- Iklan -
Berita

Kereta sewa jadi sasaran baru penyeludupan dadah?

Pengendali perkhidmatan kereta sewa berkongsi pengalaman kehilangan kenderaan dan kemudian menemuinya dalam keadaan yang mencurigakan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kereta yang ditinggalkan di sebuah tempat parkir kereta di Putrajaya.
Sebuah kereta yang ditinggalkan di sebuah tempat parkir kereta di Putrajaya.

Yusree dan rakannya, Jue dikejutkan dengan satu panggilan telefon memberitahu sebuah kereta sewa jenis sedan miliknya sudah dijumpai di sebuah lot parkir bawah bangunan komersial di Sungai Buloh, Selangor pada April tahun ini. 

Katanya, dia sudah menjejaki dan mencari kereta itu sejak Februari tahu lalu apabila disewakan kepada seorang lelaki warganegara asing selama setengah hari. 

Selepas membuat hebahan di media sosial, mereka berdua berjaya menemukan kenderaan itu. 

Bagaimanapun, keadaan kereta itu disifatkannya sebagai sangat mencurigakan. 

"Kereta itu sangat kotor, berdebu dan ditampal ‘tinted’ gelap tanpa pengetahuan saya. 

"Saya dan rakan menyerahkan kereta itu kepada penyewa di lapangan terbang dengan wang pendahuluan sebanyak RM100," katanya kepada MalaysiaNow sambil menambah kedua-dua mereka bersetuju memanggil polis sebelum membuka kenderaan tersebut.  

Ini katanya, kerana bagi memastikan kereta itu benar-benar bersih daripada sebarang unsur jenayah. 

Menurut Yusree lagi, kenderaan sewa harian dan bulanan sudah menjadi sasaran utama segelintir pihak yang membuat kerja penyeludupan dadah, memandangkan ianya tidak memegang sebarang rekod peribadi pelaku dan harga sewaan yang mampu dibayar. 

Sebelum ini, beberapa siri tangkapan pihak polis terhadap sindiket dadah dan pengedaran bahan terlarang di sekitar Lembah Klang turut mendapati trend yang sama dengan menggunakan kenderaan sewa sebagai alat membawa barang-barang tersebut.

Sementara itu, seorang pemilik dan pengusaha perniagaan kereta sewa di Kuala Terengganu mahu dikenali sebagai Man Buang juga berdepan masalah yang sama seperti Yusree. 

Lebih malang lagi, kenderaan jenis SUV Toyota Innova yang disewakan kepada seorang lelaki warga tempatan itu adalah untuk tempoh satu hari. 

Selepas dua hari, kereta itu masih belum dipulangkan dan usaha menghubungi penyewanya tidak berjaya. 

Sehingga lebih empat bulan, dia dihubungi oleh seorang peguam memberitahu kereta itu berada di sebuah ibu pejabat polis negeri bersama beberapa barang rampasan lain kerana penyewa tersebut diberkas polis kerana memiliki dadah jenis syabu berada dalam kenderaan tersebut. 

Dia juga merupakan peguam yang mewakili individu berkenaan. 

Dia difahamkan, kenderaannya yang disita ketika tangkapan akan disimpan oleh pihak polis sebagai barang sitaan kerana disyaki dimiliki atau digunakan untuk menjalankan kerja yang menyalahi undang-undang. 

Bagaimanapun, dia boleh menuntut kembali kenderaan itu dengan memfailkan permohonan tuntutan di mahkamah. 

Selepas empat kali proses naik turun mahkamah, dia berjaya mendapatkan kembali kenderaan tersebut. 

"Kereta pinjam pada November tahun lepas, peguam hubungi saya pada bulan puasa tempoh hari. Kereta berada sebuah balai polis di Kuala Lumpur. 

"Saya perlu ke sana untuk urusan mahkamah. Lelaki itu kini berada dalam penjara sementara menunggu sebutan kes seterusnya," katanya kepada MalaysiaNow. 

Sejak kejadian itu, Man Buang hanya menerima pelanggan yang terdiri daripada keluarga, pasangan suami isteri warga tempatan dan mereka yang boleh meninggalkan salinan kad pengenalan diri sebelum menyerahkan kereta sewa. 

Dia juga mengenakan bayaran pendahuluan yang semakin tinggi bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berulang kembali.

"Kalau nak berhenti terus (perniagaan kereta sewa) tidak boleh. Ini cara saya cari makan. 

"Lagipun ramai pelanggan tetap akan mencari saya setiap kali melancong ke Terengganu." 

Terbiar di ruang parkir kediaman 

Pada perkembangan sama, Yusree dan Jue memberitahu, banyak kenderaan sewa milik rakan-rakannya dijumpai terbiar di dalam kawasan parkir di bawah kediaman apartmen dan kondominium tanpa dimaklumkan kepada pemiliknya. 

Kenderaan tersebut dibiarkan sehingga ada pihak yang mengambil kesempatan seperti mencuri tayar dan aksesori yang terdapat pada kenderaan tersebut. 

Kenderaan-kenderaan itu dipercayai ditinggalkan dan dibiarkan selepas "kerja-kerja" mereka selesai. 

"Cara nak jumpa senang, buat sahaja hantaran di Facebook. Dalam beberapa hari akan ada yang hubungi beritahu lokasi kenderaan. 

"Isu ini perlu diawasi oleh pengusaha kenderaan sewa sendiri. Jangan sesuka hati menerima pelanggan. 

"Tapi sukar juga untuk tahu kerana manusia tidak boleh menghukum pada luaran sahaja. Boleh jadi dia baik tapi pada masa sama dia juga tekan dadah," katanya. 

Sementara itu, seorang pengurus fasiliti di sebuah apartmen di Cyberjaya l, Selangor mengiyakan situasi tersebut.  

Katanya, pihak pengurusan mempunyai rekod pendaftaran kenderaan semua pemilik dan penyewa rumah kerana kad akses parkir berdaftar atas nombor pendaftaran kenderaan masing-masing. 

"Tetapi kereta yang terbiar di parkir tiada di dalam sistem rekod kad akses. 

“Ini bermakna, sama ada ianya kereta pelawat atau kenderaan luar yang dibiarkan di sini. 

"Kenderaan pelawat akan pergi dalam tempoh beberapa jam. Paling lama satu malam sahaja," katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan. 

Katanya, kenderaan yang berada di ruang parkir melebih tiga bulan akan dikunci tayar selain notis denda ditampal sekiranya pemilik mahu mengambilnya semula.