- Iklan -
Berita

Tinjauan dapati majoriti pilih terus pakai pelitup muka

Sebilangan besar yang memilih untuk terus menggunakan pelitup muka berkata ia sebagai langkah berjaga-jaga dan rasa selamat dari jangkitan Covid.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penggunaan pelitup muka kini hanya wajib di kemudahan kesihatan dan pengangkutan awam sahaja.
Penggunaan pelitup muka kini hanya wajib di kemudahan kesihatan dan pengangkutan awam sahaja.

Satu tinjauan yang dijalankan baru-baru ini mendapati walaupun majoriti rakyat Malaysia menyedari langkah kerajaan yang tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka, kebanyakan memilih untuk terus memakainya di tempat awam atas beberapa alasan termasuk rasa selamat dan vaksin tidak memberikan perlindungan sepenuhnya daripada jangkitan virus.

Tinjauan yang dijalankan terhadap 1,003 responden dewasa oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI, mendapati 75% responden mengetahui tentang pengumuman menteri kesihatan pada 7 September lalu mengenai ketetapan memakai pelitup muka  yang tidak lagi diwajibkan melainkan di kemudahan penjagaan kesihatan atau semasa menaiki pengangkutan awam. 

Bagaimanapun, 71% responden berkata mereka masih memakai pelitup muka di tempat awam walaupun pengumuman sudah dibuat oleh Kementerian Kesihatan.

80% peratus daripada responden berkata mereka berbuat demikian sebagai langkah berjaga-jaga, sementara 62% berkata berasa selamat semasa memakai pelitup muka. 

Manakala, 41% berkata vaksin tidak memberikan perlindungan menyeluruh daripada jangkitan Covid-19.

Ketika ditanya pandangan berhubung arahan baru mengenai pelitup muka tersebut, 45% bersetuju arahan itu sesuai dengan keadaan Malaysia yang sudah berada di fasa endemik dan 31% lagi berpendapat masih terlalu awal.

Sementara itu, 24% berkata mereka akan tetap memakai pelitup muka walaupun pengumuman tersebut dibuat.

Dari segi keselamatan, 63% responden merasa tidak selamat apabila orang sekelilingnya tidak memakai pelitup muka.

Kerajaan mewajibkan penggunaan pelitup muka ketika kemuncak pandemik pada 1 Ogos 2020.

Ia kemudiannya diberi kelonggaran di mana orang ramai tidak lagi diwajibkan untuk memakai pelitup muka di kawasan terbuka pada 1 Mei, sebagai sebahagian daripada langkah ke arah fasa endemik Covid-19.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pelitup muka tetap digalakkan untuk dipakai oleh golongan berisiko tinggi.

Premis persendirian juga diberi pilihan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka.

Beliau turut menggalakkan penggunaan pelitup muka di kawasan sesak seperti pasar malam, stadium, pusat beli-belah dan rumah ibadat, dan mengesyorkan mereka yang mempunyai simptom seperti demam dan batuk untuk memakainya.