- Iklan -
Berita

MPN tak harus dipersalahkan, penganalisis beritahu Ismail

Mereka berkata Ismail Sabri Yaakob tidak boleh menyalahkan Majlis Pemulihan Negara yang tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh menuding jari kepada Majlis Pemulihan Negara (MPN) ekoran kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi negara, kata beberapa penganalisis politik.

Mereka berkata, tugas MPN hanya untuk menasihati kerajaan dan ia tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan.

Penganalisis politik dari USM, Ahmad Atory Hussain, berkata susulan daripada nasihat itu, terpulang kepada kerajaan sama ada ingin menterjemah cadangan tersebut menjadi kenyataan.

Katanya MPN juga tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan mana-mana pihak untuk melakukan sebarang cadangan, dasar atau projek yang ingin dikemukakan.

"Menyalahkan MPN tidak betul, kerana MPN hanya badan yang memikirkan dan membuat cadangan sahaja," katanya kepada MalaysiaNow.

"Masalahnya jika cadangan itu dilihat cantik tapi tak berupaya nak dilaksanakan dan hasilnya ia gagal.

"Atau menteri berkenaan tidak setuju dengan cadangan MPN lalu menolak untuk melaksanakannya secara diam-diam."

Pada 19 September, Ismail menyatakan usaha menguruskan ekonomi negara adalah tanggungjawab bersama dan sekiranya beliau didakwa sudah gagal berbuat demikian, maka kegagalan itu adalah kegagalan bersama termasuk MPN.

Kenyataan itu dibuat susulan tindakan Pengerusi MPN Muhyiddin Yassin yang membidas kepimpinan Ismail secara terbuka apabila menyatakan perdana menteri tidak memandang serius isu yang sedang membelenggu negara ketika ini.

Namun begitu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) nyatakan beliau belum sampai ke tahap untuk mendesak Ismail supaya membubarkan Parlimen.

"Tetapi saya pun terfikir, jika perdana menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baru yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun media sosialnya pada 19 September.

Sementara itu, penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berpendapat Muhyiddin sepatutnya mengutarakan kritikan pentadbiran Ismail dengan lebih terperinci supaya kelemahan sebenar kerajaan dapat ditunjukkan dengan jelas.

Katanya, bekas perdana menteri itu sebaiknya menunjukkan lebih teliti apakah cadangan MPN yang ditolak kerajaan.

"Dengan cara itu, beliau secara serentak boleh mengangkat kedudukan politiknya lebih tinggi dari Ismail.”

Dalam pada itu, Oh berpandangan kenyataan Muhyiddin serba sedikit turut memberi tekanan terhadap Ismail untuk mempercepatkan pelaksanaan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun begitu, Oh menyatakan tiada sebab kukuh untuk Muhyiddin mendesak Ismail mempercepatkan tarikh pilihan raya seperti yang sedang dilakukan pimpinan Umno.

Mengulas mengenai perkara ini, Atory menjelaskan Muhyiddin sebenarnya tidak menyentuh langsung soal tarikh PRU15 dan isu ini menjadi hangat kenyataan beliau disalah tafsir.

"Terpulang kepada perdana menteri untuk adakan pilihan raya, tetapi Ismail juga perlu merujuk PN memandangkan ini adalah kerajaan campuran," katanya.