- Iklan -
Berita

KKM akan beri vaksin Covid baru untuk warga emas, kanak-kanak berpenyakit kronik

Dos vaksin varian baru itu akan diberikan secara percuma kepada golongan itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Sinovac kepada warga emas di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec), Jalan Dutamas.
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Sinovac kepada warga emas di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec), Jalan Dutamas.

Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat perolehan bagi vaksin Covid -19 varian baru khusus untuk kegunaan kanak-kanak yang mempunyai penyakit kronik serta warga emas, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata vaksin yang akan diberikan secara percuma itu, tidak diberikan kepada semua golongan kerana situasi pandemik Covid-19 di negara ini terkawal.

“KKM mahu fokuskan (pemberian) kepada golongan berisiko tinggi. Sebarang keputusan berhubung perolehan ini akan diumumkan kelak, bersekali dengan perolehan vaksin kepada kanak-kanak berusia bawah lima tahun,” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book of Record dan Pelancaran Laporan "Record Breaking Covid-19 Vaccination: Public Private Partnership" di Putrajaya hari ini, Khairy berkata proses pemberian vaksin itu akan dilakukan di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta kelak.

Bagi melancarkan proses pemberian vaksin tersebut, Khairy berkata pihaknya telah meminta bahagian kesihatan awam dan pediatrik untuk menyediakan data berkaitan pesakit komorbid dan kanak-kanak berisiko di negara ini.

“Data ini akan dikumpulkan dalam pangkalan data KKM. Ia akan bantu KKM untuk lakukan perolehan vaksin yang mencukupi,” katanya.

Ketika berucap pada majlis tersebut, beliau berkata ProtectHealth Corporation Sdn Bhd dan KKM berjaya melakar sejarah, apabila diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai "Most Vaccination Doses Administered In a Day" (pemberian dos vaksin terbanyak dalam sehari) menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dijalankan sejak Februari tahun lepas.

Katanya jumlah pemberian vaksin tertinggi yang pernah direkodkan di negara ini adalah pada 28 Julai 2021 iaitu sebanyak 581,566 dos yang diberikan dalam masa sehari. 

Untuk rekod, sehingga kini 72 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada rakyat Malaysia, meliputi warga emas, remaja dan kanak-kanak.