- Iklan -
Berita

Penumpang tak puas hati dengan limitasi baucar perjalanan AirAsia X

Penumpang persoal mengapa baucar perjalanan itu hanya boleh digunakan untuk membayar tambang asas, malah kegunaannya terhad untuk ke tiga destinasi setakat 20 September 2022.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Penumpang berbaris di kaunter tiket AirAsia di klia2, Sepang dalam sebuah gambar fail.
Penumpang berbaris di kaunter tiket AirAsia di klia2, Sepang dalam sebuah gambar fail.

Beberapa penumpang AirAsia X tampil meluahkan rasa tidak berpuas hati apabila mereka mengalami kesukaran untuk menggunakan baucar perjalanan yang diberikan sebagai "bayaran balik" daripada syarikat penerbangan tambang murah itu.

Terdahulu, baucar perjalanan dikreditkan ke akaun penumpang AirAsia X selepas syarikat penerbangan itu selesai melalui proses penstrukturan hutang pada Mac lalu yang mana cadangan itu dilaporkan mendapat persetujuan pemiutang dan Mahkamah Tinggi tahun lalu.

Bercakap dengan MalaysiaNow, penumpang menyatakan terdapat syarat dan beberapa limitasi untuk menggunakan baucar perjalanan itu dan situasi ini menyebabkan mereka tidak dapat betul-betul memanfaatkan nilai yang terkandung pada baucar tersebut.

EeMay Low, warga Malaysia yang bekerja di Singapura, berkata antara perkara yang membuatkan dia berasa sangat marah adalah apabila mendapat tahu mengenai perubahan tarikh luput kredit akaun AirAsia yang mana ia dilakukan tanpa dimaklumkan kepadanya.

Beliau sebelum ini menerima kredit tersebut apabila penerbangannya dari Singapura ke Kuala Lumpur pada 8 April 2020 dibatalkan akibat penularan Covid-19.

Menurutnya, dia mempunyai dua kredit di dalam akaun tetapi hanya satu ditukarkan menjadi baucar.

Namun, perkara yang paling membuatkan dia berasa tidak puas ialah apabila mendapat tahu bahawa baucar penerbangan itu hanya boleh digunakan untuk terbang ke destinasi tertentu.

Berdasarkan laman sesawang AirAsia di ruangan soalan lazim berhubung penggunaan baucar perjalanan, ia hanya boleh digunakan ke tiga destinasi iaitu New Delhi, Seoul dan Sydney.

Menurut laman sesawang itu juga, laluan baru yang bakal dibenar menggunakan baucar perjalanan ini pada 2022 ialah Tokyo, Sapporo, Osaka, Hawaii, Perth, Melbourne, Auckland, London, Istanbul dan Dubai

"Ini tidak masuk akal. Nilai yang terdapat dalam akaun saya hanya S$160, jika saya ingin gunakan baucar itu ke destinasi yang dibenarkan, maka saya perlu menambah bayaran," katanya kepada MalaysiaNow.

"Sudah tentu saya sangat kecewa kerana tarikh luput kredit saya diubah dan saya tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya kredit itu pada masa hadapan."

Menurut Low, perkara ini diutarakan kepada AVA - talian sembang AirAsia - sebelum dia berjaya berhubung dengan tiga ejen, namun dia masih tidak menerima penjelasan mengenai isu perubahan tarikh luput kredit tanpa dimaklumkan kepada pengguna.

Sementara itu, seorang lagi penumpang warga tempatan Fara Adilla mempersoalkan mengenai limitasi penggunaan baucar perjalanannya kerana dia dimaklumkan tidak boleh menggunakan sepenuhnya nilai baucar itu yang berjumlah berjumlah RM3,728.92.

Fara yang bercadang untuk bercuti ke Seoul pada Mei tahun depan akui bernasib baik memandangkan destinasi percutian itu termasuk dalam laluan yang dibenarkan untuk menggunakan baucar perjalanan tersebut.

Namun berasa terkilan apabila mendapat tahu bahawa baucar itu hanya boleh digunakan untuk pembayaran tambang asas.

Ini bermakna, dia hanya boleh menggunakan RM3,558 dan akan terdapat baki RM170.92 di dalam akaunnya. 

"Apa yang saya boleh buat dengan RM170.92 kerana jumlah ini terlalu sikit," katanya kepada MalaysiaNow. 

Terdahulu, luahan Fara di Twitter turut menarik perhatian ramai apabila isu yang disuarakan ini menjadi viral di media sosial itu.

Menurut Tweet yang dimuat naik, Fara mempersoalkan tindakan AirAsia yang memberi bayaran balik dalam bentuk baucar namun pengguna perlu mematuhi terma dan syarat untuk menggunakannya.

Susulan daripada Tweet yang dimuat naik itu, ramai pengguna Twitter turut meluahkan kemarahan terhadap AirAsia sambil berkongsikan pengalaman mereka berurusan dengan syarikat penerbangan tersebut berhubung isu bayaran balik dan pembatalan penerbangan.

Bagi Rodel Dumasig Jardin, penumpang dari Filipina, dia menggesa supaya AirAsia memulangkan duitnya selepas syarikat itu membatalkan penerbangannya yang dijadual berlepas pada Mei.

Terdahulu, Rodel pada Februari dan Mac lalu membeli 12 tiket penerbangan dua hala secara empat tempahan bagi penerbangan domestik Clark ke Tacloban yang mana dia membayar AS$1,107.

Semua penerbangan itu dijadual berlepas antara 8 April hingga 18 Mei 2022.

Bagaimanapun, Rodel berkata, semua penerbangannya dibatalkan seminggu sebelum penerbangan pertamanya berlepas tanpa diberi tawaran penerbangan lain.

"Mereka hanya tawarkan kredit yang mana terdapat tarikh luput," katanya. 

“Saya telah meminta supaya AirAsia melakukan pembayaran balik ke akaun bank tetapi sehingga hari ini tiada maklum balas."

Akibat daripada situasi ini, Rodel terpaksa membeli tiket baru untuk penerbangan lain, namun kali ini, dia hanya mampu untuk membeli tiga tiket untuk isteri, anak perempuan dan dirinya.

"Sudah tentu ahli keluarga lain berasa sangat kecewa kerana tidak dapat ikut kami balik ke Tacloban," katanya.

Dalam pada itu, Rodel mendesak supaya AirAsia memulangkan semula duit pembelian tiket itu kerana pihak syarikat penerbangan tidak memberikan alasan kukuh mengenai pembatalan terbabit.

Malah, beliau berhasrat untuk menggunakan duit tersebut sebagai perbelanjaan materniti isterinya.

"Jika pembatalan ini hanya melibatkan dua atau tiga tiket penerbangan, saya mungkin tidak akan membuat aduan, tetapi ini melibatkan 24 tiket secara menyeluruh," kata Rodel.

MalaysiaNow masih menunggu maklum balas daripada pihak AirAsia.

MalaysiaNow turut menghubungi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), yang bertanggungjawab mengenai penerbangan awam dan aduan penumpang berkait syarikat penerbangan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.