahid Hamidi akan dibebaskan atau diperintahkan membela diri terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung sistem visa luar Negara (VLN) akan diketahui pada 23 September ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pendakwaan selama empat hari bermula 1 September lepas.

Pasukan pendakwaan diwakili timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani manakala Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

Pada 11 Ogos, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 18 saksi termasuk bekas ketua setiausaha kementerian dalam negeri Alwi Ibrahim serta tiga bekas pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun.

Perbicaraan yang berlangsung selama 29 hari bermula pada 24 Mei 2021.

Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem visa luar negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa memperoleh untuk dirinya S$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.