- Iklan -
Berita

Jual beli karya seni, trend baru gubah wang haram?

Di Malaysia, tiada format penilaian spesifik yang perlu dipatuhi seniman.

Azzman Abdul Jamal & Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi

Sejak sekian lama, karya-karya seni sering dikaitkan dengan budaya, pameran di galeri seni, kerja-kerja amal selain hadiah untuk orang kenamaan dan menjadi rebutan pada jualan lelong di mana-mana majlis amal.

Namun kini, perhatian tertumpu kepada karya-karya seni yang menjadi strategi paling ideal untuk "mencuci wang" apabila lebih ramai individu tampil menjual karya seni termasuk dalam kalangan ahli politik.  

Disebabkan fleksibiliti harga dan pembelian tanpa nama, karya seni dan barangan antik boleh berpotensi menjadi lubuk untuk "cuci duit".

Jadi, bagaimana seseorang boleh mencuci atau mengubah wang haram melalui karya seni?

Dalam usaha untuk menukar status "wang kotor" kepada "wang bersih", satu proses jual beli karya seni bernilai tinggi digunakan untuk menyamarkan asal usul dana yang diperoleh secara haram.

Proses ini dipanggil sebagai lapisan atau (layering).

Disebabkan tiada kawalan selia terhadap harga dan proses menilai karya-karya seni, ianya memberi laluan mudah kepada penjenayah wang haram untuk mengubah wang dalam skala yang besar.

Unit Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) menganggarkan berbilion dolar "dicuci" melalui pasaran seni global setiap tahun, dengan berbilion lagi dianggarkan melalui pasaran gelap termasuk import haram, kecurian dan palsu.

Bercakap kepada MalaysiaNow, seorang kurator berpengalaman dengan karya-karya seni tempatan sejak tahun 2005 berkata tiada formula untuk menentukan karya seni di Malaysia.

"Kita tiada format spesifik yang perlu dipatuhi untuk semua seniman.

"Kadangkala ada juga artis muda yang karya seninya boleh jadi mahal," katanya yang juga seorang pengarah dan pengasas di sebuah galeri seni di Seri Iskandar, Perak.

Sehingga kini, katanya, nilai jualan bagi karya seni tempatan yang mencatatkan harga tertinggi sehingga jutaan ringgit adalah hasil karya Ibrahim Hussein dan karya-karya Latiff Mohidin yang boleh mencecah nilai ratusan ribu ringgit setiap satu.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dari DAP meraih sebanyak RM1.3 juta melalui jualan lebih 8,000 salinan digital lukisan "Langkah Sheraton" hasil karyanya sendiri di platform atas talian dalam bentuk Non-Fungible Token (NFT) menggunakan mata wang kripto.

Bagaimanapun, kegiatan itu dipertikai seorang pengguna Twitter (@pedagang_eth) mendakwa terdapat transaksi yang mencurigakan dalam penjualan digital lukisannya itu.

Ini apabila individu tersebut mendapati terdapat 148 pemilik NFT untuk projek berkenaan.

Bagaimanapun apabila disiasat, dakwa lelaki itu, 94 daripada jumlah berkenaan adalah kepunyaan pemilik projek itu sendiri iaitu Langkah Sheraton NFT.

Dakwanya lagi, wang yang berjaya dikutip dikeluarkan dan dimasukkan kembali melalui sembilan akaun berlainan dan berulang untuk transaksi berikutnya.

"Maksudnya duit yang sama (digunakan) berulang-ulang.

“Adakah ini manipulasi nak tunjuk ia mendapat sambutan?" tulisnya di Twitter.

MalaysiaNow masih mencuba untuk mendapatkan ulasan Pua mengenai perkara ini.

Dalam pada itu, penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim menegaskan intipati jenayah gubah wang haram melalui karya seni masih sama dengan bentuk jenayah ubah wang haram yang lain kerana masih bersandarkan kepada elemen penipuan iaitu mengalihkan wang dengan cara yang tidak sah.

"Wang ini digerakkan apabila karya itu diperolehi kemudian dijual semula pada harga lebih murah. Kenapa?

"Contoh anda beli karya dengan harga RM10 juta dalam lelongan dan jual semula pada harga RM7 juta.

"Nampak seperti anda rugi RM3 juta, tapi sebenarnya dia sudah mencuci wang tersebut dan mendapat kembali RM7 juta dengan cara cucian atau penipuan," katanya kepada MalaysiaNow.  

Atas sebab itu, menurut Kamal, apabila pelaku mendepositkan wang tersebut ke dalam akaun bank, pihak berkuasa tidak boleh mempersoalkan sumber dana tersebut dan menjadikan proses itu amat mudah dimanipulasi.

MalaysiaNow sedang mendapatkan pandangan dan respons Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kegiatan dan gerakan penggubahan wang haram di Malaysia menggunakan karya-karya seni.