- Iklan -
Berita

Pasaran hartanah catat lebih 188,000 transaksi bernilai RM84 bilion separuh pertama 2022

Ia menunjukkan peningkatan lebih 30% dari segi bilangan dan nilai berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara pusat bandar Kuala Lumpur.
Pemandangan dari udara pusat bandar Kuala Lumpur.

Pasaran hartanah tempatan merekodkan lebih 188,000 transaksi bernilai RM84 bilion pada separuh pertama tahun ini dengan subsektor kediaman menguasai lebih 60% daripada bilangan keseluruhan transaksi dan hampir 54% daripada nilai transaksi.

Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah berkata bilangan transaksi dan nilai transaksi yang dicatatkan pada separuh pertama 2022 itu merupakan peningkatan lebih 30% dari segi bilangan dan nilai berbanding tempoh yang sama tahun lepas.  

"Semua subsektor hartanah iaitu kediaman, perdagangan, industri, pertanian dan tanah pembangunan mencatat peningkatan aktiviti transaksi pada separuh pertama 2022.

"Jumlah nilai transaksi juga bergerak seiring dengan mencatatkan pertumbuhan bagi semua subsektor hartanah," katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama Tahun 2022, hari ini. 

Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama Tahun 2022 itu disediakan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Menurut laporan itu, sektor hartanah kediaman merekodkan 116,178 transaksi bernilai RM45.62 bilion dalam tempoh kajian, meningkat sebanyak 26.3% dari segi bilangan dan 32.2% dalam nilai dari tahun-ke-tahun, dengan Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Selangor membentuk kira-kira 47% daripada jumlah keseluruhan kediaman nasional.

Mohd Shahar berkata walaupun aktiviti pasaran memperlihatkan trend yang positif, segmen pelancaran kediaman baru masih memperlihatkan sentimen berhati-hati, di mana lebih 10,000 unit baru dilancarkan dalam tempoh kajian, berbanding lebih 31,000 unit tahun lepas dengan prestasi jualan purata negara adalah pada kadar 20.3%.

Menurut laporan yang dikeluarkan NAPIC itu, Johor mencatatkan pelancaran kediaman baru tertinggi dengan menguasai hampir 23.8% atau 2,509 unit daripada jumlah nasional dengan prestasi jualan 31.8%. 

Sabah mencatatkan jumlah kedua tertinggi (1,335 unit, 12.7% bahagian) dengan prestasi jualan pada 10.6%, dan diikuti Perak (1,317 unit, 12.5% bahagian) dengan prestasi jualan 19.4%.

Rumah teres mendominasi pelancaran baru dengan teres satu tingkat sebanyak 2,047 unit, manakala teres dua atau tiga tingkat pula 5,150 unit yang secara kolektif menyumbang 68.2% daripada jumlah keseluruhan dengan prestasi jualan 22%.

Ia diikuti unit kondominium atau pangsapuri dengan 19% bahagian (2,009 unit) dan prestasi jualan 12.4%.

Laporan itu juga menyatakan lebih 34,000 unit kediaman bernilai RM21.7 bilion di segmen tidak terjual siap dibina (overhang) direkodkan dalam separuh pertama tahun ini, dengan Johor merupakan negeri yang mencatatkan jumlah tertinggi. 

Shahar berkata hampir 60% daripada segmen overhang adalah hartanah kondominium atau pangsapuri manakala dari segi lingkungan harga, kira-kira 43% berharga lebih daripada RM500,000 seunit. 

"Johor kekal dengan bilangan kediaman overhang tertinggi dalam negara dengan merekodkan lebih 6,000 unit overhang bernilai RM4.7 bilion, menyumbang lebih 17% dan 21% setiap satu daripada bilangan dan nilai overhang negara.

"Pulau Pinang pula di kedudukan kedua dengan lebih 5,000 unit bernilai RM3.64 bilion," katanya. 

Beliau berkata status overhang pangsapuri berperkhidmatan juga bertambah baik dengan lebih 22,000 unit bernilai RM19.32 bilion pada separuh pertama 2022 direkodkan, iaitu penurunan 6.7% berbanding separuh kedua tahun lepas. 

"Hampir 89% daripada jumlah overhang ini berharga RM500,000 dan ke atas dan sebahagian besarnya terletak di Johor," katanya situasi overhang dalam tempoh itu juga bertambah baik dengan penurunan marginal bilangan dan nilai setiap satu pada 7.5% dan 4.6% berbanding separuh kedua tahun lepas. 

Dalam pada itu, Shahar menyarankan agar pemaju dan pihak berkuasa yang meluluskan pembangunan projek serta penetapan harga jualan rumah memberi perhatian kepada data overhang itu selain memastikan rumah yang dibina menepati permintaan di lokasi tersebut dengan harga yang mampu dimiliki oleh pembeli setempat.

"Saya berharap agar situasi overhang kediaman dan pangsapuri berperkhidmatan akan terus terkawal dan semakin baik pada masa akan datang. 

"Ini adalah penting untuk memastikan penawaran perumahan adalah selari dengan permintaan dan isu ketidak padanan dapat diminimumkan," katanya. 

Beliau juga menyarankan kepada pihak berkepentingan dalam sektor hartanah untuk merujuk portal Unsold Property Enquiry System Malaysia (UPESM) yang dibangunkan NAPIC sebelum merancang pembangunan baru di sesuatu kawasan, serta menjalankan kajian daya maju menyeluruh agar dapat membuat keputusan yang tepat dan tidak menyumbang kepada lambakan stok pada masa hadapan.

Mohd Shahar berkata situasi penawaran bagi subsektor pejabat binaan khas dan kompleks perniagaan semakin mencabar di mana terdapat lebih 18 juta meter persegi ruang pejabat swasta sedia ada di seluruh negara pada akhir Jun 2022 dengan purata kadar penghunian pada 70.8%.

"Dalam erti kata lain, kadar kekosongan mencecah hampir 30% atau dari segi ruang 5.3 juta meter persegi," katanya.

Beliau berkata, kompleks perniagaan yang terdiri daripada kompleks beli belah, pasar raya hiper dan arked merekodkan lebih 17 juta meter persegi ruang niaga dengan kekosongan ruang 4.22 juta meter persegi di seluruh negara.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.