Ringgit dijangka akan terus jatuh dalam jangka masa terdekat disebabkan prestasi dolar Amerika Syarikat (AS) yang terus mengukuh, kata seorang pakar ekonomi.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC) Lee Heng Guie bagaimanapun berkata, kejatuhan nilai ringgit ini bersifat sementara dan akan kembali melantun sebaik prestasi dolar AS mula menyusut apabila Rizab Persekutuan (Fed) memperlahankan kadar kenaikan kadar faedah.
Beliau berkata, sehingga tiba waktu itu, mata wang tempatan dijangka kekal berada di bawah tekanan memandangkan minat belian terhadap dolar AS kekal terus mengukuh.
Pada 7 September, ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS mencecah paras terendah yang pernah dicatatkan semasa krisis kewangan Asia 1998, apabila pelabur beralih ke mata wang itu berikutan prospek ekonomi global yang tidak menentu.
Pada tarikh itu, ringgit merosot kepada 4.5010/5035 berbanding dolar AS dari 4.4970/4500 ketika ditutup pada hari sebelumnya.
Kemudian pada 9 September, ringgit dibuka meningkat sedikit kepada 4.4960/4995 berbanding dolar AS berbanding ditutup 4.5010/5040 pada hari sebelumnya susukan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).
Pada 8 September, Bank Negara (BNM) menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50% menjadikan ia kenaikan ketiga untuk tahun ini.
Namun begitu, mata wang tempatan kembali dibuka rendah pada 12 September berbanding dolar AS kepada 4.4970/5010 selepas ditutup kepada paras 4.4965/4990 pada Jumaat disebabkan sentimen yang menyokong mata wang AS tersebut.
"Ringgit akan terus berada di bawah tekanan untuk jangka pendek," kata Lee kepada MalaysiaNow.
"Ini bukan saja melibatkan asas tetap juga keyakinan dan sentimen, tetapi yang paling penting ialah sama ada dolar AS sudah mencecah paras puncak di mana Fed akan mula memperlahankan kenaikan kadar faedah."
Menurut Lee, disebabkan ramai menjangkakan kadar dolar AS akan meningkat dengan lebih pantas, ramai pelabur untuk meletakkan duit mereka ke aset matawang negara itu.
Malah katanya, pengukuhan dolar bukan sahaja menyebabkan ringgit menyusut, malah ia turut menjejaskan prestasi mata wang lain.
Selain itu, katanya kenaikan ringgit pada Jumaat lalu bukan jaminan mata wang tempatan itu akan mengekalkan momentum kenaikan kerana terdapat kemungkinan aktiviti pengambilan untung.
"Bagi saya, keadaan masih tidak menentu," katanya.
"Prestasi ringgit tak boleh berdasarkan prestasi kenaikan Jumaat lalu.
"Melainkan pelabur merasakan dolar AS tidak akan terus mengukuh, baru mereka akan adakan aktiviti pengambilan untung melibatkan dolar dan ini akan memberi peluang kepada mata wang lain untuk mengukuh."
Tambah beliau, situasi ini menunjukkan penyusutan ringgit disebabkan oleh faktor luaran.
Mengulas mengenai kenaikan OPR minggu lalu, Lee menjelaskan bahawa ia dilakukan secara berperingkat dan dilihat wajar memandangkan ekonomi negara kini semakin pulih.
Katanya, kenaikan itu juga menepati jangkaan pasaran dan OPR diramal akan terus meningkat sekurang-kurangnya ke paras 3% atau 3.25% menjelang tahun depan.
"Paras OPR masih rendah (berbanding sebelum penularan Covid-19) meskipun BNM sudah menaikkan sebanyak tiga kali."
"Sudah tiba masa untuk kita mula mengambil risiko. Sekiranya negara berdepan dengan krisis baru, BNM boleh menurunkannya semula berbanding membiarkan ia terus berada di paras terendah,” katanya.
Ditanya sama ada kenaikan OPR dapat membantu mengukuhkan prestasi ringgit, Lee berkata, ia juga bergantung kepada kenaikan yang dilakukan Fed AS untuk mengimbangi inflasi.
"Berdasarkan petunjuk Fed, mereka boleh naikkan sehingga 4%," katanya.
"Jika (OPR)mereka berada di 4% dan kita kekal di 3%, terdapat perbezaan 100 mata asas atau 1%.
"Ini adalah perbezaan yang ketara dan ini akan memberi faktor risiko kepada ringgit."
Dalam pada itu, beliau berpandangan kenaikan OPR pada tahun hadapan akan bergantung kepada tahap prestasi ekonomi dan unjuran inflasi serta faktor luaran.