- Iklan -
Berita

Selangor kibar bendera separuh tiang hormat kemangkatan Ratu Elizabeth

Sultan Selangor mengarahkan kibaran separuh tiang itu dilaksanakan selama tiga hari mulai Sabtu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: Facebook
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: Facebook

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan supaya bendera negeri Selangor dikibarkan separuh tiang bermula Sabtu hingga Isnin (17 hingga 19 September) bagi menghormati kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Setiausaha Kerajaan Selangor Haris Kasim berkata titah itu juga bagi menzahirkan hubungan baik Sultan Sharafuddin dengan Ratu Elizabeth II.

“Selaras dengan titah tersebut, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bermesyuarat semalam telah menjunjung titah dan mengarahkan agar semua jabatan dan agensi di Selangor mengibarkan bendera negeri Selangor separuh tiang atas perkenan Sultan Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ratu Elizabeth II, Raja Britain paling lama menduduki takhta, mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral di Scotland pada 8 September lepas.

Menurut laporan media, jasad Ratu Elizabeth II kini berada di London dan ditempatkan di Istana Buckingham sehingga istiadat pemakaman negara di Westminster Abbey pada 19 September. 

Jasad baginda akan dimakamkan bersebelahan makam suaminya, mendiang Putera Philip.

Baginda ialah raja kedua paling lama menduduki takhta dalam sejarah Eropah selepas Raja Perancis Louis XIV.