- Iklan -
Berita

Hari Malaysia tidak bererti bagi ibu dan anak beza kerakyatan

Aini, yang mempunyai dua anak autistik berkata dia tidak akan berputus asa walaupun usahanya bertahun lamanya tidak membuahkan hasil.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Aini merangkul dua anaknya Rayyan dan Hana. Kedua-dua mereka adalah anak autistik dan memerlukan penjagaan khas.
Aini merangkul dua anaknya Rayyan dan Hana. Kedua-dua mereka adalah anak autistik dan memerlukan penjagaan khas.

Ketika seluruh rakyat Malaysia menyambut kemeriahan Hari Malaysia, Aini duduk di ruang tamu sambil menyuap makanan untuk dua orang anaknya, Rayyan dan Hana yang berusia lapan dan enam tahun. 

Ada ketika, Hana akan datang menghampirinya dan memberikan ciuman di pipi. 

Aini membalasnya dengan senyuman dan pujian. 

Dia memerhatikan kedua-dua anaknya. 

Erti sambutan kemerdekaan dan ulang tahun pembentukan tanah air seakan tidak lagi memberikan keterujaan kepada Aini apabila mengenangkan nasibnya kini, seorang ibu dengan dua anak yang berbeza kerakyatan. 

Lebih mencabar apabila kedua-dua anaknya didiagnos menghidap autisme, sejenis gangguan perkembangan neuro sepanjang hayat dan juga masalah lambat pertuturan.

Situasi di mana kedua-dua anaknya memerlukan perhatian lebih teliti, rawatan dan terapi oleh doktor dan pakar kesihatan.  

Anak sulung Aini, Rayyan mendapat status kewarganegaraan Malaysia kerana lahir di negara ini dan mempunyai dokumen lengkap ketika pendaftaran. 

Manakala adiknya yang lahir dua tahun kemudian merupakan warganegara India sejak tahun 2019. 

Aini berkahwin dengan suaminya, seorang warganegara India yang bekerja di Riyadh, Arab Saudi pada tahun 2013. 

Selepas melahirkan Rayyan di Malaysia, dia mengikut suaminya bekerja dan menetap di negara tersebut. 

Disebabkan beberapa masalah, dia tidak sempat pulang ke Malaysia untuk melahirkan Hana. 

Sejak itu, Aini berdepan tekanan apabila anaknya menjadi individu tanpa kerakyatan selepas permohonan mendapatkan taraf kewarganegaraan ditolak kerajaan. 

"Sukar untuk saya sebutkan ini. Tetapi, seolah-olah saya belum lagi merdeka daripada kesusahan ini. 

"Kesusahan untuk pastikan anak-anak saya bergelar warganegara, milik tanah air ini. 

“Macam mana saya nak berdepan situasi anak berbeza kerakyatan sedangkan kedua-dua mereka dilahirkan oleh saya, seorang anak Malaysia?" katanya kepada MalaysiaNow ketika lawatan di rumahnya di Batu Caves, Selangor. 

Aini memberitahu, dia membuat permohonan kewarganegaraan kepada kedutaan Malaysia di Arab Saudi dengan menyatakan anak perempuannya itu tidak memiliki sebarang dokumen meskipun sijil kelahiran. 

Katanya, permohonan dibuat di bawah Perkara 15 (2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan permohonan kewarganegaraan bagi anak yang berumur bawah 21 tahun. 

"Permohonan dibuat pada tahun 2018. Saya buat panggilan ke Putrajaya dari Riyadh hampir setiap hari bertanyakan  perkembangan terkini status permohonan. 

"Tetapi tak pernah dapat bercakap dengan pegawai yang mengendalikan permohonan. Akhirnya saya dapat tahu keputusan pada Ogos 2019. 

"Sedangkan tarikh surat dikeluarkan pada November 2018 menyatakan permohonan ditolak. Saya dimaklumkan tentang status itu sangat lambat."

Tidak mahu tinggal di luar negara 

Bercerita lebih lanjut, Aini berkata dirinya tidak boleh menyesuaikan diri tinggal di negara orang. 

Malah, anak-anaknya yang istimewa itu juga sangat muram dan tidak aktif sepanjang menetap di sana. 

Ini kerana, kata Aini, mereka tidak mengenali sesiapa dan tidak boleh menjalani kehidupan seperti berada di negara sendiri yang di kelilingi rakan-rakan serta ahli keluarga. 

Sebelum pandemik Covid-19 menggila pada 2020, Aini membuat keputusan untuk pulang ke tanah air. 

Tetapi prosesnya tidak mudah kerana Hana tidak mempunyai pasport antarabangsa. 

Ketika itu, dia dan suami tekad untuk mendapatkan kerakyatan India supaya Hana boleh dibawa pulang ke Malaysia menggunakan pasport negara berkenaan. 

"Hana sendiri tak pernah ke India jumpa nenek dan datuknya. Dia bukan orang sana. Pasportnya sahaja. 

"Dia membesar di sini, Malaysia. Saya sebagai ibu didik mereka dengan budaya dan nilai Melayu seperti mana saya dibesarkan oleh ibu bapa. 

"Kerana itu saya mahu dia mendapat kewarganegaraan Malaysia," katanya sebak. 

Masalah pendidikan dan kesihatan 

Disebabkan kerakyatan berbeza, kedua-dua anaknya tidak boleh bersekolah di sekolah yang sama. 

Rayyan bersekolah di sebuah sekolah rendah kebangsaan berdekatan rumah ibu bapa Aini. 

Manakala Hana sukar untuk mendaftar di pra sekolah kerajaan. 

Setiap hari, Aini akan menghantar Hana ke pusat pembelajaran kanak-kanak istimewa dan pendidikan khas untuk memastikan anaknya boleh bergaul dengan rakan sebaya dan belajar dengan baik. 

Selain itu, Aini juga perlu membawa anak-anaknya melalukan rawatan dan terapi di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur setiap tiga bulan sekali.

Dia berkata, kedua-dua rutin itu menelan kos yang tinggi kerana anaknya seorang warga asing. 

Pertama, kos pendidikan yang menelan belanja sekitar RM1000 sebulan kerana proses untuk mendapatkan tempat di sekolah kerajaan menggunakan kerakyatan asing adalah sukar. 

Kedua, kos sebanyak RM160 dibayar setiap kali lawatan ke hospital. 

"RM120 untuk pendaftaran dan RM40 untuk rawatan. 

“Itu tidak termasuk kos lain seperti tambang e hailing dan perkara lain," katanya dan menambah dia perlu membuat banyak carian tentang yuran sekolah yang berpatutan dan mampu dibayar setiap bulan. 

Kini, Aini masih tidak berputus asa dalam membuat permohonan mendapatkan kewarganegaraan untuk Hana. 

Dia sudahpun mengemukakan permohonan di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan iaitu pengesahan taraf kewarganegaraan seseorang berdasarkan status kewarganegaraan ibu atau bapa. 

"Bagaimanapun saya dimaklumkan bahawa permohonan itu sedang dibekukan selepas keputusan mahkamah tinggi tahun lalu," katanya merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 September 2021 yang mengiktiraf anak kepada ibu warganegara Malaysia yang dilahirkan di luar negara mempunyai hak automatik menjadi rakyat Malaysia. 

Menurut Aini, dia tidak akan menyerah kalah dan berputus asa dalam memperjuangkan hak anaknya menjadi rakyat Malaysia. 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.