- Iklan -
Berita

Usaha perlu ditingkatkan agar Zoo Negara kekal relevan

Pernah menjadi antara lokasi tarikan pelancong, ia kemudiannya bangkit semula selepas negara dilanda pandemik namun masih banyak penambah baikan perlu dilakukan.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Zoo Negara dibuka pada 1963, ia pernah menjadi tarikan pelancong utama negara, namun kini banyak usaha perlua dilakukan bagi memulihkan kelengkapannya.
Zoo Negara dibuka pada 1963, ia pernah menjadi tarikan pelancong utama negara, namun kini banyak usaha perlua dilakukan bagi memulihkan kelengkapannya.

Sejak dibuka pada 1963, Zoo Negara terus menjadi antara lokasi tumpuan pelancongan di Malaysia apabila ia menerima kehadiran pengunjung tempatan dan juga luar negara.

Selain daripada keluarga yang datang berkunjung pada cuti hujung minggu, Zoo Negara juga sering menjadi pilihan untuk sesi lawatan sambil belajar bagi sekolah dan tadika bagi membolehkan pelajar termasuk kanak-kanak mempelajari mengenai kehidupan liar.

Malah, pada era 1980-an, Zoo Negara mudah menarik kunjungan ramai apabila Kuala Lumpur pada ketika itu masih tidak mempunyai banyak tempat rekreasi dan dalam fasa pembangunan kompleks membeli-belah besar seperti Suria KLCC, Pavillion, Berjaya Times Square dan sebagainya.

Ditambah dengan pembukaan cawangan Kentucky Fried Chicken (KFC) di dalamnya pada 1986 yang mana francais restoran makanan segera itu aktif melakukan iklan promosi menerusi televisyen, ia berjaya menarik perhatian pengunjung untuk terus datang berkunjung.

Sehingga hari ini, Zoo Negara sememangnya mempunyai daya tarikannya tersendiri apabila pengunjung termasuk pelancong luar negara tidak melepaskan peluang berkunjung ketika berada di Kuala Lumpur.

Namun begitu, pada 2021, Zoo Negara menarik perhatian ramai apabila mereka dilaporkan berdepan tekanan kewangan selepas kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Susulan itu, ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) melakukan pelbagai inisiatif seperti mengumpul derma dan memberi sumbangan kepada Zoo Negara untuk memastikan haiwan-haiwan di dalamnya terus menerima penjagaan berkualiti.

Disebabkan situasi, ramai terutama di media sosial mempersoalkan bagaimana Zoo Negara yang merupakan sebuah "jenama" yang kukuh boleh berdepan dengan situasi seteruk itu sedangkan mereka sudah beroperasi hampir 60 tahun.

Tinjauan MalaysiaNow ke Zoo Negara baru-baru ini mendapati, ribuan pengunjung kembali meriahkan suasana apabila mereka memanfaatkan cuti sesi persekolahan selama seminggu.

Seperti yang disangka, kawasan akuarium, pameran reptilia dan kandang harimau terus menjadi antara zon tumpuan, malah pertunjukkan singa laut dan sesi membawa keluar beberapa haiwan seperti ular dan kura-kura tidak pernah gagal untuk menarik perhatian orang ramai berhenti dan mengambil gambar.

Meskipun ramai teruja untuk menyaksikan sebanyak 476 spesis haiwan yang terdapat di dalamnya itu, terdapat juga beberapa rungutan dan cadangan terutama melibatkan tahap fasiliti Zoo Negara yang mana ia dikatakan perlu ditambah baik dan menampakkan ia lebih ceria.

MalaysiaNow mendapati keadaan fasiliti  seperti tiada perubahan berbanding tahun-tahun sebelumnya dan keadaan ini menyebabkan kawasan di dalamnya kelihatan agak suram.

Keadaan cermin akuarium ikan dan penguin jelas kelihatan kotor manakala poster binatang yang diletakkan di beberapa laluan juga kelihatan lusuh.

Selain itu, tinjauan turut mendapati beberapa paparan maklumat haiwan tidak lengkap menyebabkan pengunjung berada dalam keadaan tertanya-tanya mengenai haiwan yang mereka sedang lihat.

Di samping itu, makanan yang dijual di beberapa kafe dalam Zoo Negara juga disifatkan sebagai tidak sepadan dengan harga yang ditawarkan.

Malah, tasik di Zoo Negara yang sebelum ini terkenal sebagai antara lokasi penggambaran filem “Masam-Masam Manis” yang dibintangi pelakon terkenal P Ramlee, juga seperti tidak dimanfaatkan sepenuhnya apabila lokasi itu kini hanya menjadi tempat burung menangkap ikan.

Namun, perkara yang paling dipersoalkan ramai ialah usaha mempromosi Zoo Negara bagi menarik minat pengunjung untuk terus memastikannya kekal relevan.

Sejak KFC menutup operasinya, iklan mempromosi Zoo Negara dikatakan semakin berkurang dan usaha itu seolah-olah tidak diteruskan secukupnya untuk memupuk semangat masyarakat untuk terus berasa teruja mengunjunginya.

Isu ini dibangkitkan ramai terutama pengguna media sosial ketika media melaporkan mengenai keadaan kritikal Zoo Negara semasa tempoh pelaksanaan PKP.

Masyarakat merasakan bahawa pihak Zoo Negara sepatutnya berusaha mencari jalan yang lebih kreatif seperti memanfaatkan penggunaan media sosial demi meraih sambutan dan menggalakkan lagi orang ramai berkunjung.

Sebagai kesimpulan, Zoo Negara kekal menjadi antara lokasi pilihan pengunjung untuk menyaksikan haiwan-haiwan eksotik, namun dengan mengambil kira bayaran tiket kemasukan serta kemudahan yang disediakan, pengalaman berkunjung sudah tentu disifatkan sebagai satu pengalaman yang baik tetapi masih belum cukup menakjubkan.

Sekiranya kerja penambah baikan dilakukan dengan sentuhan yang lebih kreatif, sudah pasti suasana yang lebih ceria ini akan menarik minat lebih ramai pengunjung sekali gus memastikan Zoo Negara berada di tahap kewangan yang lebih selamat.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.