- Iklan -
Berita

Jika PM gagal urus ekonomi, PRU15 elok diadakan, kata Muhyiddin

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak memandang isu ringgit jatuh dan kenaikan harga barang sebagai penting.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin hari ini mempersoalkan pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berikutan situasi sosial dan ekonomi yang dihadapi negara ketika ini, mencadangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai jalan keluar bagi membolehkan kerajaan baru dapat dipilih oleh rakyat.

Dalam sebuah hantaran Facebook, beliau berkata kajian Merdeka Center for Opinion Research pada Disember 2021, menunjukkan 12% daripada rakyat mula mengikat perut dengan makan hanya sekali atau dua kali sementara 12% lagi menangguhkan rawatan perubatan dan 31% lewat membayar hutang dan bil.

Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut merujuk kajian Mindshare yang mendapati 61% rakyat Malaysia telah jatuh dalam kategori B60 dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan selepas pandemik melanda negara.

“Kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik telah memberi kesan buruk ke atas kehidupan rakyat,” katanya.

Sebagai pengerusi MPN, katanya, beliau  menyuarakan kebimbangan dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan, termasuk melaksanakan semula moratorium untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang terkesan dengan impak ekonomi.

“Setiap kali mesyuarat MPN, isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada Kabinet” katanya.

“Namun, setakat ini masih belum ada penyelesaian yang komprehensif dalam isu ini.

"Isu kejatuhan nilai ringgit juga tidak dipandang serius. Perdana menteri tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.

“Malah dikatakan ini bukan masalah besar. Kononnya, Malaysia tidak berada dalam krisis.

"Saya tahu tidak semuanya okey di luar sana."

Muhyiddin turut memetik import bahan makanan Malaysia di mana nilai yang direkodkan melebihi RM63 bilion.

“Jika nilai ringgit terus merudum, harga barangan makanan akan menjadi lebih mahal,” katanya.

“Adakah okey perkara ini? Tidak, tak okey. Nampaknya, perdana menteri tidak memandang semua isu ini sebagai sesuatu yang penting."

Sementara itu, beliau berkata, Barisan Nasional (BN) mendesak Ismail supaya membubarkan Parlimen secepat mungkin bagi membuka laluan kepada PRU15.

“Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak perdana menteri supaya membubar Parlimen,” katanya.

“Tetapi saya pun terfikir, jika perdana menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baru yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.