Tiada apa yang lebih mengecewakan buat Nor Adilla Ramli ketika dia bersemangat ingin menduduki peperiksaan paling penting dalam hidupnya, apabila pengetua sekolah memaklumkan diberhentikan kerana tidak mempunyai kad pengenalan.
Kejadian yang menyedihkan ini berlaku enam bulan sebelum dia ingin menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri kelahirannya Johor.
Dia tidak dapat menahan air mata dan rasa sedih ketika mengenang kembali peristiwa ini.
"Saya tidak pasti ia arahan pengetua sendiri atau kementerian. Tapi saya duduki juga peperiksaan itu. Tetapi saya tidak boleh sambung belajar,” katanya kepada MalaysiaNow.
"Semasa saya hendak beli nombor Pin UPU di Bank Simpanan Nasional, pegawai bank memaklumkan bahawa nombor surat beranak saya tiada dalam sistem, walaupun sijil SPM sudah dikeluarkan.”
Adilla kini menginjak 21 tahun.
Gadis itu, berserta seorang abang dan kakaknya antara individu yang tidak mendapat kerakyatan.
Ini kerana, ayah dan ibu mereka dinikahkan oleh jurunikah yang tidak diiktiraf.
Ekoran itu, sijil nikah mereka tidak dapat disahkan.
Ayahnya merupakan warganegara Malaysia manakala ibunya warganegara Indonesia.
Mereka bernikah di Malaysia.
Situasi itu berlarutan apabila anak pertama yang juga abang kepada Adilla dilahirkan pada 1998.
Menurut Adilla, sijil nikah ibu bapa mereka dirampas pejabat agama.
Sehingga kini, ketiga-agak adik-beradik itu hanya mempunyai surat beranak.
"Proses membuat surat beranak ini pun ibu bapa saya kena pergi ke pejabat agama untuk meminta kebenaran."
Mengimbas kembali, katanya dia tidak dapat menikmati zaman persekolahan yang sempurna kerana ketiadaan kad pengenalan.
Guru-guru tidak berani membawanya keluar mengikuti apa-apa pertandingan atau lawatan sambil belajar.
Dia pernah mewakili kelasnya dalam pertandingan debat namun hasrat mewakili sekolah terbantut, juga atas alasan yang sama.
Adilla berkata, ibu bapanya pernah memohon kerakyatan untuknya ketika berada di tingkatan satu, namun usaha itu gagal kerana mereka tiada sijil nikah.
"Pada 2018, ibu dan ayah bernikah semula kerana sebelum ini mereka tidak tahu caranya untuk mendapat kembali sijil nikah yang disahkan.
“Kami adik-beradik memohon semula kad pengenalan tetapi bagi abang dan kakak saya, Jabatan Pendaftaran Negara menolak permohonan mereka kerana melebihi had umur.
"Hanya saya yang masih berusia 18 tahun ketika memohon," katanya.
Namun, setelah tiga tahun memohon kerakyatan, Adilla yang bercita-cita menjadi jurutera itu masih belum menerima jawapan.
Hampir setiap bulan, dia akan menghubungi Kementerian Dalam Negeri namun jawapan yang diterima tetap sama.
Permohonan masih dalam proses.
Abang dan kakaknya terpaksa melupakan hasrat ingin menyambung pelajaran.
Mereka kini sedang bekerja untuk menyara keluarga.
Adilla berkata, walaupun permohonannya masih belum menerima jawapan, dia tetap menyimpan cita-citanya yang ingin sambung belajar dan menjadi seorang jurutera.