- Iklan -
Berita

‘Lawn mower parenting', dari bilik darjah hingga ke bilik temu duga

Ahli psikologi memberi amaran sikap ibu bapa membesarkan anak sedemikian tidak akan membantu mereka dalam kehidupan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi

Beberapa tahun dahulu, Faizul Zakaria sedang mencari pekerja untuk kedai dobi kecilnya di selatan tanah air. 

Setelah beberapa lama mengiklankan jawatan kosong itu, dia dihubungi seorang calon berusia 19 tahun.

Calon tersebut hadir menaiki motor bersama ibunya. 

Faizul tidak menaruh apa-apa sangkaan. 

Pada mulanya, Faizul tidak membenarkan ibu calon tersebut masuk ke dalam kedai.

"Tetapi cuaca agak panas di luar, jadi saya tawarkan dia duduk dalam kedai. 

“Saya terkejut juga ketika sesi temu duga dijalankan, setiap soalan dijawab ibu calon yang duduk bersebelahan anaknya itu," katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut pengusaha dobi itu, calon tersebut dilihat pasif dan teragak-agak hendak menjawab soalan yang ditanyakannya. 

Pengalaman Faizul bukanlah sesuatu yang terpencil. 

Tindakan ibu bapa menjadi peneman anak-anak pada sesi temuduga kerja rupanya kerap terjadi.

Dalam satu kes, seorang majikan meluahkan bahawa ada ibu bapa yang tolong hadir temuduga untuk anak. 

Fenomena terlalu manjakan anak ini dikenali dengan istilah “lawn mower parenting”, yang mana ibu bapa mengambil sikap terlalu mempermudahkan urusan dan jalan kehidupan anak. 

Seperti mesin pemotong rumput, mereka cuba membuang segala cabaran, masalah dan halangan yang bakal dihadapi anak-anak mereka. 

Sikap tersebut juga bermula sejak anak-anak masih kecil. 

Tidak kurang juga aduan daripada guru-guru sekolah yang kerap “menyelesaikan masalah” murid. 

Apatah lagi dalam era telefon pintar dan internet. 

Sesetengah ibu bapa sanggup mengganggu waktu guru dengan urusan remeh-temeh.

Di Britain juga pernah dilaporkan perkara sama apabila guru-guru mengadu masa mereka banyak dihabiskan dengan menjawab e-mel daripada ibu bapa. 

Sebelum ini, MalaysiaNow pernah melaporkan trend ibu bapa membelikan hartanah untuk anak-anak mereka yang masih kecil. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, pegawai psikologi dari Lembaga Penduduk dan Perancangan Keluarga Negara, Md Noh Saiman berkata, sikap “overpowering” ibu bapa itu mendatangkan kesan negatif terhadap tumbesaran anak.

Hal ini jelas pada peringkat kedua pembesaran anak-anak pada ketika 18 bulan hingga 3 tahun merupakan fasa mandiri melawan rasa malu dan ragu-ragu. 

"Ketika fasa ini, anak mula untuk mencari dan menginginkan kebebasan diri (autonomi) dan tidak mahu bergantung kepada orang lain dalam kehidupan seharian mereka. 

“Apabila anak berjaya melakukan sesuatu dengan sendiri tanpa bantuan orang lain, keyakinan anak akan bertambah. 

“Jika ibu bapa bersikap lawn mower pada fasa perkembangan ini, kemandirian anak akan terbantut," katanya. 

Keadaan itu, jika dibiarkan akan mengakibatkan  anak-anak tidak tahu menyelesaikan masalah sendiri. 

Menurut Md Noh, anak-anak akan terus bergantung kepada orang lain apabila berlaku sesuatu dalam kehidupan, yang membawa kepada rasa kurang keyakinan diri, tidak berkemahiran, dan tidak berpengetahuan untuk menangani satu-satu perkara. 

Menjelaskan lanjut, ibu bapa mempunyai sikap itu kerana mereka mempunyai pengalaman menyaksikan sikap ibu bapa mereka yang bertentangan dengan sikap lawn mower. 

Sebagai anak, mereka tidak membesar dengan kasih sayang yang secukupnya, atau tidak dijaga dengan baik oleh ibu bapa mereka. 

Ini menyebabkan mereka menguruskan hal sendiri. 

Setelah mereka menjadi ibu bapa, mereka tidak mahu anak-anak menjalani kehidupan seperti mereka. 

"Mereka ingin menjaga anak sebaik mungkin. 

“Mereka berasa mereka mampu untuk menjaga anak, cukup dari segi pakaian, makanan, wang, jadi anak tidak perlu berasa susah dalam kehidupannya," katanya.

Bagi menguruskan hal itu, ibu bapa diseru memberi peluang kepada anak-anak untuk membuat keputusan menyelesaikan masalah dan cabaran dengan sendiri supaya mereka menimba pengalaman tersebut. 

Memberi peluang autonomi dalam kehidupan tidak bermaksud membiarkan anak begitu sahaja tanpa bimbingan. 

"Ibu bapa boleh memberi dorongan, bimbingan dan sokongan kepada anak dari semasa ke semasa. Sentiasa ada ketika diperlukan, bukan menjadi bayang-bayang kepada setiap perkara yang ingin dilakukan oleh mereka. 

"Ibu bapa perlu menghormati keputusan dan pilihan anak-anak setelah perbincangan bersama dilakukan.  Tidak salah mendengar dan tidak salah memberi pandangan selagi apa yang dilakukan tidak menyalahi prinsip dan norma hidup bermasyarakat," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.