- Iklan -
Berita

Najib stabil, tak perlu ke IJN, kata Khairy

Menteri kesihatan itu berkata beliau dimaklumkan oleh pengarah Hospital Kuala Lumpur bahawa bekas perdana menteri itu tidak perlu ke pusat pakar jantung tersebut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Keadaan kesihatan Najib Razak yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin adalah stabil dan bekas perdana menteri itu akan terus menerima rawatan di hospital berkenaan (HKL), kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata beliau telah menghubungi Pengarah HKL Dr Rohana Johan dan dimaklumkan bahawa Najib berada dalam keadaan stabil, serta tidak perlu dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

“Saya minta HKL dan Timbalan Ketua Pengarah Perubatan Dr Asmayani Khalib untuk berikan rawatan susulan yang diperlukan Najib, supaya isu ini tidak lagi dipertikaikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book of Record dan Pelancaran Laporan "Record Breaking Covid-19 Vaccination: Public Private Partnership" di Putrajaya hari ini.

Khairy mengulas kenyataan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, yang dilaporkan berkata bekas perdana menteri itu berkemungkinan akan dipindahkan ke IJN dan mendakwa tekanan darah Najib tidak menentu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam dilaporkan berkata Najib, yang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos lepas, dimasukkan ke HKL pada 9 September sebagai kes elektif dan bukan kecemasan, untuk memastikan kesihatannya berada pada tahap yang baik dan optimum.

Najib dibenarkan discaj pada Sabtu (10 September) selepas menjalani pemeriksaan dan ujian berkaitan oleh pakar-pakar perunding kanan bertauliah, yang terdiri daripada ketua-ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing, dan keadaannya adalah sihat sebelum dibenarkan discaj.

Bagaimanapun, semalam perbicaraan kes Najib bagi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dilaporkan disingkatkan, bagi membolehkan Najib mendapatkan rawatan perubatan.

Pegawai Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi, dilaporkan mendakwa tekanan darah Najib berada pada tahap tinggi dan berbahaya susulan pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter rasminya semalam telah mengarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberikan rawatan terbaik yang diperlukan Najib.

Mengenai dakwaan pertukaran ubat baru sehingga menyebabkan tekanan darah Najib berada tahap tinggi, Khairy menegaskan ia adalah tidak benar sebaliknya ubat yang diberikan adalah yang sama jenisnya.

“Jenis-jenis ubat yang dipreskrib untuk Najib adalah sama dengan yang diambil beliau sebelum ini, ubat itu sama, formula sama tetapi bentuk generik,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.