Suasana waktu pagi di sekitar pekan Golok, Thailand sesak dengan banyak kenderaan dari negara sempadannya, Malaysia yang tiba untuk memulakan urusan masing-masing.
Beberapa kenderaan pacuan empat roda mula mengisi barang jualan seperti buah-buahan, sayur dan makanan untuk dijual semula kepada pelanggan dan pelancong di pekan terdekat, zon bebas cukai Rantau Panjang, Kelantan.
Kenderaan yang berpusu-pusu memasuki pintu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan ICQS Rantau Panjang- Sungai Golok itu juga sama meriah dengan beberapa pengkalan haram di tebing sungai berkenaan.
Suasana "turun naik perahu" kelihatan bermula rancak meskipun jam belum menunjukkan pukul 7 pagi.
Ketika berada di sebuah pengkalan yang menjadi tumpuan panas di situ, beberapa barang sudah berjaya dibawa masuk ke Malaysia tanpa sekatan pihak berkuasa.
Antaranya beras siam, rokok, makanan sejuk beku, makanan ringan dan makanan snek dalam tin serta produk minuman dari Thailand.
Seorang warganegara Thailand mahu dikenali sebagai Yatie berkata suasana itu sudah menjadi terlalu biasa sejak dirinya masih di umur kanak-kanak.
Katanya, sejak lebih 20 tahun lalu dia selalu mengikuti ibunya menyeberang Sungai Golok untuk menjual manisan Thailand kepada pelancong di Rantau Panjang.
"Sebab itu bila saya dah dewasa, saya pelik kenapa orang marah dan takut nak naik perahu di sungai?
"Rupanya salah. Tapi nak buat macam mana. Beginilah kami membesar, tiada yang larang. Saya fikir tidak salah," katanya kepada MalaysiaNow sambil menambah terdapat puluhan pengakalan haram yang disifatkannya lebih berbahaya berbanding tempatnya mengangkut barang niaga.
Dia menamakan beberapa nama pengkalan seperti Pengkalan Gaji, Kajang, Retak, dan Cek Kasim.
Difahamkan, kesemua pengkalan tersebut pernah ditutup pihak berkuasa pada tahun 2017.
Penemuan banyak mayat manusia
Pada Mei, pihak polis menyebut sebanyak 136 pengkalan haram dikesan menjadi laluan tikus untuk aktiviti penyeludupan sepanjang Sungai Golok melibatkan kawasan Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Tumpat di negeri itu.
Dalam pada itu, seorang polis dari unit Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika dihubungi berkata laluan-laluan haram tersebut bukan sahaja aktif membawa masuk individu dan penyeludupan tetapi juga lubuk pembuangan mayat-mayat manusia disyaki akibat jenayah dadah.
Dia yang menjaga beberapa pos PGA di tepi Sungai Golok selama lebih empat tahun sebelum dipindahkan ke unit lain berkata, hampir setiap hari terdapat mayat manusia yang dijumpai di sungai tersebut dengan kesan-kesan perbuatan khianat.
Antaranya ditembak, dipukul sehingga mengalami kecederaan teruk serta ditikam.
"Kes lemas pun ada tetapi kita akan tahu sebab sama-sama akan mencari di bahagian sempadan dengan pihak berkuasa Thailand.
"Tetapi kes mati sebab khianat memang selalu berlaku. Ada yang dikejar pihak berkuasa Thailand ditembak mati dan dibiarkan di situ.
"Kami yang jumpa. Ada warganegara sana, ada juga warga tempatan," katanya dengan syarat tidak dinamakan.
Tarikan baru ke Thailand
Sejak pembukaan pintu sempadan antarabangsa Rantau Panjang-Sungai Golok pada 5 Mei lalu, lebih ramai pelancong menjadikan pengangkutan air sebagai pilihan untuk masuk ke Thailand.
Beberapa pemandu bot ringan di Sungai Golok berkata mereka menerima kira-kira dua kali ganda pelanggan berbanding sebelumnya untuk memasuki negara jiran.
"Mereka cari ganja sebab di sana sudah ‘halal’.
“Kalau lalu ikut laluan darat mereka takut disekat kerana ujian air kencing," kata salah seorang yang dikenali sebagai Abe Li.
Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada beberapa pelanggan tetapnya untuk menempah slot masa menyeberang sungai ketika waktu-waktu yang dirasakan sesuai.
"Ada dua masa. Sebelum subuh memang senang. Tapi gelap.
"Atau masuk (Thailand) lepas pukul 7 malam.
“Ketika askar mereka tengah bertukar syif kerja," katanya sambil menambah kadar tambang yang dikenakan sebanyak RM20 setiap seorang.
Pada Jun, Thailand mengeluarkan ganja daripada senarai bahan narkotik berbahaya menjadikan segala aktiviti melibatkan bahan itu dibenarkan di sisi undang-undang negara tersebut.