Tiga individu, yang mendakwa hukuman mati mandatori terhadap mereka bagi kesalahan membunuh dan mengedar dadah adalah menyalahi undang-undang, gagal memperoleh kebenaran untuk menyemak perintah Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan itu.
Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf membuat keputusan sebulat suara untuk menolak permohonan G Theenesh, M Thurkeswaran dan Ooi Chun Huat.
Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Mahkamah Persesekutuan Zabariah Mohd Yusof, Mary Lim Thiam Suan dan Harmindar Singh Dhaliwal.
Terdahulu, peguam Gopal Sri Ram berhujah hukuman mati mandatori yang dijatuhkan ke atas ketiga-tiga anak guamnya adalah tidak berperlembagaan dan menyalahi undang-undang kerana melanggar hak mereka untuk hidup atau kebebasan peribadi di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata hukuman mandatori dengan kematian melanggar sebarang hak untuk didengar semasa hukuman sekali gus mencabuli hak tertuduh bagi mendapatkan satu perbicaraan yang adil.
Sri Ram berkata kuasa bagi menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak serta kuasa menjatuhkan hukuman adalah kuasa kehakiman dan ia perlu dilaksanakan oleh badan kehakiman, bukannya Parlimen.
Beliau berkata hukuman mati mandatori di bawah kedua-dua seksyen adalah tidak selaras dengan hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pada 19 Mei 2021, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas Theenesh dan Thurkeswaran kerana membunuh seorang penganggur B Muniandy manakala hukuman mati ke atas Ooi kerana mengedar 6104.4 gram metamfetamina dikekalkan oleh mahkamah sama pada 1 Sept 2016.
Kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntuk hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Timbalan pendakwa raya How May Ling, bagaimanapun berhujah bahawa kes ketiga-tiga individu bukanlah kes yang sesuai atau wajar diberikan kebenaran semakan kerana ia membabitkan tafsiran undang-undang yang merupakan pendapat dan tidak tertakluk kepada keperluan yang terhad dan ketat Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
"Hukuman mati mandatori yang dijatuhkan ke atas mereka adalah hukuman yang betul seperti yang ditetapkan oleh undang-undang. Hukuman itu dijatuhkan selepas perbicaraan penuh dan hukuman serta sabitan tersebut telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.