Kerajaan optimis dapat mencapai sasaran sifar miskin tegar pada penghujung tahun 2025 dengan pendekatan baru yang bersepadu dalam pelaksanaan projek rintis untuk meningkatkan pendapatan golongan sasar itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata keyakinan itu berdasarkan kesungguhan kerajaan meningkatkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk universiti, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta bagi membantu golongan itu keluar dari garis miskin tegar.
Beliau berkata projek rintis di 80 lokaliti telah pun selesai bagi fasa pertama tahun ini, manakala sebanyak 110 lokaliti terlibat bagi fasa kedua projek itu yang akan bermula pertengahan Oktober ini dengan sasaran membantu kira-kira 5,000 ketua isi rumah.
"(Sehingga 15 September lepas) Terdapat seramai 130,709 orang miskin tegar. Kita yakin ia akan berkurangan, kita harus ada cita-cita dan mampu capai yang Malaysia sebagai sebuah negara banyak sumber seperti jabatan dan kerajaan negeri yang akan bersama-sama membantu mencapai hasrat ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Transformasi Komuniti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Mohamad Haris Kader Sultan.
Mustapa berkata pihaknya akan membuat pemantauan rapi setiap bulan terhadap pelaksanaan projek rintis itu supaya pendapatan golongan sasar berjaya ditingkatkan.
Selain itu, Mustapa menyarankan pengusaha pelancongan mempromosikan produk mereka dengan lebih agresif dan kreatif dalam usaha menarik minat pelancong tempatan bercuti dalam negara sekali gus dapat meningkatkan aliran wang dalam negara.
Beliau berkata ini kerana pada masa ini dilihat rakyat Malaysia lebih cenderung untuk melancong ke negara luar terutama ke negara jiran seperti Thailand.
"Situasi ini menjadi satu cabaran buat kerajaan dan pemain industri pelancongan untuk lebih agresif dalam mereka membuat promosi...trend ini akan merugikan kita kerana aliran wang keluar akan lebih tinggi," katanya.